Pengkisahan Awal Pembukaan 'Kampung Kubang Tiga' - FRIEND OF PERLIS

Terkini

24 April 2019

Pengkisahan Awal Pembukaan 'Kampung Kubang Tiga'


Pada permulaannya Kampung Kubang Tiga merupakan tempat pedagang-pedagang dan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut (Jalan Gajah) singgah makan dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan mereka ke utara atau selatan. Tidak ada orang yang tinggal di kawasan tersebut sehingga tahun 1840an.

Mengikut keterangan En. Eudin Eruang setelah moyangnya dilantik sebagai orang istana ia sering dititah oleh Tuanku Raja Perlis melaksanakan pelbagai tugas dan terpaksa berulang-alik dari kampungnya di Songkhla ke Istana di Arau. Justeru kesukaran perjalanan dan memakan masa yang lama, akhirnya moyangnya 'Thuat Khunpithak' bermuafakat dengan adik-beradiknya untuk mencari tempat di negeri Perlis untuk mereka tinggal bagi memudahkan urusannya dengan Tuanku Raja Perlis.

Setelah bertenung dan bertilik, melihat baik, buruk, untung dan malang, maka Thuat Khunpithak dan adik-adiknya Thuat Nan Khunpithak, Thuat Miang Khunpithak dan ahli keluarga mereka beserta beberapa orang pengikutnya bertolak ke Perlis melalui 'Jalan Gajah' menuju ke 'Kubang Tiga', hasrat mereka untuk membuka perkampungan baru di kawasan tersebut. Setelah sampai ke Kubang Tiga, rombongan Thuat Khunpithak mengadakan upacara menghalau dan memohon kepada penunggu (makhluk halus) supaya tidak mengganggu mereka, harta benda serta tanaman mereka.

Apabila semuanya sempurna dilakukan, mereka pun mendirikan rumah untuk terus menetap di situ. Dengan itu terbinalah sebuah perkampungan orang-orang Siam di Kubang Tiga. Penduduk kampung ini dari hari ke hari semakin bertambah, rumah yang pada awalnya hanya sembilan buah kini menjadi lebih dari seratus buah.

Semasa awalnya pembukaan kampung ini hanya terdapat sembilan keluarga, semuanya orang Siam dan berasal dari Songkhla boleh dikatakan semua keluarga kepada Thuat Khunpithak.

Sumber: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 17 - 2005

Tiada ulasan:

Catat Ulasan