Tebing Tinggi yang terletak di kawasan Bintong, kira-kira empat kilometer dari bandar Kangar adalah merupakan satu kawasan yang memainkan peranan amat penting dalam urusan dagangan di negeri Perlis suatu ketika dahulu.
Ketika itu belum ada sebarang jalan perhubungan untuk menghubungkan bandar Kangar dengan Kuala Perlis. Dengan sebab demikian, perhubungan yang paling sesuai digunakan antara pekan kuala tersebut dengan ibu negeri, Kangar adalah melalui Sungai Perlis.
Suatu ketika dahulu, Sungai Perlis yang bermula dari muara di Kuala Perlis hingga masuk ke dalam bandar Kangar adalah merupakan sungai yang luas dan dalam, tidak seperti sekarang. Ia menjadi cetek kerana timbunan lumpur.
Rupa bentuk sungai itu sekarang agak berbeza daripada rupa bentuk sungai yang asal apabila dilakukan kerja-kerja membetulkan arah laluannya untuk memudahkan aliran air dari kawasan hulu ke muara semasa berlaku musim hujan, bagi mengelak banjir.
Kerja-kerja pengubahsuaian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kos per-belanjaan kira-kira RM 7 juta itu bermula dari dalam bandar Kangar hingga ke kawasan Tebing Tinggi sahaja, tetapi bermula dari Tebing Tinggi hingga ke muara Kuala Perlis, keadaannya masih kekal seperti yang asal.
Sebenarnya kawasan Tebing Tinggi suatu ketika dahulu dipanggil Pangkalan Kapal. Pangkalan adalah panggilan kepada satu kawasan pendaratan bot atau tongkang besar, tetapi agak kecil dari pelabuhan.
Daripada apa yang difahamkan oleh orang tua-tua tempatan, peranan Pangkalan Kapal Tebing Tinggi sebagai sebuah pangkalan bermula sejak tahun 1700-an dahulu lagi, semasa negeri Perlis masih berada dalam negeri Kedah.
Di kawasan kira-kira dua kilometer dari kawasan tersebut, terdapat kawasan istana almarhum Kayang, tempat bersemayam wakil Sultan Kedah yang diminta menjaga negeri Perlis dan wilayah Satun (Setul) di selatan Thailand yang ketika itu masih berada di bawah pentadbiran Sultan Kedah.
Dengan sebab demikian, perahu-perahu besar yang membawa rombongan diraja dari Kedah ke istana almarhum Kayang, akan mudik Sungai Perlis untuk singgah di almarhum Kayang. Bagi mereka yang berurusan di bandar Kangar akan meneruskan perjalanan hingga ke Tebing Tinggi untuk menaiki pula kereta kuda membawa mereka ke bandar Kangar.
Pangkalan Kapal Tebing Tinggi menjadi lebih berfungsi sebagai sebuah pangkalan semasa pemerintahan al-Marhum Raja Syed Safi, selepas tahun 1843, apabila Negeri Perlis sudah terasing daripada pemerintahan negeri Kedah.
Selaras dengan pertumbuhannya sebagai pangkalan dagangan yang penting, pihak pemerintahan British di Malaya ketika itu telah membina sebatang jalan sepanjang kira-kira 4.8 kilometer dari bandar Kangar ke Tebing Tinggi.
Pada mulanya, ia hanya sebatang jalan tanah merah seperti laluan lorong, melalui kawasan hutan, kemudian dilaburkan batu kasaran dan ditarkan, hinggalah keadaannya menjadi lebih sempurna seperti sekarang. Ia merupakan salah satu jalan tertua di Perlis.
Kenderaan utama yang menggunakan jalan tersebut ialah kereta kepunyaan peraih-peraih ikan yang datang dari Kangar untuk mengambil ikan yang dibawa oleh tongkang-tongkang besar dari Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Ikan itu kemudian dibawa ke bandar Kangar untuk dijual di pasar besar Kangar yang terletak di tapak bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sekarang.
Di samping ikan, bot dan tongkang-tongkang dagangan itu juga membawa rempah, cabai dan barang-barang keperluan dapur lain dari Pulau Pinang dan Satun untuk dijual di Perlis dan semasa pulang, mereka mengambil pula hasil-hasil dagangan dari Perlis untuk dibawa ke Pulau Pinang.
Hasil dagangan utama Perlis ketika itu ialah padi yang merupakan salah sebuah negeri pembekal beras utama untuk keperluan negara. Di samping itu, Perlis juga mengeluarkan bijih timah yang dilombong di kawasan lombong dalam lubang bukit di Kaki Bukit.
