Bukit Chuping Dari Perspektif Sejarah - FRIEND OF PERLIS

Terkini

08 April 2019

Bukit Chuping Dari Perspektif Sejarah


Bukit Chuping yang terletak di kawasan Chuping, kira-kira 14 kilometer dari Kangar mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Tempat paling tinggi kira-kira 270 meter. Paling istimewa bagi bukit tersebut, ialah gua-gua yang terdapat di situ.

Apabila mengetahui kedatangan musuh dari Thailand tersebut, para penduduk tempatan terpaksa menyembunyikan diri, dan salah satu tempat persembunyian mereka ialah di dalam Gua Berangin atas Bukit Chuping berkenaan. Dengan sebab demikian, tidak lama dahulu pernah dijumpai sejumlah mangkuk kerang yang dipercayai digunakan oleh penduduk tempatan semasa lari daripada "Peperangan Musuh Bisik" dahulu.
Bukit Chuping mempunyai enam buah gua besar. Salah satu daripada gua tersebut ialah Gua Berangin, inilah gua paling tinggi yang terdapat di bukit chuping itu.

Gua tersebut terletak kira-kira 270 meter di atas bukit berkenaan. Walaupun letaknya begitu tinggi, tetapi terdapat jalan untuk sampai ke Gua Berangin.

Menurut seorang penduduk tua di Kampung Bawah Bukit Chuping, Haji Arshad Haji Dahaman, 79, Gua Berangin pernah dijadikan tempat persembunyian penduduk tempatan daripada keganasan askar-askar Siam dalam "Peperangan Musuh Bisik" awal tahun 1800 an dahulu.

Penduduk Perlis ketika itu menamakan peperangan tersebut dengan panggilan "Peperangan Musuh Bisik", kerana masing-masing terpaksa berbisik untuk memberi maklumat kedatangan musuh.

Mereka bertindak sedemikian untuk mengelak daripada diketahui oleh askar Siam, kerana seseorang yang disyaki oleh askar Siam akan ditangkap dan ditebuk telinga dengan rotan untuk dibawa ke tempat tahanan.


Bagaimanapun, kata Haji Arshad, adalah tidak dinafikan, Gua Berangin kemungkinan mempunyai kesan sejarah lebih lama dari itu kerana di dalamnya juga terdapat batu seperti sepasang pengantin sedang bersanding di atas belakang gajah.

Di samping itu, terdapat juga kesan batu seperti lesung hindik yang digunakan oleh penduduk tempatan zaman dahulu untuk mengindik padi, bagi mengeluarkan beras.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Gua Berangin memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan sebagai tempat orang mengambil baja tahi kelawar. Baja tersebut digunakan bagi pembajaan di sawah padi sebelum adanya subsidi baja oleh kerajaan sekarang.

Di samping Gua Berangin, di Bukit Chuping itu juga terdapat sebuah lagi gua yang dipanggil Gua Tengah. Gua Tengah letaknya setinggi kirakira 67 meter. Paling istimewa bagi gua berkenaan ialah tempat membekalkan sendawa, iaitu sejenis tanah yang digunakan sebagai salah satu bahan campuran bagi membuat belerang yang digunakan untuk bahan letupan peluru senapang.

Senapang yang digunakan itu ialah senapang sumbat. Senapang tersebut dipanggil senapang sumbat kerana peluru disumbat di bahagian laras hadapan bersama belerang tadi dan kemudian dinyalakan untuk menembaknya.

Gua ketiga terdapat di bukit tersebut ialah Gua Lima. Gua ini adalah merupakan gua yang ramai orang mengambil baja tahi kelawar dan baja tanah bukit. Gua tersebut dipanggil Gua Lima kerana pada tahun 1946 dahulu, 5 orang penduduk tempatan yang sedang mengambil baja, mati tertimbus di dalam gua itu.

Gua ke enam yang terdapat di bukit itu ialah Gua Penangin. Gua tersebut setinggi 67 meter adalah merupakan tempat penduduk tempatan menjulang penangin. Penangin adalah sejenis permainan tradisi masyarakat tempatan zaman dahulu dan seringkali dimainkan pada musim kemarau, selepas penuaian padi.

Bukit Chuping sepanjang kira-kira 1.6 kilometer itu juga suatu ketika dahulu merupakan tempat penginapan Penghulu Allahyarham Wan Ali. Di kaki bukit tersebut dijadikan tempat pasung orang salah setelah dijatuhi hukuman oleh Penghulu Wan Ali.

Di samping itu, tidak jauh dari kawasan berkenaan terdapat tempat penduduk tempatan mencelong gajah. Celong gajah adalah merupakan kerja-kerja bagi menjinakkan gajah sebelum ia dapat digunakan bagi kerja-kerja pengangkutan.

Hampir keseluruhan Bukit Chuping terdapat batu kapur. Batu kapur tersebut digunakan sebagai salah satu bahan campuran membuat simen. Dengan kemudahan yang disediakan itu, sebuah kilang simen diwujudkan berhampiran bukit tersebut pada awal tahun tujuh puluhan dahulu.

Setiap hari batu kapur di Bukit Chuping dipecahkan untuk dibawa ke kilang simen. Kesannya semakin hari, Bukit Chuping menjadi semakin rendah. Malah di bahagian kepalanya dekat kilang simen sudah menjadi paras. Bukit itu sudah pasti akhirnya akan bertambah pendek.

Dari jangkaan yang dibuat, Bukit Chuping boleh membekalkan bahan batu kapur kepada kilang simen tersebut dalam tempoh 200 tahun. Tetapi berdasar kepada kemajuan pesat kerja-kerja yang dijalankan setiap hari, kemungkinan besar Bukit Chuping akan lenyap dalam tempoh tidak sampai masa sebagaimana yang dijangkakan itu.


Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4 - 1992

Penulis Asal: Ramli Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan