Asal Usul Nama "Kampung Kubang Tiga" - FRIEND OF PERLIS

Terkini

22 April 2019

Asal Usul Nama "Kampung Kubang Tiga"


Kewujudan penempatan atau kampung terawal khususnya di Perlis lazimnya di pinggiran sungai atau tasik yang menjadi punca air, sebagai jalan perhubungan dan untuk menangkap ikan sebagai sumber rezeki. Tetapi kewujudan kampung Kubang Tiga ini agak terkeluar dari kelaziman atau kebiasaan yang disebutkan tadi, di kampung ini tidak terdapat saliran air atau sungai.

Menurut keterangan yang disampaikan oleh En. Eudin Eruang a/I Eudin Room, generasi keempat dari keluarga Thuat Khunpithak (pembawa bendera rombongan ufti bunga emas) menyatakan, pada masa dahulu terdapat sebatang jalan gajah yang Iebar menjadi laluan utama dari Muang Saiburi (Kedah) ke wilayah-wilayahnya di utara iaitu Muang Satun (Setul), Songkhla, Chana (Chenak) dan lain-lain. Dan laIuan ini yang terpentingnya ialah untuk ke pelabuhan Singgora dalam Wilayah Songkhla bagi meneruskan perjalanan ke Kota Bangkok, Thailand. Di mana ketika itu pada abad ke 16, 17, 18 dan 19 hubungan diantara Siam dengan Kedah (Saiburi)  berada pada tahap yang tidak menentu kerana perubahan-perubahan politik yang sering berlaku di negara Siam.

Pada tahun 1843 Maung Polit (perlis) telah menjadi sebuah negeri berasingan dan bukan lagi sebahagian dan jajahan negeri Kedah. Justeru demikian Tuan Syed Hussin Jamalullail yang menjadi Gabenor Perlis dewasa itu telah dilantik dan ditabal menjadi Raja negeri Perlis yang pertama.

Walaupun Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat namun ianya masih lagi dibawah naugan Raja Siam. Sebagai tanda persahabatan dan hormat, Kerajaan Siam meminta Raja Perlis menghantar 'Bunga Emas' tiap-tiap tiga tahun sekali sebagai ufti.

Bunga Emas yang pertama di hantar ke Kota Bangkok, Siam ialah pada tahun 1845. Dalam hal ini En. Eudin Eruang memberitahu 'Rombongan Bunga Emas Raja Syed Hussin Jamalullail, Raja Perlis pertama mengguna jalan gajah yang disebut tadi.

Rombongan bertolak dari Istana Arau, diketuai oleh Penghulu Bunga Emas, diiringi oleh kerabat-kerabat diraja, pembesar-pembesar negeri serta beberapa orang panglima serta pembawa bendera. Dari Arau dengan menaiki gajah, rombongan ini melalui Chuping, Panggas dan berhenti rehat dan bermalam di Kubang Tiga (sekarang).

Dalam rombongan tersebut turut serta ialah Thuat Khunpithak ('Khunpithak' sama seperti 'Syed' bagi orang melayu) iaitu 'moyang' kepada En. Eudin Eruang, beliau ditugas sebagai pembawa bendera dan berjalan dihadapan gajah yang membawa 'Bunga Emas'. Semasa berhenti di tempat persinggahan (Kubang Tiga sekarang) salah seorang dan ahli rombongan bertanyakan nama tempat tersebut, tetapi tidak seorang pun yang dapat memberitahu namanya. Oleh sebab berhampiran dengan tempat mereka berhenti terdapat tiga buah kubang badak yang besar, Penghulu Bunga Emas mencadangkan supaya tempat tersebut dinamakan 'Kubang Tiga', ahli rombongan semuafakat dan amat bersetuju dengan nama tersebut. Dan selepas itu setiap orang yang lalu lalang memanggil tempat tersebut Kubang Tiga dan akhirnya nama tersebut telah diterima pakai dan kekal hingga ke hari ini.

Demikianlah timbulnya atau bagaimana asal-usul terbentuknya nama 'Kubang Tiga'. Rombongan tersebut akan meneruskan perjalanan mereka sehinggalah sampai ke pelabuhan Singora, dari Singora rombongan ini akan berlayar ke Kota Bangkok untuk mempersembahkan Ufti Bunga Emas kepada Raja Siam.

Sumber: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 17 - 2005

Tiada ulasan:

Catat Ulasan