Sejarah Pemerintahan Tuanku Raja Perlis Ke-3 "Syed Saffi The Great" - FRIEND OF PERLIS

Terkini

18 April 2019

Sejarah Pemerintahan Tuanku Raja Perlis Ke-3 "Syed Saffi The Great"

DYMM Tuanku Syed Saffi Ibni Almarhum Syed Alwi Jamalullail, Raja Perlis yang ketiga memerintah negeri Perlis mulai 10 Zulhijah 1314, bersamaan bulan Mei 1897, ketika berusia 35 tahun.

Baginda boleh dianggap sebagai "Syed Saffi The Great" Perlis pada zaman naungan Siam. Baginda begitu banyak berjasa dan berbakti terhadap pembangunan dan kemajuan negeri Perlis. Bagindalah yang memperjuangkan dan mempertahankan kewujudan negeri Perlis. Jika tidak dengan kewibawaan baginda, kemungkinan besar negeri Perlis akan jatuh semula ke tangan kerajaan Kedah.

Setelah ditabal oleh Raja Chulalongkorn (Rama ke-V) di Bangkok dan diberi gelaran 'Phya WisitRam WuwisitAsmara Phya Perlis', baginda dan para pengiringnya pulang ke Perlis melalui Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Apabila sampai di istana Arau, baginda mengadakan perhimpunan secara besar-besaran. Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Syed Saffi memilih dan melantik Orang-orang Besar Perlis sendiri, yang terdiri daripada Syed Salim Syed Muhammad Al-Jefri, Pembesar Kanan bertaraf Menteri Besar digelar Luang Sakda, Dato' Wan Teh Datuk Belat menjadi Ketua Rakyat, Tunku Abdullah Tunku Mat Saman selaku Hakim Mahkamah Kecil, Syed Abdullah Syed Alwi Jamalullail, Pemegang Amanah dan Wang Negeri, Syed Abdullah Syed Ismail Jamalullail sebagai ketua rombongan penghantar ufti bunga emas dan bunga perak ke negeri Siam, manakala Penolong Ketua Pejabat Tanah diketuai oleh Wan Ishak Dato' Wan Daud, Haji Kassim Haji Ali, selaku Ketua Rakyat di Sebelah Tepi Laut.

Ketika baginda baru berumur setahun, nenekanda baginda Raja Syed Ahmad menghantar Syed Saffi ke Bangkok. Beliau tinggal dalam istana Raja Chulalongkorn sebagai anak angkat Kalahum (pembesar istana Raja Siam) dan ditabal menjadi bakal Raja Perlis. Baginda belajar di sebuah sekolah bersama anak-anak pembesar negeri Siam.

Raja Syed Saffi mahir bertutur, menulis, membaca bahasa Siam dan disayangi oleh Raja Chulalongkorn. Baginda belajar tentang pemerintahan di sana dan berkahwin dengan anak keluarga Kalahum, Wan Saadiah, nama yang diberikan setelah menganuti agama Islam.

DYMM Tuanku Syed Saffi Ibni Almarhum Syed Alwi Jamalullail

Setelah sepuluh tahun Raja Syed Saffi tinggal di Bangkok, baginda pulang ke Perlis untuk membantu pentadbiran nenekanda baginda Raja Syed Ahmad Jamalullail (Raja Perlis yang kedua). Ketika di Bangkok, baginda membantu Tunku Abdul Hamid untuk memujuk dan mempengaruhi Raja Chulalongkorn sehingga berjaya ditabalkan menjadi Sultan Kedah, di antara sekian ramai putera Sultan Kedah berlainan bonda, mewarisi takhta kerajaan Kedah.

Tuanku Raja Syed Saffi merupakan salah seorang ahli keluarga diraja Kedah, iaitu sepupu Tunku Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah (bonda Syed Saffi adinda kepada bonda Sultan Abdul Hamid).

Ketika Tuanku Raja Syed Saffi mula memerintah negeri Perlis, bermulalah kewibawaan baginda mempertahankan kedaulatan negeri Perlis. Raja Muda Kedah pergi ke Bangkok untuk menyampaikan surat tuntutan daripada Sultan Kedah supaya negeri Perlis diserahkan balik kepada kerajaan Kedah. Surat itu mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi Negeri-negeri Naungan Siam. Tuntutan itu ditolak oleh Raja Siam kerana baginda sendiri menabalkan Raja Syed Saffi selaku waris mutlak takhta kerajaan Perlis.

Pada tahun Masihi 1899, Tuanku Raja Syed Saffi menerima cop mohor bari daripada Raja Siam dengan persetujuan Putera Damroong, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Takluk Siam untuk memperkuatkan keutuhan pemerintahan baginda. Raja Chulalongkorn telah pun mengeluarkan surat arahan bertarikh 17 Mei 1897 kepada Sultan Kedah "supaya menjaga dan membantu hal-hal pentadbiran negeri Perlis dan Setol". Arahan itu dibuat kerana baginda akan meninggalkan negaranya untuk melawat negara-negara Eropah. Perdana Menteri Kedah iaitu Datuk Wan Muhammad Saman dan rombongannya telah datang ke Perlis bersama surat itu dan berjumpa Tuanku Raja Syed Saffi untuk menuntut supaya Perlis diserahkan balik kepada kerajaan Kedah.

Tuanku Raja Syed Saffi menerangkan bahawa baginda ditabal menjadi Raja negeri Perlis oleh Raja Chulalongkorn dan menunjukkan Surat Tera dan Senjabat (surat kebesaran seorang raja). Tindakan itu menyebabkan Pedana Menteri negeri Kedah hampa dan terus pulang ke Kedah.

Motif utama rancangan tersebut ialah kerana sebelum ini negeri Kubang Pasu telah berjaya dicantumkan kembali dengan negeri Kedah dalam tahun 1854. Dahulunya, Perlis (jajahan Kayang) adalah sebahagian daripada jajahan Kedah. Begitulah kewibawaan baginda mempertahankan kewujudan negeri Perlis.

Pada masa pemerintahan baginda, begitu banyak pembangunan dilaksanakan. Baginda merupakan raja yang terpelajar, berpengalaman dan berkaliber. Baginda begitu mengambil berat hal-hal rakyat. Berusaha membina beberapa batang jalan raya dan terusan secara 'sistem kerah'.

Menerusi inisiatif baginda lah maka terbinanya jalan raya dari Arau ke Kangar iaitu dari Kangar ke Sanglang melalui Simpang Empat dan dari Kangar ke Tebing Tinggi. Turut dibina ialah terusan dari Arau melalui Tambun Tulang dan Simpang Empat sehingga ke Sungai baru (dinamakan Sungai Raja), berpandukan pembinaan klong-klong di negeri Siam.

Di sepanjang terusan itu, wujud kampung-kampung baru dan kawasan-kawasan sawah dibuka bagi menggantikan hutan pokok gelam.

Baginda juga membuka sebuah pekan baru di Kampung Paya dan mengadakan Taman Hiburan untuk rakyat berhibur selepas menuai padi. Berbagai permainan tradisi dipertunjukkan di situ.

Di samping itu, baginda juga memperkenalkan pakaian Barat (coat-pentlon), menghantar putera-putera Raja Perlis bersekolah Inggeris di Pulau Pinang, mendirikan Sekolah Melayu di Kangar (1898) dan di Kuala Perlis (1903).

Dalam dekad pemerintahan Tuanku Raja Syed Saffi, surat mesyuarat di mahkamah dan di pejabat-pejabat, ditulis dalam Bahasa Melayu, tulisan jawi dan semua catatan tarikh mengikut Tahun Hijrah.

Pelabuhan utama pada masa itu ialah di Tebing Tinggi, tempat memunggah barang-barang eksport dan import yang dibawa ke Kangar. Dengan itu, berlakulah hubungan perdagangan antara negeri Perlis dengan Kedah, Pulau Pinang, Setol dan wilayah-wilayah selatan Siam.

Baginda juga menggunakan wang Perbendaharaan negeri untuk memberi sedekah kepada orang-orang miskin serta anak-anak yatim dan kerana itulah baginda sangat dikasihi rakyat.

Pada tahun 1900 berlaku permusuhan antara negeri Perlis dengan Setol mengenai masalah sempadan. Pihak kerajaan Siam telah menyelesaikan masalah tersebut dengan membina tembok tanah sebagai sempadan yang menyambungkan banjaran-banjaran bukit.

Pada awal tahun 1900, Mr. W.W. Skeat dan rombongannya dari Universiti Cambridge telah melawat Perlis dan menyatakan jumlah penduduk negeri Perlis dianggarkan seramai 15,000 orang. Jumlah hasil dalam negeri adalah seperti pajak candu, beras, minyak, tembakau, ikan, garam dan cukai import eksport sebanyak RM27,000.00.

Demikianlah keadaan negeri Perlis di bawah pemerintahan Tuanku Raja Syed Saffi yang merupakan "Syed Saffi The Great". Untuk mengenang jasa dan kewibawaan baginda, maka kerajaan Perlis menamakan bintang-bintang kebesaran utama negeri Perlis sempena nama baginda seperti: Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) dinamakan "Al-Saffi Kelas Pertama"; Dato' Peduka Mahkota Perlis (D.P.M.P.) dinamakan "Al-Saffi Kelas Dua"; dan Setia Mahkota Perlis (S.M.P.) dinamakan "Al-Saffi Kelas Ketiga".

Pada 22 Syawal 1322 bersamaan awal tahun 1905, Tuanku Raja Syed Saffi Al-marhum Ibni Almarhum Syed Alwi Jamalullail mangkat di istana Arau, setelah memerintah Perlis kira-kira lapan tahun. Makam baginda terdapat di kawasan Pemakaman Diraja Arau.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 5 - 1993

Tiada ulasan:

Catat Ulasan