Waspada Dengan Sendiket Penipuan Umrah - FRIEND OF PERLIS

Terkini

31 Januari 2019

Waspada Dengan Sendiket Penipuan Umrah


Hampir setiap tahun kita dengar berita dan kes penipuan sindiket umrah. Melibatkan orang bisnes dan juga golongan agama. Mangsanya bukan sedikit dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan, memang itu target yang mudah mengena.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, sejak 2012 hingga Oktober 2017, seramai 3,714 umat Islam di negara kita menjadi mangsa penipuan sebegini. Dan dianggarkan sebanyak RM30.8 juta kerugian dilaporkan kepada pihak polis dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Kesian jugalah kita yang membaca beritanya. Dah bergadai habis tanah pusaka, intan berlian untuk mencapai hajat ke Tanah Suci. Sampai ada yang siap membuat pinjaman lagi. Kenduri dan solat hajat dah dibuat. Alih-alih sangkut di KLIA, katanya tiket belum beli lagi, urusan visa juga langsung tak dibuat. Petugas agensi travel lesap hilang tanpa khabar berita.

Ada juga yang tawarkan harga rendah. Kita ini punyalah teruja, katanya rezeki. Alih-alih nak terbang dari KLIA, kena kutip lagi seribu. Tiba di Madinah, tak dapat kunci bilik hotel melainkan buat bayaran lagi seribu. Nak keluar ziarah tempat bersejarah, kena tambah lagi 200 riyal. Dah kalau begitu, murah tang mana woih? Kesianlah dekat makcik pakcik ini. Namun itulah, umpan sudah mengena.

Untuk pengetahuan semua, kita di Malaysia ada satu badan khas di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama beberapa institusi lain yang mengawal selia urusan agensi pengelola umrah. Ia dikenali dengan nama Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

Mereka telah menetapkan bahawa harga pakej umrah yang paling murah di Malaysia adalah RM4900. Tidak kurang dari itu. Oleh itu, jika terserempak dengan mana-mana pakej yang menawarkan bawah pada itu, mesti ada 'udang di sebalik batu.' Begitulah bahasa lembutnya.

Selain itu, agensi travel yang menguruskan umrah juga mestilah didaftarkan di bawah kementerian ini. Ada syarat-syaratnya yang harus pihak agensi patuhi. Kiranya lagi meyakinkan para jemaah untuk berurusan. Jika ada apa-apa masalah, kita sudah ada saluran yang betul untuk dipanjangkan.

Kalian boleh semaknya di sini ya,

1. Syarikat yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) berstatus Muasassah:
2. Syarikat yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) berstatus bukan Muasassah:

Penting jugalah status agensi yang berdaftar ini. Kalau kena tipu sekalipun, paling kurang kementerian ada segala maklumat berkenaannya. Memudahkan urusan nanti. Jika sebaliknya, susah-susah. Moga dijauhkan dari anak cucu kita.

Oleh itu, berlaku bijaklah dalam memilih agensi travel untuk menguruskan gerak kerja umrah kita dari Malaysia sehingga selesai semuanya. Moga dipermudahkan segalanya.

Sumber: Najmi Farisham

Tiada ulasan:

Catat Ulasan