Harumanis, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan rakyat negeri Perlis khususnya dan penggemar mangga ini amnya. Harumanis Perlis telah mencipta satu fenomena tersendiri setiap kali tiba musimnya antara Mac hingga Jun setiap tahun. Kehadiran Harumanis sentiasa dinantikan penggemar buah tempatan sama ada di negeri Perlis atau lain-lain negeri. Antara mempelam jenis lain adalah Sala, Chokanan dan Nam Dorkmai.
Mangga atau mempelam (Magnifera Indica Spp.) adalah buah-buahan bermusim yang ditanam di negara-negara tropika dan Harumanis Perlis merupakan klon mempelam Perlis yang popular. Harumanis dapat hidup subur di kebanyakan jenis tanah dan hanya berbuah dengan banyak di kawasan yang mempunyai cuaca panas antara dua hingga tiga bulan sehingga suhu maksima 30˚celcius hingga 38˚celcius sebagai rangsangan kepada pengeluaran bunga. Taburan hujan minima hingga 2700 mm setahun sudah mencukupi bagi membantu tumbesaran Harumanis. Bentuk buah adalah bujur dan isinya tebal. Walaupun sudah masak, kulit buahnya tetap berwarna hijau, manis dan berbau harum.
Sehingga kini, Perlis merupakan lokasi yang paling sesuai untuk penanaman pokok Harumanis. Mempelam Harumanis memerlukan tanah yang dalam, gembur dan mempunyai kandungan mineral yang tinggi dengan nilai pH tanah yang sesuai iaitu 5.5 hingga 6.5 serta sistem saliran yang baik. Tidak hairanlah jika terdapat rungutan daripada sesetengah pembeli pokok Harumanis mereka tidak mengeluarkan hasil tetapi dapat tumbuh dengan baik. Ada sesetengah tempat juga, ada Harumanis yang berbuah namun hasilnya tidaklah sebaik Harumanis Perlis. Ini jelas menunjukkan negeri Perlis mempunyai tanah yang paling sesuai untuk tanaman pokok jenis ini.
Keunikan hasil bumi Perlis ini telah menjadikan Harumanis antara ikon terbaik untuk memperkenalkan Perlis kepada dunia luar. Menelusuri sejarah mempelam Harumanis (MA 128) telah didaftarkan pada 28 Mei 1971 di Selangor. Klon mempelam Harumanis (MA 128) telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis melalui Program Subsidi Input dan Mempelbagaikan Tanaman (Rancangan AID) di bawah Peruntukan Kerajaan Persekutuan dan melalui Program Bantuan Kampung di bawah peruntukan Kerajaan Negeri. Bermula dari program inilah penanaman Harumanis berkembang dari setahun ke setahun dan pada masa sama dapat meningkatkan pendapatan petani yang turut serta dalam program tersebut.
Jabatan Pertanian Negeri Perlis sendiri dalam usaha menyokong pembangunan industri Harumanis telah mempunyai ladang sendiri di Kompleks Pertanian Bukit Temiang dan Pusat Pertanian Bukit Bintang sebagai ladang demontrasi mempelam Harumanis negeri Perlis dan Pusat Kecemerlangan Harumanis, Jabatan Pertanian Negeri Perlis. Disamping itu, Projek Desa Harumanis yang bermula pada 2010 telah dibangunkan dengan menggalakan peserta-peserta program mengguna pakai kawasan sekeliling rumah untuk menanam Harumanis.
Pada 2010, Harumanis Perlis telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran negara Jepun. Kejayaan penghantaran Harumanis ini tidak terhenti di Jepun sahaja malah Singapura adalah antara negara yang telah dieksport Harumanis dan Sala. Dengan harga 1000 yen (RM38) di Jepun dan SGD10 (RM25) sekilogram di Singapura, menunjukkan Harumanis mempunyai nilai yang tinggi di luar negara.
Harumanis juga telah menjadi satu faktor kepada peningkatan kadar pelancong ke negeri Perlis terutamanya setiap kali tibanya musim. Harumanis menjadi sebutan sehingga ke serata pelusuk tanah air dan ada yang sanggup datang semata-mata bagi mendapatkan mempelam ini dan merasai sendiri keenakkannya. Namun, ada sesetengan peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjual mempelam lain yang bukannya Harumanis dengan harga yang tinggi, sedikit sebanyak telah menjejaskan imej dan kualiti mempelam Harumanis sendiri.
Kini kerajaan negeri Perlis telah mendaftarkan mempelam Harumanis sebagai harta intelek, ini menunjukkan inisiatif yang dapat menjamin kualiti dan nilai komersial Harumanis dan pada masa yang sama dapat mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan imej Harumanis dan negeri Perlis sendiri.
Buahan bermusim seperti Harumanis bukan sahaja enak dimakan segar, malah isinya yang tebal kekuningan dan berjus, rasanya yang manis dan beraroma ini juga enak dijamah bersama pulut. Sajian tradisi negeri Perlis ini merupakan antara sajian utama dan popular setiap kali tibanya musim Harumanis. Selain itu Harumanis juga sesuai dijadikan jus dan jem.
Antara keistimewaan Harumanis ialah kaya dengan antioksidan seperti vitamin C dan E. Harumanis juga mempunyai serat yang membantu sistem pencernaan dan penghadaman dan larut dalam air serta baik untuk mengawal paras kolestrol yang tinggi. Di samping itu, Harumanis juga dapat membantu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti radang kulit, influenza, asma dan lain-lain keistimewaan dari sudut kesihatan. Yang pasti, keistimewaan yang satu ini iaitu, hanya menjadi jika ditanam di Perlis belum mampu digugat oleh mana-mana negeri lagi di Malaysia. Jika ada pun suatu hari nanti, ia merupakan satu perkembangan baik dan sihat yang mampu menjana ekonomi negara secara tidak langsung ia dapat menampung permintaan yang semakin meningkat saban tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan