Ekzema adalah penyakit hypersensitivity kulit.
Hypersensitivity bermakna kulit seseorang itu terlalu sensitif. Terkena bahan tertentu sedikit je terus bengkak.
Bahan tertentu ini kita panggil trigger. Contoh trigger adalah debu, bahan kimia dan bulu kucing.
Bermakna kalau ada terkena trigger, orang yg ada ekzema itu akan kena serangan ekzema atau kita panggil sebagai flare.
Vaksin, tidak menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit ekzema. Tanpa vaksin pun, kalau seseorang itu memang ada ekzema, dia tetap akan diserang flare bila ada trigger lain.
Namun, vaksin berpotensi menyebabkan flare ekzema sebab ia juga boleh menjadi satu trigger. Ye lah, sebab vaksin menyentuh sistem imuniti badan kan.
Ekzema ni, faktor utamanya adalah genetik. Jika ibu atau bapa atau ahli keluarga lain ada sejarah penyakit atopi yg kuat (asthma, ekzema, resdung dan alahan makanan teruk), anak berisiko menghidap ekzema.
Kalau anda tolak vaksin pun, dia tetap ada ekzema. Dan bila dia kena trigger lain, dia tetap akan kena flare.
Malah, dia berisiko dijangkiti penyakit berjangkit sebab tidak divaksin. Dan kena ingat, penyakit berjangkit akibat tak divaksin ini boleh meragut nyawa atau mengakibatkan kecacatan kekal.
Kajian menunjukkan walaupun anda menolak vaksinasi, risiko anak anda kena ekzema (atopic dermatitis) tetap sama. Kajian ini melibatkan lebih 14 ribu orang kanak-kanak di German pada tahun 2017.
Malah, ada hubungkait kecil menunjukkan jika anda ambil vaksinasi, risiko serangan ekzema pada anak anda kelak dapat diturunkan.
60% kes ekzema bermula sebelum usia 1 tahun. Oleh kerana pada usia itu banyak vaksinasi diberi, ibu bapa sering salah faham vaksin penyebab kepada ekzema.
Ekzema boleh dirawat, tidak semestinya dengan steroid semata-mata. Penggunaan steroid oleh doktor adalah mengikut keperluan. Malah, rawatan utama untuk ekzema adalah mengelakkan allergen, mengekalkan kelembapan kulit dan memperbaiki semula lapisan kulit. Sebab itu kena jumpa doktor kalau ada ekzema.
Nasihat umum buat ibu bapa yang pernah mengalami pengalaman buruk flare ekzema selepas vaksinasi:
1. Jangan panik, dapatkan bantuan doktor. Kembali semula ke klinik yang memberi suntikan. Dapatkan konsultasi dan jika perlu, minta rujukan ke pakar kulit atau pakar kanak-kanak. Ini kerana ekzema memerlukan pemantauan berkala (follow up) dan kadang-kadang ubat di klinik kesihatan tidak cukup untuk membantu.
2. Pastikan kulit anak anda sentiasa lembab dengan krim pelembab.
3. Elakkan terkena cahaya matahari jika tiada keperluan. Jika perlu, pakai krim pelindung cahaya matahari.
4. Pakaikan pakaian dari kain cotton, yang nipis supaya pengudaraan kulit anak anda itu bagus.
5. Ingat 3 P bila anak anda kena ekzema selepas vaksin: Pemantauan doktor, Pelembab dan Pelindung, jangan Panik dan post di Facebook. Dapatkan bantuan sewajarnya.
Vaksin melindungi anak anda dari jangkitan yang lebih merbahaya dari serangan (flare) ekzema.
Maka jangan lah jadikan pengalaman anak anda ada ekzema selepas suntikan vaksin sebelum ini sebagai alasan menolak vaksin.
Sumber: Dr Amirul Amzar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan