Pekan Atap Nama Asal Bagi Kangar - FRIEND OF PERLIS

Terkini

13 Mac 2019

Pekan Atap Nama Asal Bagi Kangar


Setiap negeri dan daerah pasti ada sejarah tersendiri, disebalik nama kini pasti ada nama terdahulu. Bandar Kangar sudah tidak asing bagi rakyat Perlis, akan tetapi pernahkah kita terfikir apakah nama Kangar yang dahulu? Bagi anda yang tidak tahu dan ingin tahu, teruskan membaca.

Kangar merupakan bandar purba yang terus berkembang dan kekal sehingga ke hari ini sejak dari zaman awal pertumbuhannya pada awal abad ke 16 (1506). Walaupun peranannya dahulu dan sekarang berbeza, tetapi apa yang seharusnya diberi perhatian ialah keadaan dan kedudukannya yang terus mantap hingga ke hari ini. Iaitu daripada sebuah pengkalan perahu tambang berkembang menjadi pengkalan tongkang sehinggalah menjadi ibu negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Kedudukan bandar Kangar asalnya ditebing Sungai Perlis iaitu di tapak Bangunan Telekom dan Majlis Perbandaran Kangar sekarang (dahulunya bangunan market lama). Kini saiznya membesar akibat pembinaan bangunan kerajaan dan gedung-gedung perniagaan. Pesatnya perkembangan bandar ini kerana lokasinya yang strategik, dari segi keselamatan dan perdagangan. Banjaran Bintang yang memanjang dari utara Perlis merentasi bahagian barat daya dan barat Perlis menjadikannya benteng semulajadi yang kukuh dan selamat dari serangan musuh. Manakala di bahagian tengah Perlis iaitu utara bandar Kangar terdapat Bukit Besi Hangit sebagai tembok tinggi yang dihubungkan dengan kota tanah ke Bukit Lagi sebagai benteng timur. Di bahagian selatannya pula, terdapat Sungai Perlis yang seolah-olah menjadi benteng air bagi menangkis serangan musuh. Sungai Perlis ini asalnya luas dan dalam, menganjur dari kawasan tadahan Banjaran Bintang menuju ke kawasan tanah pamah di bahagian tengah Perlis melalui bandar Kangar ke Kuala Perlis (lihat peta lokasi bandar kangar).


Di tebing Sungai Perlis yang jaraknya kira-kira 500 meter dari Kepala Bukit Lagi itulah lahirnya sebuah pekan purba yang dahulunya dikenali sebagai Pekan Atap yang kemudian bertukar nama menjadi Pekan Kangar. Ramai orang tidak mengetahui asal usul namanya dan sejarah penerokaannya. Dinamakan Pekan Atap kerana gerai-gerai jualan dan tempat menyimpan barang yang dibuat tiangnya daripada kayu bulat dan dinding bersama atapnya dibuat daripada atap daun nipah.

Kangar merupakan bandar aman dan makmur atau ringkasnya bandar sejahtera memandangkan keamanannya tidak tergugat dan kemakmurannya tidak pernah terhakis. Aman bermaksud bebas daripada keadaan kacau-bilau seperti peperangan, pergaduhan, permusuhan dan sebagainya. Makmur bermakna mempunyai hasil yang banyak atau mempunyai penduduk yang banyak dan cukup kehidupannya. Nilai-nilai aman dan makmur, senang dan tenteram atau terpelihara daripada bencana seperti kesusahan dan gangguan bermaksud sejahtera. Sesungguhnya Kangar telah banyak menyimpan rekod bersejarah yang menunjukkan dan membuktikan ianya bandar sejahtera sejak awal penerokaannya sehingga kini.

Kemunculan bandar Pekan Atap yang kemudiannya dikenali sebagai Kangar adalah seiringan dengan pembukaan negeri Indera Kayangan yang kemudiannya diberi nama Perlis. Persoalan nama tempat seperti nama bandar dan nama negeri bukanlah perkara mainan atau mudah bagi orang-orang dahulu kala kerana ia melibatkan soal hidup dan matinya seseorang itu. Bagi mereka raja mempunyai daulat dan raja juga dianggap sebagai wakil Tuhan di muka bumi. Oleh itu sebarang aktiviti termasuklah di dalam memberi nama kepada bandar atau negeri, perlu mendapat izin dan perkenan daripada raja. Jika tidak seseorang itu dianggap menderhaka kepada raja. Menderhaka kepada raja hukumnya cukup berat. Begitu jugalah halnya dengan nama Kangar dan Perlis, bukan sebarangan orang yang boleh menamakannya melainkan dia adalah raja. Hukum ini berjalan sejak zaman purba sehinggalah campur tangan British secara rasmi pada tahun 1874. Kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada raja ini dapat dijelaskan begini: Perkataan "Kerajaan" yang bererti hanya keadaan yang mempunyai raja mencerminkan dengan jelas tentang pentingnya raja kepada wujudnya sesebuah masyarakat. Tanpa seorang raja yang berdaulat, tiadalah negara. Dalam keadaan itu manusia terpaksa hidup dalam keadaan berpecah belah dan amat primitif.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12 - 2000

Tiada ulasan:

Catat Ulasan