Bukit Lagi terletak di tengah-tengah kawasan bendang yang direntasi oleh Jalan Lintasan Kangar, menghubungkan Jalan Guar Syed Alwi dengan Jalan Kangar-Alor Setar. Bukit ini lebih merupakan sebuah anak bukit yang berbatu granit, tanpa diliputi walau sedikit pun tanah di bahagian atasnya. Kampung yang mengelilingi bendang di Bukit Lagi ialah Kampung Batu Hampar, Kampung Utan, Kampung Padang Jawa, Kampung Telaga Nyior Manis, Kampung Behor Gandin, Kampung Balik Bukit, Kampung Pengkalan Assam dan Kampung Behor Temak.
Asal Bukit Lagi adalah daripada sebuah pulau yang dikelilingi oleh lautan pada zaman pra sejarah dahulu. Ianya dikenali sebagai Pulau Lagi. Manakala di bahagian daratan tanah besar Semenanjung Malaysia ketika itu juga dilitupi oleh lautan pada bahagian tanah pamahnya, hanya kawasan tanah tingginya sahaja yang boleh didiami oleh orang-orang purba, iaitu seperti Banjaran Bintang, Banjaran Nakawan, Banjaran Titiwangsa dan beberapa tanah tinggi lain yang sama tinggi atau ketinggiannya melebihi ketinggian Bukit Lagi. Pulau Lagi tidak didiami orang kerana saiznya yang terlalu kecil dan memanjang dan juga kerana muka buminya yang berbatu-bata. Bagi beberapa kawasan tanah tinggi yang sama ketinggiannya dengan Bukit Lagi iaitu seperti bukit berhampiran dengan Marhum Kayang terdapat kesan-kesan peninggalan manusia zaman purba berupa tenggala, cangkul dan parang yang telah ditemui oleh pasukan-pasukan pendaki bukit tempatan dan orang perseorangan.
Kawasan lautannya yang berarus pada masa dahulu juga menjadi faktor mengapa Pulau Lagi ini tidak didiami orang. Laluan arus lautan yang kuat dapat dikesan melalui kawasan Alor Pulai dan Alor Marus, sehingga sekarang meninggalkan kesannya di Mukim Sena dan Mukim Seriab, iaitu kawasan-kawasan tersebut dikenali dengan Alor Pulai dan Alor Marus.
Padang Bukit Lagi menghala ke Kampung Batu Hampar dan Kampung Behor Temak menjadi medan pendaratan burung lang kangok, yang badannya sebesar kanak-kanak berumur setahun. Burung ini adalah pembangkai yang memakan bangkai binatang-binatang mati seperti ayam, itik, kucing dan lembu-lembu yang mati yang diletakkan di kepala batas di tengah-tengah padang. Kata orang tua-tua, binatang mati ini kepalanya dihalakan ke hulu supaya senang dilihat oleh burung pembangkai tersebut.
Segala binatang yang mati di kampung-kampung persekitaran Bukit Lagi itu tidak perlu ditanam kerana adanya binatang pembangkai tersebut yang akan memakannya dengan rakus sekali. Burung lang kangok juga dipanggil burung erang atau ering. Badannya yang lasak dan kakinya yang kuat, dengan tangkas dan cepat dapat menyambar ayam dan itik yang mencari makan di padang atau di sawah padi. Ia tidak takut kepada manusia yang tidak bersenjata.
Burung ini menyerang mangsanya secara berkumpulan antara sepuluh hingga dua puluh ekor dalam satu serangan. Binatang ini hinggap dan bersarang di pohon-pohon tinggi atas rabung Bukit Lagi. Oleh itu segala pergerakan mangsa dan makanannya dapat dikesan dan diketahui dengan mudah. Segala bangkai yang diletakkan di kepala batas bendang dapat diambil dan dihabiskan dalam masa yang singkat oleh burung-burung erang tersebut. Sekarang burung-burung ini sudah tiada lagi di kawasan Bukit Lagi, kerana kemungkinan spesiesnya sudah pupus. Kepupusan binatang ini bukanlah kerana adanya senjata api yang digunakan untuk menembaknya tetapi kerana faktor keracunan. Akibat kesan buruk yang sering ditimbulkan oleh burung erang ini, iaitu suka menyambar ayam-itik dan pergerakannya secara kumpulan di kawasan sawah dengan gaya yang menakutkan pesawah, menyebabkan mereka berusaha menghapuskan binatang ini dengan berbagai cara. Pesawah menggunakan racun yang disembunyikan di dalam daging bangkai, menyebabkan burung-burung tersebut keliru lalu memakannya bersama bangkai, akhirnya membawa maut. Begitu juga penggunaan garam yang ditaburkan pada bangkai, menyebabkan burung erang itu mati apabila memakannya. Selain daripada itu telur-telur burung ini banyak yang dicuri makan oleh kera, lutong dan ular yang banyak berlindung di atas bukit.
Sumber: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14 - 2002 (Shukor Mat, Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perlis)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan