Sejarah Pemerintahan Tuanku Raja Perlis Ke-4 (Syed Alwi Jamalullail) - FRIEND OF PERLIS

Terkini

25 April 2019

Sejarah Pemerintahan Tuanku Raja Perlis Ke-4 (Syed Alwi Jamalullail)


Syed Alwi Jamalullail Ibni Almarhum Syed Saffi Jamalullail, Raja negeri Perlis yang keempat, dilahirkan pada 12 Jamadil Awal 1298 bersamaan bulan April 1881, dan bersekolah di St. Xavier Institution, Pulau Pinang. Bonda baginda berketurunan Siam dari Istana Bangkok (memeluk agama Islam) diberi nama Wan Saadiah.

Baginda berangkat ke Bangkok diiringi oleh adinda baginda Syed Mahmud Ibni Almarhum Syed Saffi Jamalullail, Syed Salim bin Syed Mahmud Al-Jefri, Datuk Wan Teh bin Datuk Belat dan Abdullah bin Cik Saad. Ketika itu baginda berusia dua puluh enam tahun.

Baginda ditabal menjadi Raja Perlis oleh Raja Chulalongkorn (Rama ke V) di Istana Bangkok pada bulan Zulhijjah 1323 persamaan bulan Februari 1905 dengan gelaran "Phya Songkhram Rama Wichit Wilis Asmara Phya Pelit". Adinda baginda Syed Mahmud Jamalullail diperkenan menjadi Raja Muda Perlis.

Sekembali dari Bangkok, baginda melantik pembesar-pembesar negeri terdiri daripada Tuan Syed Hassan bin Syed Alwi, Datuk Wan Teh bin Datuk Belat, Tuanku Abdullah bin Tuanku Mat Saman, Tuan Syed Abdullah bin Syed Alwi, Tuan Syed Abdullah bin Syed Ismail, Tuan Haji Kassim bin Haji Ali dan Wan Ishak bin Datuk Wan Daud.

Ketika pemerintahan baginda, kesenian tradisional Melayu berkembang pesat. Permainan dan persembahan seperti Hadrah, Beduan, Alu Bunyi, Gendang Keling, Bangsawan, Dike, Makyong, Selampit dan Awang Batil bukan saja menjadi persembahan istana akan tetapi baginda berusaha menyebarkan ke kampung-kampung untuk hiburan rakyat.

Dalam usia pemerintahan bagindalah berlaku peralihan kuasa bagi negeri Perlis (kuasa naungan Siam kepada kuasa pemerintahan British) disebabkan berlakunya kegentingan kewangan dan perbelanjaan untuk pemerintahan.

Pada peringkat permulaan pemerintahan baginda lagi kerajaan Perlis mengalami kekurangan wang dan perbelanjaan, sepertimana yang dilaporkan oleh W.W. Skeat :
The total annual revenue of Perlis amounted to $27,000 which was not enough to pay the expense of government.

Kerana itu Kerajaan Perlis berusaha untuk meminjam daripada kerajaan Siam, Kerajaan Siam memberi pinjaman sebanyak $230,000 pada 4 Oktober 1905. Surat 'Perjanjian Hutang' (Loan Agreement) telah ditandatangani oleh Kerajaan Perlis dengan Kerajaan Siam, dikenakan faedah 6% setahun. Pihak Kerajaan Perlis bersetuju menerima perkhidmatan seorang Pegawai Penasihat bagi membantu urusan pentadbiran kewangan sehingga hutang itu diselesaikan. Pihak Raja Perlis juga bersetuju mematuhi nasihat Pegawai Penasihat itu.

Pada masa itulah, Kerajaan Siam telah menghantar seorang pegawai Inggeris bernama A.H. Duke ke Perlis menjadi Penasihat Kewangan (Financial Adviser) Kerajaan Perlis.

Kerajaan Siam berharap supaya dengan nasihat pegawai Inggeris itu, Kerajaan Perlis akan beroleh wang dan menghapuskan perbelanjaan yang membazir.

Sebelum itu seorang Penasihat Kewangan kepada Sultan Kedah yang bernama G.C. Hart telah datang ke Perlis menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri (State Council). Persidangan pertama diadakan pada 8 November 1905, dipengerusikan oleh Raja Perlis sendiri, dan G.C. Hart menjadi Pemangku Setiausaha. Pada persidangan kedua, 2 Disember 1905 A.H. Duke menjadi Setiausaha.

Bermulalah era campurtangan Siam dalam hal ehwal luar dan dalam negeri Perlis. 'Perjanjian Hutang' itu juga telah membelenggu pentadbiran negeri. Pegawai Penasihat (Siam-British) itu mempunyai kuasa penuh daripada kerajaan Siam bagi menasihat hal-hal yang berhubung dengan kewangan. Peranan Pegawai Penasihat ini hampir-hampir sama dengan 'British Resident' yang telah dihantar ke Negeri-Negeri Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) Menurut Fr. A. Swettenham:
Whose advice must be asked and acted upon in all question other than those touching Malay religion and custom.

Kini kuasa raja dan pembesar-pembesar negeri Perlis telah ditentukan dan terhad. Keadaan ini juga bermulanya keinginan British untuk menguasai negeri Perlis dan Kedah. Pihak British segera bertindak menempatkan pegawai konsolnya Mr. Meadow Frost (yang pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu semenjak tahun 1898) di Alor Setar pada awal tahun 1906. Beliau telah membuat laporan tentang negeri Perlis. Raja Negeri Perlis sekarang, Syed Alwi dalam usia 27 tahun sahaja. Baginda begitu lemah dan nampaknya ayahanda saudara baginda Syed Salim, telah menjalankan urusan-urusan kerajaan. Keluarga baginda mempunyai pertalian darah dengan keluarga Diraja Kedah. Mr. Duke, Pegawai Penasihat, telah mampu menjalankan apa saja penyelesaian terhadap tiap-tiap jabatan kerajaan. Seluruh negeri ini luasnya tidak lebih daripada sebuah jajahan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Hasil pendapatan negeri lebih kurang $100,000 setahun. Mr. Duke banyak berusaha dalam pentadbiran kerana sebelumnya sangat lemah. Malangnya, Mr. Duke terlalu mengenakan paksaan terhadap kakitangan kerajaan.

Laporan tersebut menunjukkan sikap Mr. Meadow Frost ingin mencantumkan kembali negeri Perlis dengan negeri Kedah. Beliau menyarankan kepada pihak British supaya Mr. Duke juga menjadi Pegawai Penasihat bagi Negeri Setol untuk mengelakkan kedua-dua negeri itu daripada menjadi wilayah Siam sebenar-benarnya. Namun begitu, pentadbiran negeri Perlis berjalan agak sistematik di bawah pentadbiran 'State Council'. Akan tetapi wang yang dipinjam daripada Kerajaan Siam itu belum dapat dibayar pada tiap-tiap bulan seperti mana yang disyaratkan kerana pada akhir tahun 1906, masalah kewangan bertambah rumit.

Perbelanjaan lebih banyak dan lebih besar daripada pendapatan. Jumlah faedah terkumpul meningkat sehingga $16,100.63. Ternyata Mr. Duke tidak dapat mengatasi masalah, kerana itu pada 25 Februari 1907 dibuat perjanjian sekali lagi, berhutang kepada Kerajaan Siam sebanyak $150.000.00 dibayar dalam masa lima tahun, dengan faedah berjumlah $130,190.63.

Menurut surat perjanjian tersebut, pihak Siam akan menyemak dan meneliti hal-hal yang lebih terperinci tentang perbelanjaan wang keluar masuk kerajaan negeri Perlis pada tiap-tiap tahun. Raja dan pembesar Perlis kini cuma mempunyai nama dan gelaran, kuasa pemerintahan berada di tangan Mr. A. H. Duke daripada pinjaman kedua, masalah kewangan beransur pulih. Mr. Duke, menurut surat Mr. Frost dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

Pada bulan Mac 1909, Perjanjian Siam-Perancis ditandatangani oleh Mr. Strobel, Penasihat Am (General Adviser) kepada Kerajaan Siam di Bangkok, mencadangkan kepada Mr. Ralph Paget, Menteri Kerajaan British di Bangkok, supaya kerajaan British membuat pula surat perjanjian dengan Kerajaan Siam melibatkan Negeri-Negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri tersebutlah menyebabkan kekacauan, kesusahan dan kebimbangan Kerajaan Siam. Wilayah-wilayah tersebut tidak bernilai serta tidak menyumbang apa-apa hasil kepada Bangkok, tambahan pula sukar dikawal kerana kedudukannya yang terlalu jauh dari Bangkok.

Cadangan Mr. Strobel itu mendapat sambutan pihak Pejabat Luar British di London kerana bimbangkan pengaruh Jerman di Negeri Siam. Wujudlah persidangan rasmi antara kedua-dua pihak.

Rundingan demi rundingan di jalankan, akhirnya negeri Perlis dimasukkan bersama (pada mulanya tertinggal) kerana faktor geografi dan latar belakang sejarahnya, juga termasuk negeri Kedah, Kelantan dan Terangganu, tetapi tidak termasuk Setol.

Pihak British memasukkan wilayah asingnya ke atas wilayah-wilayah Kerajaan Siam. Hutang Negeri Perlis dijelaskan daripada sumber kewangan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Berakhirlah zaman naungan Kerajaan Siam di negeri Perlis iaitu selama kira-kira 70 tahun. Malangnya perjanjian tersebut tidak diberi tahu langsung kepada Tuanku Raja Syed Alwi dan Sultan Kedah. Kedua Baginda cuma mendengar khabar angin.

Demikian bermulalah era pemerintahan British di negeri Perlis. Pelaksanaan perjanjian tersebut dikuatkuasakan di negeri Perlis, Kedah dan Kelantan pada 15 Julai 1909, dalam era pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi Jamalullail.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10 - 1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan