(Gambat sekadar hiasan) |
Suatu ketika dahulu, kegiatan mengusung rumah adalah kegiatan yang sering dilakukan terutama di kawasan-kawasan desa namun kini kegiatan yang unik itu hampir tidak pernah dilihat apatah lagi disertai oleh generasi muda.
Arus pembangunan kian menolak kegiatan tradisi yang menjadi antara penyubur semangat perpaduan masyarakat khususnya di kalangan orang Melayu.
Usung rumah atau gotong royong mengusung rumah adalah antara kegiatan yang istimewa kerana ia memerlukan penyatuan kudrat, kerjasama dan toleransi.
Kegiatan usung rumah bermula dengan gotong royong menebang buluh untuk dijadikan pengalas rumah. Buluh yang ditebang dipotong mengikut saiz rumah diikat di bahagian bawah rumah.
Tali yang digunakan untuk mengikat biasanya digunakan tali yang diperbuat daripada pelepah pokok ibus. Untuk menjadikan pelepah ibus itu sebagai tali ia perlu dihentak dengan alu atau batang kayu sehingga pecah dan menjadi lembut.
Selepas diikat baru rumah berkenaan boleh diusung dengan lebih mudah dengan penyatuan kudrat sekurang-kurangnya 50 orang bagi rumah bersaiz kecil dan jumlahnya perlu lebih besar jika rumah itu bersaiz besar.
Ada juga kes-kes rumah yang tidak dapat diangkat dengan mudah meskipun rumahnya bersaiz kecil dan seorang pawang rumah akan dijemput jika masalah itu berlaku.
Pawang rumah akan naik ke atas rumah untuk membaca jampi dan serapah dari bahagian atas rumah dan pada masa yang sama kerja-kerja mengusung rumah dimulakan.
Anehnya selepas kerja-kerja menjampi, rumah yang tadi dianggap terlalu berat dapat diusung dengan sempurna.
Ketika mengusung rumah, seorang penunjuk arah akan berdiri di arah hadapan pergerakan rumah dan tanggungjawabnya besar iaitu memastikan rumah itu berada pada pergerakan yang betul dan tidak terlanggar pokok atau bangunan lain.
Beliau akan memberi arahan supaya pergerakan rumah yang diusung itu mengikut arah betul atau membelok ke arah kanan atau kiri.
Jarak perjalanan mengusung rumah juga bergantung kepada keperluan dan ada yang hanya beberapa meter dari tapak asal malah ada yang jaraknya lebih satu kilometer. Ada juga kes rumah yang diusung terpaksa ditinggalkan semalaman di pertengahan jalan kerana jaraknya yang jauh dan keesokannya disambung semula.
Kadang-kadang ada juga kes rumah yang diusung terpaksa melintasi sungai dan ia memerlukan satu lagi tugas gotong royong iaitu membina jambatan merentangi sungai.
Biasanya jambatan yang dibina menggunakan batang ibus yang ditebang dan diusung ke sungai untuk dijadikan titi. Untuk melengkapi laluan menyeberangi sungai itu, tidak kurang 10 batang ibus digunakan dan jika sungai itu kecil setiap batang ibus boleh dikerat dua.
Kerja mengusung rumah dianggap selesai apabila rumah berkenaan telah sampai ke tapak baru dan diletakkan di atas pelapiknya.
Selepas selesai kegiatan gotong royong itu, kebiasaannya para peserta gotong royong usung rumah disajikan dengan hidangan bubur kacang dan roti. Suatu ketika dahulu, daun nipah atau daun kelapa dijadikan camca untuk menyedok bubur kacang.
Sesungguhnya, arus modenisasi sedang berusaha melenyapkan kegiatan usung rumah yang menjadi teras tradisi masyarakat kampung.
Kegiatan perpindahan rumah melalui penjualan atau perpindahan tapak rumah semakin jarang dilakukan kerana kebanyakan penduduk kini memilih untuk membina rumah tanpa tiang atau rumah yang dikonkritkan.
Pastinya suatu hari nanti kegiatan usung rumah akan lenyap dan ia bakal melenyapkan tradisi unik masyarakat Melayu yang selama ini dipertahankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan