Baginda adalah putera kepada Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Jamalullail dengan isterinya Puan Wan Teh Binti Endut. Di sebelah ayahandanya, baginda adalah cucunda saudara kepada Raja Syed Alwi (Raja Perlis keempat) dan cicit kepada Raja Syed Saffi (Raja Perlis ketiga). Dalam zaman pemerintahan Raja Syed Alwi, baginda dilantik sebagai bakal Raja Perlis pada 30 April 1938. Baginda pernah diketepikan daripada mewarisi takhta kerajaan Perlis.
Walaupun begitu, kedatangan semula British selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah menyaksikan baginda diangkat semula sebagai Raja Perlis keenam, pada 4 Disember 1945. Meskipun demikian DYMM Tuanku Syed Putra hanya dapat ditabalkan secara rasmi pada 12 Mac 1949. Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu, turut hadir sebagai wakil kepada Raja England. Sebaik sahaja baginda diperakukan sebagai Raja Perlis yang sah, baginda terus dihadapkan dengan dugaan yang sangat besar. Hal ini berlaku apabila baginda dipaksa menandatangani Perjanjian Malayan Union oleh Sir Harold Mac Michael, wakil Kerajaan British. Baginda didesak untuk menyerahkan kedaulatan Kerajaan Perlis, namun baginda menolak. Tambahan pula kandungan Perjanjian Malayan Union amat bertentangan dengan Perjanjian Perlis-British 1930 yang telah dimeterai terlebih dahulu oleh Raja Syed Alwi. Dalam situasi ini, baginda didampingi oleh para pembesar negeri seperti Haji Ahmad Mohamad, Wan Ahmad Wan Daud dan Syeikh Ahmad Mohd Hashim yang turut memprotes tindakan Mac Michael. Akhirnya baginda diugut oleh Mac Michael mengatakan British masih boleh mendapatkan tandatangan daripada individu lain dengan cara menurunkan baginda daripada takhta Kerajaan Perlis. Dengan berat hati, DYMM Tuanku Syed Putra menurunkan juga tandatangan ke atas Perjanjian Malayan Union. Walaupun begitu, baginda dengan serta-merta mengirimkan bantahan kepada Kerajaan British di London oleh sebab baginda dipaksa menurunkan tandatangan oleh Mac Michael. Bersama-sama dengan Raja-raja Melayu yang lain, baginda telah memulaukan upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union sebagai tanda protes.
DYMM Tuanku Syed Putra diberikan sokongan padu oleh orang Melayu Perlis dalam penentangan terhadap Malayan Union. Kesedaran politik orang Melayu Perlis bertambah sistematik menerusi penubuhan Kelab Indera Kayangan. Nasionalisme Melayu Perlis mencapai kemuncaknya apabila Persatuan Melayu Perlis ditubuhkan untuk membela kepentingan sosio-ekonomi dan politik orang Melayu. Persatuan Melayu Perlis telah bergabung bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain dari seluruh Semenanjung sehingga tertubuhnya UMNO. Justeru menerusi UMNO pusat dan juga UMNO Perlis, anak-anak watan Perlis menentang gagasan Malayan Union untuk mengembalikan kedaulatan Raja mereka. Matlamat ini tercapai apabila Perlembagaan Malayan Union digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kedaulatan baginda diserahkan kembali oleh Kerajaan British. Pemerintahan baginda mendapat seorang pegawai Melayu daripada Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pegawai ini digelar Menteri Besar yang mengetuai pentadbiran negeri bagi pihak baginda. Penasihat British Perlis pun diturunkan tarafnya di bawah Menteri Besar Perlis. Maka mulai 1 Februari 1948, Raja Haji Ahmad Bin Raja Endut dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang pertama. Pada 31 Januari 1957, Perlis mendapat Menteri Besar kedua iaitu Dato' Laksamana Mohd. Razali Bin Mohd. Ali Wasi. Dato' Laksamana Mohd. Razali berkhidmat sehingga 30 April 1959 sebagai Menteri Besar Perlis.
Dengan kemenangan Perikatan UMNO-MCA-MIC Perlis dalam Pilihanraya Kedua pada Julai 1959, pemerintahan baginda mendapat Menteri Besar ketiga iaitu Tan Sri Syeikh Ahmad Bin Mohd. Hashim. Beliau bukan seperti dua Menteri Besar Perlis sebelumnya yang merupakan pegawai perkhidmatan awam. Sebaliknya Tan Sri Syeikh Ahmad merupakan Menteri Besar Perlis pertama yang dilantik dalam kalangan tokoh politik yang bertanding dalam pilihanraya. Tan Sri Syeikh Ahmad berkhidmat sehingga 31 Disember 1971. Seterusnya pemerintahan baginda telah dibantu oleh Menteri Besar Perlis keempat iaitu Dato' Jaafar Hassan (yang berkhidmat dari 1972 sehingga 1981), Menteri Besar kelima iaitu Dato' Ali Ahmad (1981-1986), Menteri Besar keenam iaitu Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh (1986-1995) dan Menteri besar ketujuh Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim (1995-2008).
Raja Perlis keenam ini turut mengasaskan Perlembagaan negeri Perlis yang pertama disebut sebagai Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis pada 1 Februari 1948. Inilah dokumen yang dianggap sebagai Perlembagaan Bertulis bagi Kerajaan Perlis buat julung-julung kalinya. Di dalamnya terkandung 78 perkara, yang antara terpentingnya adalah garis panduan pemerintahan baginda sebagai Raja Berperlembagaan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis ini selesai disempurnakan pada 26 Mac 1959. Upacara pengurniaan dan penetapan undang-undang tubuh ini turut disaksi dan ditandatangani oleh lima orang pembesar Perlis iaitu Syed Hussein Ibni Syed Zain Jamalullail (Wakil Raja), Dato' Laksamana Mohd. Razali Bin Mohd. Ali Wasi (Menteri Besar), Haji Ahmad Muhammad, Wan Ahmad Bin Wan Daud dan Syeikh Ahmad Mohd. Hashim.
DYMM Tuanku Syed Putra turut berjasa besar mengkanunkan dan mengembangkan lagi Agama Islam Ahli Sunnah Wal Jama'ah sebagai agama bagi negeri Perlis. Ini telah ditegaskan dalam Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis yang dikurniakan oleh baginda. Justeru pada zaman pemerintahan baginda, segala perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri Perlis telah diselaraskan menurut tuntutan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama'ah dalam Perkara 5 ini.
Pada bulan April 1960, DYMM Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja Melayu. Apabila Yang di-Pertuan Agong iaitu Sultan Hishamuddin Alam Shah dari Selangor sedang gering, baginda dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong. Tugas ini dijalankan oleh baginda dari bulan Julai sehingga Ogos 1960. Untuk menjalankan pemerintahan Kerajaan Perlis, baginda telah memperkenankan sebuah Jemaah Pemangku Raja dilantik menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis. Pada 7 Ogos 1960, jemaah ini dilantik dengan dianggotai oleh Dr. Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail (Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja), Haji Ahmad Bin Muhammad dan Syed Hussain Ibni Syed Zain Jamalullail.
Ekoran kemangkatan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1960, DYMM Tuanku Syed Putra telah dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ketiga. Oleh yang demikian, sebuah lagi Jemaah Pemangku Raja dilantik pada tarikh yang sama. Kali ini Jemaah Pemangku Raja Perlis dianggotai oleh Dr. Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail (Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja), Haji Ahmad Bin Muhammad, Syed Hussain Ibni Syed Zain Jamalullail dan Syed Abu Bakar Ibni Syed Hussain al-Jafri. Selepas dua tahun Jemaah Pemangku Raja ini menjalankan tugas, DYMM Tuanku Syed Putra melanjutkan perkhidmatan mereka mulai 21 September 1962 sehingga 31 Disember 1962. Perisytiharan ini dikeluarkan pada 21 September 1962.
Serentak dengan tarikh 31 Disember 1962, baginda melantik pula YTM Tengku Sulaiman Ibni Tengku Bendahara Abu Bakar sebagai Pemangku Raja Perlis yang baru. YTM Tengku Sulaiman adalah menantu baginda yang mengahwini puteri sulung baginda, YTM Syarifah Salwa Binti Tuanku Syed Putra. YTM Tengku Sulaiman menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja sehingga baginda menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Dertuan Agong pada 20 September 1965.
DYMM Tuanku Syed Putra merupakan Raja Perlis yang menandatangani Perjanjian Persekutuan 1948 dan sekaligus mengesahkan kemasukan Perlis ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Secara teknikal, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong terakhir kepada Malaya. Apabila tertubuhnya Persekutuan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, baginda juga menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama bagi Malaysia. Ini juga bermakna baginda juga satu-satunya Raja kepada Singapura dalam sejarah modennya yakni semasa Singapura masih berada dalam Persekutuan Malaysia. DYMM Tuanku Syed Putra turut menjadi tonggak kekuatan kepada seluruh Malaysia apabila negara berada dalam Konfrontasi dengan Republik Indonesia pada tahun 1965. Banyak daripada mercu tanda kemegahan negara seperti Bangunan Parlimen, Masjid Negara, Stadium Negara, Muzium Negara dan Lapangan Terbang Subang telah dirasmikan oleh baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ketiga.
Baginda turut diberikan penghormatan menjadi Kolonel Yang Dipertua Pasukan Renjer Malaysia serta Canselor Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1986, baginda memperkenankan penubuhan Yayasan Tuanku Syed Putra bagi membantu rakyat Perlis melanjutkan pelajaran. Baginda juga merupakan Raja Perlis pertama yang berangkat melawat pelbagai destinasi di seluruh dunia.
DYMM Tuanku Syed Putra mangkat pada 16 April 2000. Pemerintahan baginda selama 55 tahun mencatatkan nama baginda sebagai salah seorang Raja berdaulat yang paling lama bertakhta di seluruh dunia pada zamannya. Baginda digantikan oleh anakandanya, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Sumber Rujukan: Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan