Kemangkatan & Adat Istiadat Permakaman Jenazah Al-Marhum Raja Syed Alwi Jamalullail - FRIEND OF PERLIS

Terkini

19 Mei 2019

Kemangkatan & Adat Istiadat Permakaman Jenazah Al-Marhum Raja Syed Alwi Jamalullail



Pada hari Selasa, 2 Februari 1943, negeri Perlis telah kehilangan Raja kerana pada hari tersebut Raja Syed Alwi telah mangkat. Rakyat negeri Perlis sungguh bersedih di atas kehilangan Raja yang mereka kasihi.

Raja Syed Alwi merupakan Raja yang paling lama memerintah negeri Perlis jika dibandingkan dengan Raja-raja sebelumnya. Raja Ayed Alwi juga telah menjadi Raja negeri Perlis dalam tiga "zaman penjajah", iaitu zaman Siam, zaman British dan zaman Jepun.

Walaupun semasa itu negeri Perlis berada di bawah pemerintahan Jepun, namun pihak Jepun telah membenarkan penduduk-penduduk negeri ini menjalankan upacara-upacara yang berhubung dengan agama dan adat istiadat warisan nenek moyang mereka masing-masing. Demikian juga dengan adat istiadat permakaman jenazah Al-Marhum itu sebagaimana yang telah dijalankan pada hari Selasa, 2 Februari 1943 itu.

Berikut adalah aturcara istiadat yang dimaksudkan itu:


Selepas sahaja Raja Perlis yang baharu itu mengeluarkan titah perintah tersebut, maka istiadat mengangkat jenazah pun dimulakan seperti berikut:
  • Jenazah itu dipangku oleh kerabat-kerabat Diraja dan anak cucu saudara Al-Marhum daripada atas hingga ke bawah istana. Apabila sampai di bawah maka disambut pula oleh kepala-kepala pekerja lalu diletak di atas Perusungan Raja Diraja. Pasukan Keysatsukang sedia menanti di hadapan istana. Kemudian jenazah Al-Marhum itu dibawa daripada istana ke Makam Diraja Arau.
  • Di atas Perusungan Raja Diraja itu empat orang kerabat Diraja berdiri memegang payung kuning di tiap-tiap penjurunya, mereka itu terdiri daripada Syed Abu Bakar bin Syed Hussin, Syed Ahmad bin Syed Hussin, Syed Darus bin Syed Mansor dan Syed Omar bin Syed Muhammad. Di samping itu pula terdapat empat orang perempuan daripada anak orang baik-baik memegang penyiram air mawar dan bekas perasap.
  • Berjalan di hadapan sekali ialah Pasukan Keysatsukang Perlis. Diikuti pula oleh Penghulu-penghulu Mukim, Haji-haji dan Lebai-lebai serta Kepala Pekerjaan. Di belakang mereka tersebut terdapat Tuan Yang Terutama Chogan Katka, Raja Syed Hamzah dan para wakil daripada negeri-negeri Melayu lain. Seterusnya diikuti oleh jenazah Al-Marhum Syed Alwi yang diusung oleh 40 orang Rakyat negeri ini daripada tiap-tiap Mukim, masing-masing memakai selendang kuning. Di belakang jenazah diiringi oleh kerabat-kerabat Diraja Perlis, dan diikuti pula oleh wakil bagi setiap kaum: Cina, India, Sikh dan lain-lain. Seterusnya diikuti pula oleh pegawai-pegawai kerajaan, ketua-ketua kampung, guru-guru dan "orang-orang enam".
  • Setelah dimakamkan jenazah Al-Marhum itu Keysatsukang telah memberi penghormatan terakhir dan kemudiannya Talqin dibacakan oleh Al-Fadhil Tuan Haji Ismail, Kadi Besar Perlis.

 

Pada hari tersebut (Selasa 2 Februari 1943), semua pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah telah ditutup separuh hari kerana menghormati kemangkatan Baginda itu. Semua pegawai kerajaan dan guru-guru sekolah dikehendaki hadir ke upacara tersebut di Arau. Kerabat-kerabat Diraja dan kepala-kepala pekerjaan dikehendaki hadir dengan memakai pakaian Melayu berwarna hitam, kecualilah mereka yang bukan Melayu yang memakai pakaian yang ditentukan. Tuan-tuan Haji pula dikehendaki hadir dengan memakai jubah.

Kenduri arwah dan bacaan al-Quran telah diadakan di dalam istana Arau dan di Makam Diraja Arau selama 40 hari di bawah kelolaan Tuan Haji Ismail Kadi. Di samping itu juga semua pegawai kerajaan di dalam negeri Perlis dikehendaki berkabung selama 7 hari dengan memakai kain warna putih satu inci lebar di sekeliling songkok di sebelah bawah (bagi pegawai-pegawai Melayu) iaitu bermula daripada 2 Februari hingga 8 Februari 1943.

Rujukan: Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan