Asal Usul Kampung Nesam - FRIEND OF PERLIS

Terkini

04 April 2019

Asal Usul Kampung Nesam


Kampung Nesam, Bintong, terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Kangar. Ia merupakan sebuah kampung yang menyimpan banyak sejarah jika kita rajin mengkajinya. Menurut bekas wakil rakyat kawasan tersebut yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato' Kaya bakti Syed Omar bin Syed Hussain, 78, perkataan Nesam berasal dari perkataan Siam iaitu "Nai" dan "Sam".

Katanya "Nai" membawa maksud Ketua sementara "Sam" ialah Tiga. Ini bermakna Tiga Ketua. Semasa menjadi wakil rakyat awal tahun 1970-an dan tahun-tahun selepas tamat perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Bintong, beliau telah sempat menemui beberapa orang tua di kampung terbabit untuk mengetahui sejarah asal usulnya.

Dato’ Kaya Bakti Syed Omar bin Syed Hussain

Syed Omar memberitahu, salah seorang yang sempat ditemuinya bernama Tok Munah, cucu kepada salah seorang pengasas kampung itu. Tok Munah sekarang telahpun meninggal dunia. Dari apa yang diceritakan oleh Allahyarham Tok Munah kepadanya, Kampung Nesam dibuka oleh tiga sahabat yang datang daripada Wilayah Satun, selatan Thailand. Salah seorang dari mereka ialah datuknya sendiri. Bagaimanapun nama mereka dan tarikh kedatangan mereka tidak diketahui. Tetapi dianggarkan kini sudah memasuki lima keturunan.

Katanya, difahamkan ketiga-tiga sahabat itu lari ke Perlis untuk mengelak dari diambil tindakan oleh pihak pemerintah Siam (Thailand) ketika itu yang agak kurang senang terhadap orang-orang Islam. Ketiga-tiga mereka terbabit adalah orang-orang Islam. Kebanyakan penduduk di Wilayah Satun beragama Islam, hingga ke hari ini.

Syed Omar berkata, bagi mengelak dari ditangkap oleh pihak berkuasa Siam itulah, ketiga-tiga sahabat berkenaan melarikan diri dengan memanjat banjaran Nakawan, berjalan kaki terus ke puncak banjaran dan kemudian turun ke bahagian Negeri Perlis melalui satu kawasan lurah, hingga sampai ke kaki bukit banjaran tersebut.

Suatu ketika dahulu kampung berkenaan menjadi laluan kepada para pengusaha dusun buah-buahan di atas Banjaran Nakawan untuk pergi ke dusun mereka

Di kawasan kaki bukit banjaran itu dikenali dengan panggilan Kampung Padang Licin, kerana keadaan tanah di situ yang terlalu licin akibat berlumut apabila ianya menjadi laluan air dari atas bukit ke situ. Bagaimanapun selepas Syed Omar menjadi wakil rakyat, kampung terbabit ditukar dengan nama Kampung Syed Omar sebagai mengenang jasa Syed Omar membantu penduduk tempatan mendapatkan geran hak milik tanah. Nama Kampung Syed Omar kekal hingga sekarang.

Apabila sampai di Kampung Padang Licin, ketiga-tiga sahabat tadi terus berjalan kira-kira satu kilometer ke bahagian timur dan membuka kampung di situ. Tempat tinggal mereka dipanggil Kampung Setoi (Satun) mengambil sempena asal mereka dari Satun. Masih terdapat penduduk di situ bercakap loghat Siam malah peringkat orang-orang tua juga boleh bertutur Bahasa Thai. Apabila keadaan kawasan penempatan di situ menjadi semakin luas, ianya dipanggil “Nai Sam”, iaitu mengambil sempena ketiga-tiga sahabat dari Siam tadi yang ditakrifkan sebagai Tiga Ketua.

Lama kelamaan panggilan "Nai Sam" menjadi sebutan Nesam, mengikut sebutan oleh orang-orang Melayu tempatan. Kampung itu juga berkembang begitu pesat sekali. Suatu ketika dahulu kampung berkenaan menjadi laluan kepada para pengusaha dusun buah-buahan di atas Banjaran Nakawan untuk pergi ke dusun mereka.

Bagaimanapun, pada masa itu mereka yang melalui kawasan tersebut hanya berjalan kaki sahaja dari jalan yang sedia ada di kepala bukit Kampung Nesam melalui kawasan hutan buluh dan sedikit kawasan perkampungan. Ini disebabkan ketika itu belum ada lagi jalan perhubungan sebagaimana terdapat sekarang. Semasa berada di Padang Licin, mereka perlu lebih berhati-hati berjalan di atas tanah yang licin. Lebih-lebih lagi ketika membawa buah-
buahan semasa pulang.

Kini keadaan sudah jauh berubah. Sebatang jalan tar dibina melalui kampung berkenaan hingga ke kawasan rekreasi dan padang golf Sungai Batu Pahat. Bilangan rumah juga semakin bertambah. Kampung Nesam terus berkembang. Begitu juga kampung-kampung sekitarnya seperti Kampung Padang Kota, Kurung Batang dan Telok jambu.

Paling membanggakan apabila Kampung Nesam dan kampung-kampung persekitarannya menyumbang banyak jasa kepada pertumbuhan seni dan budaya di Negeri Perlis ini. Di Kampung Nesam sendiri terdapat Kumpulan Hadrah dan Kumpulan Gendang Terinai. Di kawasan tersebut juga diasaskan permainan Selampit oleh Allahyarham Ismail Hassan. Bagaimanapun tidak ada lagi pewaris yang terus memainkan kesenian itu sekarang.

Bersempadan dengan kampung tersebut pula, terdapat Kampung Teluk Jambu yang menjadi tempat kelahiran dua lagi keseniaan lama Negeri Perlis, iaitu Canggung dan Beduan. Canggung diasaskan oleh Allahyarham Senapi Osman atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Pi Canggung bersama cucu-cucunya, Intan dan Lian. Sementara Beduan pula diasaskan oleh sekumpulan penduduk tempatan di situ. Kedua-dua permainan itu hampir hilang sekarang. Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menghidupkannya semula.

Kampung Nesam dan kawasan persekitarannya kini sedang membangun dengan pesat sekali. Jalan perhubungan sudah dinaiktaraf dari asalnya jalan tanah merah menjadi jalan tar yang boleh dilalui kenderaan berat dan merupakan salah satu laluan kepada orang ramai termasuk para pelancong luar yang hendak ke kawasan rekreasi dan padang golf Sungai Batu Pahat atau ke kawasan rekreasi Bukit Air.

Walaupun pada fakta sejarah mungkin boleh dibuat lebih banyak lagi kajian. tetapi sedikit sebanyak dapat juga kita mengetahui tentang asal usul Kampung Nesam tersebut dan jasanya dalam mengeratkan hubungan antara rakyat Perlis dengan penduduk di Satun, Selatan Thailand. Ini sesuai sekali dengan semangat setiakawan antara dua buah negara berjiran. Masih ada di kalangan penduduk kampung itu berulang alik ke kampung saudara mara mereka di Satun.

Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11 - 1999

Sumber Maklumat: DATO' KAYA BAKTI SYED OMAR BIN SYED HUSSAIN (Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Bekas Wakil Rakyat Kawasan Bintong)

Penulis Asal: RAMLI ISMAIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan