(Gambar sekadar hiasan) |
Penduduk-penduduk di negeri Perlis yang berusia 80 tahun ke atas sudah tentu dapat mengingati dan mengenali sejarah 'Laga Kerbau' yang seringkali diadakan di negeri ini. Mereka mungkin dapat mengingat nama-nama kerbau sabung yang menjadi popular ketika zaman itu.
Datuk Man adalah seorang pelupur dan tergolong salah seorang yang terpenting di kalangan laga kerbau di Perlis. Datuk Man yang berusia 103 tahun ketika ditemubual pada tahun 1966 dahulu, seorang yang tampan dan berkumis tebal. Dia adalah seorang ‘juara’ di zaman itu.
Menurut penjelasan dari Datuk Man, sejarah laga kerbau telah bermula sejak tarikh nenek moyangnya lagi. Ini terbukti bahawa tarikh mula sejarah laga kerbau di Perlis tidak dapat diingatnya. Untuk memastikan tarikh bermulanya sejarah laga kerbau, Datuk Man menjelaskan, “Hm, kalau masih ada orang tua yang berusia 200 tahun, boleh jadi dia dapat memberi tarikh tepat” terang Datuk Man ketika hayatnya masih ada. Waktu itu usianya 103 tahun.
Kira-kira 80 tahun yang lalu, seluruh kawasan di masjid Alwi, Kangar telah dijadikan gelanggang laga kerbau. Kawasan itu merupakan pusat bagi seluruh kawasan di negeri Perlis. Tempat-tempat duduk orang kenamaan telah disediakan ‘hang’ atau rumah-rumah kecil disekeliling gelanggang itu.
Kampung-kampung atau daerah yang mempelupori temasya laga kerbau adalah seperti Kangar, Padang Pauh, Paya, Santan, Mengulang, Changkat Lada, Arau, Seriab, Beseri, Padang Lati dan Guring. Kangar dan Arau adalah pusat atau gelanggang bagi perlawanan laga kerbau.
Siapa saja dapat menyertai acara laga kerbau. Sebelum perlawanan dimulakan, si pemilik kerbau mesti mengikut perjanjian dengan orang tengah (ketua atau residen). Perjanjian ini tidaklah berkehendakkan mendatangani sebarang surat. Mereka membuat perjanjian mulut. Antara perjanjian-perjanjian itu berkisar pada aspek:
- Perjanjian ‘aci mulut’, sesiapa yang kalah, dia mesti menyerahkan kerbaunya kepada si pemenang.
- Tanduk kerbau, berhati-hati, agar tidak membawa bahaya, diteliti oleh kedua belah pihak.
- Sabung dalam - kerbau yang kalah, tuannya mesti membuat pertaruhan wang sebanyak $50.00. Kalau hendak dibandingkan dengan matawang sekarang, nilainya mungkin meningkat hingga $5,000.00.
Biasanya kerbau-kerbau yang dilagakan itu mestilah dijaga atau dibela selama tiga bulan. Bila genap tempoh tersebut, pihak yang bertanggungjawab akan menetapkan pula tarikh dan masa perlagaan. Mengikut pendapat Penghulu Datuk Man, beliau menerangkan bahawa tarikh perlagaan itu boleh ditetapkan mengikut persetujuan antara kedua belah pihak. Biasanya perlagaan diadakan pada waktu petang, kira-kira jam 8.30 atau 4.00 petang. Kerbau yang telah ditetapkan masa perlagaan seperti tempoh yang dikehendaki, mesti menghadirkan diri bersama kerbau sabungan apabila masa dan tarikh ditetapkan. Perlagaan atau sabungan kerbau tetap dijalankan, tidak kira kerbau itu sakit atau sihat.
Pihak bomoh atau tukang tilik pasti meneliti pada tiga bahagian yang tersebut di atas sebelum perlawanan atau perlagaan dimulakan.
Sebelum acara perlagaan kerbau dijalankan, pada malam keesokan harinya, suatu upacara tradisi kebudayaan telah dimainkan. Permainan-permainan yang sering dipersembahkan ialah Beduan, Mak Yong, Wayang Kulit, Menora, Gendang Kerbau (gendang-gendang kecil) dan permainan judi.
Permainan ini amat ditunggu-tunggu digemari oleh masyarakat yang sudah menanti di tempat perlagaan itu. Penghulu Datuk Man menerangkan yang upacara laga kerbau ini adalah suatu temasya yang paling meriah dan digemari segala bangsa. Biasanya pada ketika itu orang yang meminati perlagaan laga kerbau sudah datang sejak dua tiga hari sebelum perlawanan itu dijalankan.
Ramai peminat dari Kedah yang sudah dari awal datang ke Perlis untuk menyaksikan temasya laga kerbau. Pada ketika itu tidak ada kenaikan atau kenderaan.
Mereka terpaksa berjalan kaki hingga berpuluh-puluh kilometer di samping membawa nasi bekal. Yang diam di pinggir sungai pula terpaksa mengikuti arus sungai dengan menaiki rakit atau perahu. Ramai juga di antara meraka yang datang menaiki gajah. Untuk membolehkan menyertai temasya laga kerbau, tidak kurang pula ada suami isteri yang bercerai-berai.
Tempat-tempat yang sering menjadi pusat perlagaan kerbau ialah Kangar, Beseri, Padang Lati, Mengulang, Guring, Changkat Lada dan Seriab. Kerbau-kerbau yang mengambil bahagian dalam perlagaan itu akan diperhiaskan dengan kertas-kertas warna di tanduk-tanduk kerbau itu.
Upacara perlagaan kerbau itu memakan masa sekurang-kurangnya tiga jam dan kadang-kadang hingga sehari suntuk. Dalam perlagaan itu ada juga kerbau-kerbau yang telah mendapat kecederaan yang parah sehingga membawa maut. Ini adalah disebabkan oleh tikaman tanduk yang merbahaya. Biasanya cara perlagaan kerbau ini adalah mengikut seperti apa yang telah kita menonton di kaca TV. Setelah dua ekor kerbau dipertemukan tanduknya, maka dilepaskan tali yang dipegang oleh pemilik atau tuan yang empunya kerbau. Maka berlagalah kerbau itu. Sekiranya kerbau A itu mengalahkan kerbau B, maka kerbau B dibolehkan masuk peraduan sekali lagi, masa yang dihadkan untuk perlawanan kali kedua (melawan kerbau yang sama) ialah tiga bulan. Kerbau-kerbau sabung itu telah diberikan nama-namanya mengikut pembawaan seseekor kerbau itu sendiri.
Antara puluhan kerbau sabung terdapat seekor yang menjadi johan dan terkenal di zaman itu. Kerbau yang menjadi johan ialah Hujan Lebat. Hujan Lebat telah tujuh kali mendapat kemenangan. Kerbau tersebut adalah kepunyaan Cik Ali bin Hj. Kassim. Mengikut keterangan Penghulu Man Hujan Lebat tidak besar badannya. Tidak lama kemudian Hujan Lebat telah dikalahkan oleh seekor kerbau lain yang bernama Chapang. Mengikut keterangan Tuan Hj. Omar bin Hj. Mahmud, 95 tahun yang masih tinggal di Pengkalan Assam, Kangar, Perlis menerangkan yang Chapang ini adalah kepunyaan Tua tinggal di Pengkalan Assam, Perlis. Bentuk badan Chapang ini adalah luar biasa. Badannya besar dan tegap. Chapang telah menjadi popular di zaman itu.
Mengikut pendapat Tuk Penghulu Man, kerbau-kerbau di luar negeri tidak ada yang dibawa masuk ke Perlis untuk dilagakan. Tapi kerbau-kerbau dari Perlis ada juga dibawa keluar negeri untuk diperlawankan.
Pada zaman itu, krisis peribadi atau berkaum-kaum antara pemilik-pemilik kerbau sering berlaku sebelum dan selepas temasya laga kerbau.
Satu Iagi pantang larang bagi pemilik-pemilik kerbau sabung ialah orang yang bukan dari golongan keluarga tidak boleh mendekati kerbau sabungnya. Ini adalah untuk menjaga keselamatan kerbau itu.
Almarhum Tuan Syed Ahmad, Raja Negeri Perlis dahulu pernah berseloka setelah acara Laga Kerbau itu selesai dilagakan. Antara seloka yang pernah dilafazkan:
Empat perkara sudah terpilih,
Itu menjadi pemulih Perlis Nyin dan penangin,
Larang tak boleh Kerbau berlaga,
Itu sangat-sangat majlis
Seloka itu sering diucapkan oleh Almarhum Tuan Syed Ahmad bagi menyerikan majlis laga kerbau.
Temasya laga kerbau di Perlis telah dihentikan sejak puluhan tahun yang silam. Sebab-sebab temasya laga kerbau ini diberhentikan ialah:
- Pengaruh keagamaan dalam masyarakat orang Islam sudah kian mendalam.
- Orang Melayu sendiri sudah sedar hakikat ‘Laga Kerbau’ itu suatu penyiksaan terhadap binatang.
- Kerajaan negeri Perlis telah mengharamkan temasya laga kerbau.
Namun demikian, temasya laga kerbau di Perlis masih tinggal kenangan di kalangan peminat-peminatnya.
Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 2 - 1990 (Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis)
Penulis Asal: MOKHTAR A. K.
Pencerita: Tuk Penghulu Bintong (Datuk Man)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan