Jasa & Bakti Tuk Arau Peneroka Bandar Arau - FRIEND OF PERLIS

Terkini

25 Mac 2019

Jasa & Bakti Tuk Arau Peneroka Bandar Arau


Tuk Arau merupakan tokoh terpenting bagi negeri Perlis. Jasa dan baktinya begitu besar. Sayangnya, sejarah dan perjuangan beliau tidak begitu diketahui kerana sehingga kini belum lagi terdapat sebuah buku sejarah yang lengkap diterbitkan tentang negeri Perlisdan ketokohannya.

Tuk Arau, nama sebenarnya Muhamad Yunus bin Muhamad Arsyad. Dalam buku 'Sejarah Perlis', karya Haji Buyong Adil, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, mencatatkan nama beliau Muhamad Arsyad bin Muhamad Yunus, akan tetapi cucu-cucunya Wan Hajar binti Wan Din dan Wan Choh bin Dato' Wan Teh mendakwa nama itu adalah terbalik. Nama nenek mereka sebenarnya Muhamad Yunus bin Muhamad Arsyad.

Tuk Arau adalah Perdana Menteri negeri Perlis yang pertama, dilantik pada tahun 1834 dengan gelaran Datuk Belat Paduka Seri Perdana Menteri, dikenali juga sebagai Datuk Arau (Tuk Arau) atau Datuk Awang (Tuk Awang), berasal dari daerah Chenak, dalam negeri Patani, Selatan Thailand.

Beliau adalah menantu angkat kepada Syed Haron Jamalullail, Penghulu Arau yang pertama dan ayahanda mertua kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Hussain ibni Almarhum Syed Haron Jamalullail, raja negeri Perlis yang pertama.

Tuk Arau merupakan seorang pembesar negeri Perlis yang bijaksana dan berwibawa. Beliaulah yang bertanggungjawab membuka dan menamakan bandar Arau. Beliau juga sebagai pembantu Syed Husain Jamalullail sehingga berjaya mewujudkan negeri Perlis dari negeri Kedah pada tahun 1841, ketika dibawah naungan kerajaan Siam.

Satu lagi bakti beliau yang besar terhadap jurai keturunan Raja Perlis ialah, beliaulah bersama penduduk daerah Chenak yang menyelamatkan Syed Haron (berketurunan dari Arab) daripada ditawan dan dibunuh oleh raja Siam.

Pada masa Syed Haron berkunjung ke Chenak kira-kira pada tahun 1752/1753, tinggal bersama bapa saudaranya Syed Ibrahim Al-qadri, mereka disuruh mengadap raja Siam kerana beberapa orang ketua bagi orang-orang Siam khuatirkan mereka akan merampas kuasa, menjatuhkan Raja Chenak. Syed Haron begitu berpengaruh dan terkenal sebagai seorang yang alim dan mengajar hal-ehwal agama Islam.

Ketika itulah Muhamad Yunus bersama panglima-panglima Chenak mengambil peranan membantu mereka daripada ditawan dan diseksa oleh Raja Siam. Mereka membantu keduanya berundur ke Kedah. Dalam pengunduran itulah Muhamad Yunus bersama penduduk Chenak menuruti Syed Haron berhijrah ke Kayangan (nama negeri Perlis ketika dalam pemerintahan Kedah).

Syed Haron mengadap Tunku Dhaiuddin Al-Mukaram Syah, Raja Muda wilayah Kayang dan Setol bagi negeri Kedah, di Kota Indera Kayangan II. Tunku Dhaiuddin menitahkan supaya Syed Haron membuka kampung halamannya di mana-mana jua yang disukainya dalam wilayah Kayangan.

Ketika itulah Muhamad Yunus mengambil peranan membuka sebuah kampung yang dikehendaki oleh Syed Haron. Kampung itu dinamakan 'Arau'. Perkataan Arau berasal daripada perkataan 'Ah Rau' (dalam bahasa Chenak, ertinya tempat yang tidak begitu semak) atau berasal daripada perkataan 'berderau' kampung itu dibuka secara berderau (bergotong-royong). Mengambil sempena kampung inilah Muhamad Yunus digelar 'Tuk Arau'.

Syed Haron telah dilantik oleh Tuanku Dhaiuddin menjadi penghulu Arau apabila beliau berkahwin dengan puteri baginda yang bernama Tuanku Sofiah (dikenali juga dengan nama Tuanku Ku Cik) dalam tahun 1797. Muhamad Yunus terus berbakti kepada Syed Haron dan menjadi pembantu utama beliau. Apabila Syed Haron tidak memperolehi anak dengan isterinya Tuanku Sofiah, Mohamad Yunus (yang dikenali juga dengan panggilan Awang) dilantik sebagai ketua untuk memilih bakal isteri kedua Syed Haron. Muhamad Yunus telah memilih Wan Fatimah disebut juga namanya Wan Fattam, anak orang besar Kota Indera Kayangan II, Datuk Johan Lela Perkasa. Sebagai membalas jasa Muhamad Yunus, Syed Haron mengahwinkan beliau dengan Cik Khatijah (Cik Jah), anak angkat Syed Haron. Kini, perhubungannya dengan Syed Haron sebagai mertua angkat.

Suatu bakti yang amat besar ditunjukkan oleh Muhamad Yunus terhadap Syed Haron dan Sultan Kedah ialah turut merancang dan mengambil peranan mengembalikan Kedah setelah ditawan oleh Raja Ligor, kepada Sultan Ahmad Tajudin.

Dalam tahun 1813, Tuanku Dhaiuddin Raja Muda Kayangan dan Setol mangkat di Kota Indera Kayangan II, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah, Sultan Kedah, telah melantik Tunku Yaakob (Tunku Embon), adinda Sultan Kedah, menjadi Raja Muda Kedah akan tetapi tidak termasuk wilayah Kayang dan Setol.

Menurut amanat Almarhum Sultan Mohamad Jiwa Zainol Azilin Syah, iaitu nenda Tunku Yaakob dan Tuanku Ahmad Tajudin bahawa kedua negeri tersebut hendaklah diperintah oleh putera Almarhum, Tuanku Yusof. Oleh kerana Tuanku Yusof masih kecil dan tidak layak memerintah negeri, maka pentadbiran negeri-negeri tersebut dikelolakan oleh sebuah Jemaah yang dipengurusikan oleh Datuk Paduka Anggraha Dewa.

Tunku Yaakob tidak berpuas hati dan berusaha pula menghalau Syed Haron dari bumi Arau kerana Tuanku Sofiah menjadi waris Kota Indera Kayangan II. Baginda menitahkan pengikut-pengikutnya membawa meriam, menembak Arau dari Kodiang. Akan tetapi tidak mengenai Arau, cuma jatuh di Kampung Jelempuk.

Syed Haron, Ketika itu telah pun mempunyai seorang puteranya bernama Syed Husain yang telah pun remaja, menyuruhnya bersama Muhamad Yunus mengadukan hal tersebut kepada Sultan Ahmad Tajudin di istana Kuala Bahang. Baginda menitahkan Tunku Yaakob mengadap. Tunku yaakob menerangkan tujuan baginda bertindak begitu untuk menghalau Syed Haron dari bumi Arau kerana beliau bukanlah kerabat diraja Kedah. Tuanku Ahmad Tajudin menegaskan bahawa Syed Haron adalah kerabat diraja Kedah kerana beliau adalah sepupu ipar mereka.

Tunku yaakob bertambah marah, menganggap Sultan Kedah lebih mengambil berat dan memberi lebih keistimewaan kepada Syed Haron daripada adindanya sendiri. Beginda berazam untuk membalas dendam.

Tunku yaakob berpakat dengan Raja Ligor (Siam) melanggar Kedah. Pada tahun 1821 askar-askar Siam-Ligor melanggar Kedah termasuk wilayah Kayang dan Setol. Pada masa itu Syed Husain telah dilantik menjadi penghulu Arau yang kedua mengantikan ayahandanya Syed Haron yang telah meninggal dunia pada 10 Syawal bersamaa bulan Mei 1825.

Syed Husain ingin mempertahankan Mukimnya hingga ketitisan darah yang penghabisan. Akan tetapi, setelah mendengar nasihat dan cadangan Muhamad Yunus (ketika ini telah pun dipanggil Tuk Arau), Syed Husain berundur dengan anak isterinya ke Kedah, kemudian ke Pulau Pinang mengadap Sultan Kedah yang mendapat perlindungan di Kelawai.

Ketika itulah Tuk Arau mengambil peranan untuk mengatasi serangan Siam-Ligor. Beliau mengajak Syed Husain berunding dengan Tunku Anum, seorang yang berpengalaman dan terkenal dalam keluarga diraja Kedah. Beliau juga pernah menjadi ketua menguruskan persembahan ufti bunga emas dan perak kepada Maharaja Siam.

Dalam perundingan itu Tunku Bisnu, adinda Sultan Kedah dijemput bersama. Mereka mengambil ketetapan untuk mengadakan perjumpaan khas beramai-ramai dengan orang Melayu termasuk Orang Besar-Besar, datuk-datuk, penghulu-penghulu di Bukit Keplu.

Apabila perjumpaan itu diadakan, mereka mendapat kata sepakat iaitu penentangan terhadap Siam-Ligor itu hendaklah dilakukan secara diplomasi. Tunku Anum bersama Syed Husain akan pergi mengadap Raja Ligor dengan helah untuk mendapat perlindungan. Para panglima dan hulubalang menyerang tentera Siam secara pukul curi. Perhubungan dengan tentera Siam hendaklah ditunjukkan sebagai taat setia pada waktu siang, pada waktu malam anggaplah mereka sebagai pengkhianat.

Perjumpaan itu diakhiri dengan bersumpah iaitu tiap-tiap orang mengaku tidak sekali-kali akan memecahkan rahsia. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Tuk Arau berjanji akan menghalau tentera Siam dari bumi Kayang. Apabila pulang ke Arau, Tuk Arau bercadang supaya beliau sendiri turut bersama rombongan Tunku Anum mengadap Raja Ligor kerana beliau begitu banyak pengalaman di Siam. Cadangan itu dipersetujui oleh Syed Husain.

Di Ligor, Tunku Anum bersama Tuk Arau mengadap Raja Ligor berpura-pura meminta perlindungan, khuatirkan mereka dibunuh jika tinggal di Kedah. Kebetulan ketika itu juga Raja Ligor menerima surat bertalu-talu dari anaknya Phya Sina Nincit yang berada di Kedah, menyatakan tentera Siam ramai dibunuh oleh pahlawan-pahlawan Melayu. Putera Raja Ligor itu mencadangkan supaya negeri Kedah (termasuk Kayang dan Setol) diserahkan kembali kepada orang-orang Melayu.

Raja Ligor bersetuju dan memberi surat kuasa penyerahan balik negeri Kedah itu dengan syarat kerajaan Kedah menghantar ufti bunga emas dan perak kepada Raja Ligor tiap-tiap tiga tahun sekali sebagai negeri naungannya. Sekembali dari Ligor, sekali lagi Tuk Arau memainkan peranannya yang sungguh penting iaitu berusaha mewujukan negeri Perlis daripada pemerintahan Kedah dan melantik Syed Husain menjadi rajanya.

Tuk Arau menyatakan hasrat itu kepada Wan Fatimah, bonda Syed Husain, yang baru pulang ke Arau dari Pulau Pinang. Wan Fatimah segera bertindak, menjemput sekalian penghulu, panglima dan ketua-ketua kampung di Kayang, mendapat tandatangan mereka untuk mengutus surat kepada Raja Ligor sebagai pengakuan bersetuju Syed Husain dilantik menjadi Raja Kayang (Perlis).

Stelah surat itu ditulis dan ditandatangani oleh mereka, Tuk Awang bersama pembantu-pembantunya membawa surat itu menemui Tuk Raja Long (seorang ketua orang-orang Siam di Kampung Titi Tinggi) dan memberi penerangan-penerangan penting supaya menyokong rancangan mereka. Tuk Raja Long bersetuju menulis surat sokongannya. Kedua-dua surat itulah dibawa oleh Tuk Awang mempersembahkan kepada Raja Ligor.

Raja Ligor sangat berkenan dan yakin bahawa dengan tandatangan itu membuktikan Syed Husain sebagai penghulu Arau, disukai dan dipersetujui oleh penduduk Kayang untuk dijadikan raja. Baginda memberi surat kepada Tuk Awang meminta Syed Husain mengadap baginda untuk diberi penerangan perlantikannya menjadi Raja di Kayang.

Apabila Syed Husain mengadap Raja Ligor bersama Tuk Awang dan orang-orang kanannya, Raja Ligor menitahkan supaya Syed Husain pergi ke Bangkok untuk mendapat pengesahan daripada Raja Siam. Raja Ligor memberi sepucuk surat untuk Perdan Menteri Siam supaya diperkenankan mengadap Raja Siam dan sepucuk surat lagi kepada Raja Siam memohon baginda mengurniakan pangkat dan gelaran kepada Syed Husain menjadi raja Kayang yang pertama.

Pada 10 muharam 1250 bersamaan 20 Mei 1834, ketika Syed Husain genap tiga puluh tahun, beliau bersama Tuk Wang dan pengiring-pengiringnya mengadap Raja Siam (Rama III) dan ditabalkan menjadi raja dengan gelaran 'Phya Songkeram Rammu Wisit Wilis Asmara Phya Perlis'. Baginda bersama ahli rombongan pulanglah ke Perlis dengan kebesaran dan kemuliaan.

Wujudlah sebuah negeri baru di utara semenanjung Tanah Melayu bernama PERLIS. Syed Husain Jamalullail ibni almarhum Syed Haron Jamalullail menjadi Raja negeri Perlis yang pertama bergelar Tuan Syed Sharif Husain Jamalullail.

Mengambil sempena perhubungan rapat di antara Perlis dengan Kota Indera Kayangan, Tuanku Syed Husain telah memberi gelaran negeri Perlis "Indera Kayangan".

Baginda telah melantik adinda baginda Syed Abdullah Jamalullail menjadi Raja Muda Perlis, Muhamad Yunus bin Muhamad Arsyad (Datuk Awang atau Datuk Arau) sebagai Perdana Menteri Perlis yang pertama yang begitu banyak berusaha dan berjuang bersama-sama baginda mewujudkan negeri Perlis dengan gelaran 'Datuk Belat Seri Paduka Perdana Menteri'.

Empat tahun kemudian, pada 6 syawal 1254 bersamaan bulan Disember 1838, Tuanku Syed Husain berangkat ke Kedah bersama Datuk Belat Seri Paduka Perdana Menteri (Tuk Arau) berjumpa Tunku Anum. Baginda berdua diiringi oleh Datuk Belat berangkat pula ke Pulau Pinang untuk mengadap Sultan Ahmad Tajudin di Kelawai.

Di Pulau Pinang, baginda berdua bersama Tunku Bisnu diiringi oleh Datuk Belat mempersembahkan kepada Sultan Ahmad Tajudin Halim Syah II bahawa negeri Kedah telah diserahkan balik oleh Raja Ligor. Mereka memujuk baginda supaya berangkat balik ke negeri Kedah. Tuanku Syed Husain juga memaklumkan bahawa baginda telah ditabalkan oleh Raja Siam menjadi Raja negeri Perlis. Datuk Belat juga turut memberi penerangan kepada baginda untuk mengesahkan lagi pemakluman Tuanku Syed Husain.

Pada tahun 1939 Sultan Ahmad Tajudin pulang ke istana Kota Setar. Baginda telah menitahkan supaya kubur Tunku Yaakob (Tunku Embun) yang telah menderhaka terhadap baginda dahulu dan telah dibunuh oleh Orang Besar ketua askar Siam-Ligor yang memerintah Kedah supaya dibongkar dan dikuburkan semula di luar Makam Langgar.

Tidak lama selepas itu, dalam satu istiadat (ada setengah pendapat mengatakan dalam tahun 1842) Tuanku Ahmad Tajudin telah memperkenankan dan mengesahkan Tuanku Syed Husain Jamlullail menjadi Raja Perlis, Tunku Anum menjadi pemerintah Kubang Pasu dan Tunku Bisnu pemerintah Setol sebagai membalas jasa mereka mengembalikan kedaulatan negeri Kedah.

Dalam pemerintahan Tuanku Syed Husain Jamalullail yang dibantu oleh Perdana Menterinya Datuk Arau, Perlis telah pulih semula daripada kerosakan akibat serangan askar-askar Siam. Baginda bersama Datuk Belat sentiasa berangkat melawat sambil bertanyakan keadaan rakyat Perlis dari masa ke semasa.

Muhamad Yunus yang dikenali dengan nama 'Awang' adalah panggilan yang diberikan oleh Allahyarham Syed Haron, tetapi rakyat Perlis lebih suka memanggil 'Datuk Arau' atau 'Tuk Arau', mengambil sempena nama tempat yang dicarinya menunaikan kehendak Syed Haron iaitu Kampung Arau.

Tegasnya Muhamad Yunus atau Tuk Arau adalah orang yang begitu banyak berbakti dan berkorban tenaga membuka perkampungan Arau dan mempunyai sejarah gemilang mewujudkan negeri Perlis bergelar 'Indera Kayangan' serta mendaulatkan keluarga Jamalullail menjadi Raja Perlis.

Pada 22 November 1873 bersamaan 1 syawal 1290 Tuanku Syed Husain Jamlullail, Raja Perlis yang pertama mangkat di istana Arau dan digantikan oleh anakanda baginda Tuanku Syed Ahmad Jamalullail (cucunda Muhamad Yunus atau Tuk Arau).

Selang sebulan sepuluh hari selepas itu, pada 10 Zulkaedah 1290 bersamaan 31 Disember 1873 Datuk Belat Seri Paduka Perdana Menteri atau Datuk Arau atau Datuk Awang, nama sebenarnya Datuk Muhamad Yunus bin Muhamad Arsyad pula kembali ke rahmatullah dan dikebumikan di Kampung Kebun, Arau.

Memandangkan peranan, jasa dan bakti Tuk Arau itu sewajarnyalah dikenang dan diberi penghormatan oleh rakyat dan kerajaan negeri Perlis khususnya. Pusaranya yang terletak di sebuah tanah perkuburan di Kampung Kebun itu patutlah dibersihkan dan dipelihara sebaik-baiknya. Nama Tuk Arau juga patutlah diabdikan pada sesuatu tempat atau banggunan semoga masyarakat mengenali dan tidak melupai jasa dan pengorbanan beliau. Tidaklah pula kita dianggap seperti kacang melupakan kulit.

Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, Tuk Arau mati meninggalkan nama yang cemerlang.

Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 3 - 1991 (Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis)

Penulis Asal: REJAB F.I.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan