(Gambar sekadar hiasan) |
Nama asalnya Sekolah Kebangsaan Dato' Kayaman ialah 'Chuping Seberang'. Nama itu diberikan kerana sempena dengan sebuah titi yang melintangi sungai dengan 'Titi Soka'. Titi ini tidak ada pemegang dan kanak-kanak terus meniti tanpa sebarang gangguan. Kanak-kanak yang belajar di sekolah tersebut adalah murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Chuping yang ada sekarang.
Sekolah Kebangsaan Chuping yang ada di bawah bukit itu adalah salah sebuah sekolah yang tertua di Perlis. Bangunan asalnya yang masih utuh masih ada dan berfungsi hingga sekarang. Kenapa dan siapakah yang menukar Chuping Seberang kepada Sekolah Dato' Kayaman?
Ceritanya begini : Ada seorang polis pencen yang boleh dikatakan orang yang berada dari Chuping Seberang yang dikenali dengan nama Chin bin Hj. Mat Akib. Selepas bersara daripada jawatan polis, beliau pulang ke kampung dan membuka kedai dua pintu. Setelah sekian lama berniaga, perniagaannya tidak menjadi. Apa yang merumitkan beliau berniaga ialah terlalu sukarnya bagi mendapatkan barang-barang dari luar dan terlalu sukar pula untuk membawa barang-barang ke kedainya. Oleh sebab tidak ada perhubungan luar dan terpaksa berjalan kaki berbatu-batu, maka Chin bin Hj. Mat Akib bernekad menutup kedainya.
Pesara polis ini terkenal dengan panggilan Pak Chin. Pak Chin tidak lagi berangan-angan untuk membuka semula kedai runcitnya itu. Pak Chin kembali menukar minda perniagaannya kepada impian yang baru. Akhirnya Pak Chin satukan kedai yang dua pintu itu dan dijadikannya sebuah Sekolah Rakyat. Tanpa melengahkan masa, Pak Chin terus berunding dan berbincang dengan kawan-kawanya seperti Muhiyuddin bin Datuk Habib dan rakan-rakannya yang lain. Dan Muhiyuddinlah yang kerap Pak Chin membawa bincang mengenai penubuhan Sekolah Rakyat. Setelah berunding dan memikirkan mereka bertanggungjawab mengwujudkan sebuah sekolah rakyat, maka tertubuhlah sekolah itu dengan nama 'Sekolah Chuping Seberang'. Dan Muhiyuddin bin Datuk Habib sendiri bertindak menjadi guru di sekolah tersebut bersama-sama anak saudaranya sendiri yang bernama Sharifah Seha bt. Syed Bakar. Setelah menjelang beberapa bulan, seorang guru pula telah diambil dengan nama Ariffm bin Adam.
Murid-murid yang datang belajar adalah dari kampung-kampung Perawah, dan Chuping Seberang serta kampung-kampung yang berdekatan. Bilangan murid berjumlah 40 orang.
Dalam jangka setahun lebih, murid-murid kian bertambah. Mereka terpaksa memikirkan hari depan, setiap tahun tentunya ada pertambahan murid. Maka di atas tapak yang ada itu dibina pula sebuah bangunan secara bergotong-royong . Tapak sekolah yang ada itu asalnya nama 'Behor Tok Karong'. Maka di atas tapak 'Behor Tok Karong itulah dibina sekolah rakyat. Seorang bangsa China yang bernama Chun Lim sangat dikenali ramai. Nama yang sering dipanggil 'Chu Li' itu sebenarnya adalah seorang China yang kaya dan tinggal di 'gate' Mata Ayer. Pekerjaannya menjual sayur atas usahanya sendiri. Chu Li menjualkan sayur-sayurannya ke kampung-kampung dengan mengandarnya sendiri.
Sekolah Chuping Seberang itu didirikan oleh rakyat secara bergotong royong. Sekolah yang bertiangkan kayu dan berdindingkan buluh serta beratapkan rembia itu dapat menampung kira-kira 120 orang murid. Memandangkan jalan-jalan raya agak sukar dan tidak tersusun maka Pak Chin telah memikirkan untuk membuat jalan secara berderau, bermula dari yang ada sekarang sehinggalah ke halaman sekolah. Murid-murid yang belajar adalah dari Darjah Satu hingga Darjah Lima. Matapelajaran yang diajar ialah Ilmu Kira-Kira, Tulisan Jawi dan Tulisan Rumi, Bacaan Jawi dan Bacaan Rumi serta Ilmu Bumi. Apabila sekolah semakin berkembang, Pak Chin cuba berunding dengan anggota keluarganya untuk mencari nama sekolah yang baru sesuai bagi menggantikan nama yang lama 'Chuping Seberang'. Dalam perundingan itu termasuk juga ayah kepada Wan Khazim iaitu Wan Din bin Wan Ali. Mereka mencadangkan kepada Pak Chin untuk dinamakan 'Sekolah Melayu Datuk Kayaman Chuping Seberang'.
Dengan persetujuan ramai sekolah itu kekal dengan nama 'Sekolah Melayu Datuk Kayaman' dan kini diubah kepada 'Sekolah Kebangsaan Datuk Kayaman' hinggalah sekarang ini. Sekolah tersebut diwujudkan selepas Perang Jepun.
Catatan sejarah hidup Pak Chin : Beliau tidak boleh menulis, Pak Chin hanya boleh menurunkan tandatangan dengan nama jawinya 'Cha ya nun', dan beliau tidak boleh membaca. Beliau tidak memiliki pangkat dalam jawatan polis.Beliau berkhidmat sehingga sampai umur pencen dan tanpa naik pangkat.
Selepas bersara Pak Chin berusaha untuk berkhidmat secara sukarela, berbakti kepada negerinya sendiri. Dengan wang pencennya itulah beliau berusaha membina kedai dua pintu. Oleh sebab perniagaannya tidak maju, maka Pak Chin berusaha supaya kedai yang dua pintu itu dijadikansekolah rakyat. Hadiah pencennya mungkin sekitar RM 300.00. Dan Pak Chin mendapat pencen bulanannya hanya RM 18.00 sebulan. Nilai wang pada zaman itu, dengan 2 duit boleh mendapatkan 4 bungkus nasi lemak dan nilai 1/4 sen, 1/2 duit bersamaan 5 sen.
Sungguhpun Pak Chin tidak boleh menulis dan membaca, namun minda dan idea Pak Chin memang melangkaui ilmu dan pelajarannya. Pak Chin sudah dapat memikirkan bagaimana untuk membentuk sebuah sekolah rakyat bagi membina ilmu untuk generasi masa depan. Seingat-ingat pada zaman itu tidak ada orang yang dapat memikirkan untuk membina sebuah sekolah rakyat, sedangkan dalam realiti hidupnya sehingga habis hayat Pak Chin hanya memiliki sebuah basikal buruk tanpa makgat.
Pak Chin adalah anak tempatan dan bapanya Hj. Mat Akib adalah asalnya orang Kelantan, berkahwin dengan ibu Pak Chin yang bernama Tuk Dah. Anak-anak Pak Chin adalah Cik Su, Cik Wa, Cik Chan, Cik Khalid, Cik Chum, Cik Om dan Cik An. Cik Su dan Cik Khalid sudah lama meninggal.
Pada zaman itu pakaian rasmi kerja ialah memakai kain dan wajib bersongkok. Kanak-kanak pula tidak ada pakaian khas untuk mereka. Apabila ke sekolah memadai dengan sekeping papan batu dan sebilah kalam. Setelah menaiki Darjah IV dan V barulah menggunakan kertas dan pensil.
Gaji guru tidak tetap dan ramai yang bekerja secara sukarela. Pak Chin terpaksa berusaha untuk mendapatkan kutipan derma daripada orang-orang kampung untuk membina sekolah baru.
Sekolah Melayu Datuk Kayaman diambil
alih oleh pihak Kerajaan ketika sekolah itu masih
dalam keadaan lama. Guru besar yang baru ialah Cikgu Bakar bin Hassan.
Setelah pihak Kerajaan mengambil alih pentadbiran sekolah, maka dibinalah jalan tanah merah bermula dari Sekolah sehinggalah ke Kampung Ngulang dan keluar sehingga ke Kampung Mata Ayer melintasi jalan keretapi ke kampung Mata Ayer.
Sekolah yang baru itu didirikan dalam tahun 1946 dalam bentuk sebuah bangsal dan perasmiannya telah dibuat oleh Encik Hashim bin Abd. Rahman. Pengasasnya ialah Encik Muhayuddin bin Datuk Habib. Bangunan baru telah didirikan dalam tahun 1950 dan telah diroboh bangunan lama pada tahun 1968. Sebuah bangunan baru pula didirikan dalam tahun 1969.
Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan (Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis)
Penulis Asal: Mokhtar A.K.
Pencerita: Wan khazim Bin Wan Din
Tiada ulasan:
Catat Ulasan