Dengan keadaan sedemikian, sudah pasti kawasan Pangkalan Kapal Tebing Tinggi ketika itu menjadi satu kawasan pangkalan yang begitu sibuk bukan sahaja menjadi tempat pendaratan bot-bot dan tongkang-tongkang dagangan, tetapi juga bot-bot penumpang.
Banyak saudagar asing yang datang di Pulau Pinang atau di Kedah, dan ingin melihat keindahan negeri Perlis, menaiki kapal, lalu mendarat di muara Sungai Perlis di Kuala Perlis sebelum menaiki bot ke Pangkalan Kapal Tebing Tinggi untuk ke bandar Kangar.
Mimbar khutbah di Masjid negeri Arau sekarang, yang dahulu ditempatkan di Masjid Lama Arau dibawa dari Pulau Pinang, tempat ia dibuat melalui Pangkalan Tebing Tinggi dan kemudian ditarik dengan kereta kuda ke Arau.
Di samping itu, ramai juga rakyat Satun yang mempunyai saudara-mara mereka di Perlis datang dengan bot penumpang melalui pesisiran pantai dan kemudian masuk ke muara Sungai Perlis terus berlabuh di Tebing Tinggi.
Dari apa yang diceritakan jika ada rombongan dari Satun yang datang ke Perlis melalui Tebing Tinggi, ramai anak muda tempatan menunggu di situ untuk melihat anak-anak gadis Satun yang datang bersama keluarga mereka. Anak anak gadis Satun dikatakan sungguh cantik dengan adat kesopanan Melayu sejati.
Ramai juga yang bertemu jodoh dengan anak-anak gadis Satun tersebut. Kebanyakan mereka tinggal di sekitar kawasan Guar Syed Alwi, Utan Aji, tiga kilometer dari Bandar Kangar. Dengan sebab demikian didapati kebanyakan penduduk di kampung berkenaan boleh bertutur Bahasa Siam (Thai), selain Bahasa Melayu kerana penduduk tempatan berkahwin dengan penduduk Satun yang bertutur Bahasa Siam.
Dalam pada itu, ada juga anak-anak muda yang gagal berkahwin dengan seseorang gadis Satun yang datang ke Perlis, mungkin kerana tidak ada jodoh, walaupun dalam hati mereka cukup berhasrat untuk mengahwini mereka, hasil pandangan pertama di Pangkalan Tebing Tinggi.
Lantaran demikian, terciptalah pantun kedukaan dicipta oleh anak-anak muda yang kecewa tersebut. Demikian bunyinya:
Tebing Tinggi Pangkalan Kapai (kapal),
Tempat berkumpul peraih ikan,
Kalau hajat hati tak sampai,
Biar aku mati tak makan.
Dengan kepopularan yang dimiliki oleh Pangkalan Tebing Tinggi, pada tahun 1952, Syarikat Perfileman Cathay Keris dari Singapura telah memilih tempat tersebut sebagai salah satu tempat penggambaran filem "Buluh Perindu".
Filem ini adalah filem warna pertama keluaran Syarikat berkenaan. Ia diarahkan oleh B.S. Rajhan sementara pelakon utamanya Sharif Medan sebagai hero di samping heroinnya pula ialah Seniwati Rusini. Mereka berada di situ selama kira-kira sebulan.
Dengan keadaan persekitaran kawasan berkenaan yang banyak terdapat buaya terdampar di sepanjang kawasan tebing sungai, menjadikan ia lebih sesuai dengan cerita yang hendak dipaparkan dalam filem berkenaan.
Kini tempat tersebut hanya dipanggil Tebing Tinggi oleh anak-anak muda. Nama Pangkalan Kapal sudah beransur hilang. Kalau ada yang menyebutnya pun hanya di kalangan orang tua tempatan sahaja. Dengan pembangunan yang semakin pesat sekarang, di kawasan itu sudah boleh dilalui kenderaan berat termasuk bas. Sebuah jambatan dibina menyeberangi Sungai Perlis dari Tebing Tinggi dalam kawasan Bintong ke Tok Kuning dalam kawasan Kayang.
Pokok-pokok nipah yang asalnya, banyak terdapat di situ semakin pupus akibat proses pembangunan. Kini hanya terdapat kelompok-kelompok hutan nipah yang masih menjadi sumber rezeki penduduk tempatan untuk mengeluarkan atap daun nipah ataupun rokok pucuk nipah.
Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 7 - 1995 (Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis)
Penulis Asal: RAMLI ISMAIL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan