Sejarah Peranan Kuala Perlis Sebagai Pelabuhan - FRIEND OF PERLIS

Terkini

16 April 2019

Sejarah Peranan Kuala Perlis Sebagai Pelabuhan


Menurut buku Sejarah Negeri Perlis yang dihasilkan bersama Dato’ Yazid Mat dan Allahyarham Cikgu Ahmad Ismail, ketika itu Perlis masih berada dalam negeri Kedah. Pemerintahan Kedah pada masa itu berpusat di Kota Si Puteh dalam Daerah Kubang Pasu.

Untuk makluman, selepas sesuku abad ke 14 sehingga awal abad ke 17 Masihi, terdapat tujuh generasi Sultan Negeri Kedah yang bersemayam di Kota Si Puteh tersebut. Letak Kota Si Puteh hanya kira-kira 4.8 kilometer sahaja dari sempadan negeri Perlis sekarang.

Jika menggunakan laluan anak-anak sungai Perlis, dari Kota Si Puteh ke pantai Kuala Perlis pula hanya mengambil jarak kira-kira 30 kilometer sahaja. Ini menunjukkan bahawa laluan ke laut dari Kota Si Puteh melalui Sungai Perlis adalah lebih dekat lagi daripada melalui anak-anak Sungai Kedah.

Justeru, perjalanan darat melalui sungai dan keluar masuk dari laut adalah lebih menguntungkan jika melalui Kuala Perlis daripada melalui Kuala Kedah untuk ke Kota Si Puteh. Sebab itulah Sungai Perlis memang memainkan peranan dalam kegiatan perdagangan dan pengangkutan serta lalu lalang melalui Kuala Perlis selain daripada peranan yang dimainkan oleh Sungai Kedah dan Sungai Muda.

Hubungan niaga yang ketara wujud pada masa itu ialah antara Negeri Kedah dengan wilayah-wilayah Nakhon Sitammarat, Singgora, Chenak, Tepa, Patani dan wilayah-wilayah lain di selatan Negeri Siam (Thailand).

Menurut catatan buku tersebut, penggunaan gajah bagi mengangkut barang-barang dari pedalaman ke tebing sungai dan anak-anak sungai berkenaan dan seterusnya dibawa dengan tongkang atau sampan ke laut adalah suatu cara yang lazim dijalankan oleh penduduk-penduduk tempatan pada abad-abad yang silam itu.

Kuala Perlis memainkan peranan sebagai sebuah pelabuhan sejak awal abad ke 16 lagi dibuktikan dari buku Sejarah Negeri Perlis tersebut apabila dinyatakan bahawa Kuala Perlis telah dikunjungi oleh seorang pedagang Portugis bernama Ferano Mendes Pinto pada tahun 1539.

Selepas itu, pada tahun 1611, seorang Kapten Laut Portugis bernama Diogo de Medoca Furtado dalam pelayarannya dari Tennasserim, Negeri Burma (Myanmar) ke Melaka juga telah singgah di Kuala Perlis.

Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1621, seorang jeneral bangsa Perancis bernama Augustine de Beauliu, semasa pemerintahan Louis XIV telah mencatatkan bahawa beliau telah sampai ke Pulau Langkawi dalam rangka lawatannya untuk menyiasat keadaan di rantau ini sebagai suatu langkah ke arah penubuhan French East India Company.

Di antara catatannya itu disebutkan bahawa dari Langkawi beliau mengambil masa dua hari untuk sampai di Kuala Perlis dengan menaiki perahu. Beliau juga mencatatkan bahawa Kuala Perlis atau disebut juga Queda telah dibakar oleh tentera-tentera Aceh semasa mereka menyerang Kedah dan menawan Sultan Sulaiman II yang kemudian dibawa ke Aceh.

Dari apa yang dinyatakan tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya Kuala Perlis telah lama wujud dan memainkan peranannya sebagai sebuah pelabuhan. Ini sesuai sekali dengan kedudukannya di tengah laluan para pedagang dari timur tengah untuk ke timurjauh termasuk China selain dari singgah di pelabuhan Melaka.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13 - 2001

Tiada ulasan:

Catat Ulasan