Sejarah Awal Kampung Padang Nyu - FRIEND OF PERLIS

Terkini

21 April 2019

Sejarah Awal Kampung Padang Nyu


Lokasi asal Kampung Padang Nyu ialah sebuah kawasan hutan yang letaknya di sebelah kanan dan kiri jalan yang menuju ke UiTM. Ianya bermula dengan padang yang berhampiran dengan Masjid Kampung Guar Gajah menuju ke kawasan perumahan Taman Ria di Simpang Tiga berhampiran dengan Klinik Gial. Asalnya Kampung Padang Nyu meliputi Kampung Guar Gajah, Kampung Guar Lepai dan Kampung Padang Nyu. Pada masa tersebut tidak ada batas sempadan atau perenggan yang membahagikan antara satu kampung dengan kampung yang lain. Melainkan yang ada hanyalah Sungai Gial yang mengalirkan airnya ke Sungai Arau, menjadi sempadan iaitu tanah yang berdekatan dengan Kampung Guar Gajah, Kampung Guar Lepai dan kampung Padang Nyu dikenali sebagai Padang Nyu manakala tanah di seberang sungai dinamakan Alor Ara.

Sekarang jika disebut Padang Nyu, difahamkan orang ialah padang di sebelah kanan jalan ke UiTM yang bermula dari kawasan perumahan Padang Nyu hingga ke jalan masuk ke kampus UiTM. Manakala lain-lain kawasan asal Padang Nyu mendapat nama baru iaitu Kampung Guar Gajah dan Guar Lepai.

Sebenarnya kawasan hutan Padang Nyu sudah lama dikenali orang-orang zaman silam, cuma namanya baru saja diberi oleh orang-orang terkemudian. Padang Nyu dikenalpasti sejak zaman pemerintahan raja berkuasa mutlak lagi, iaitu di zaman pemerintahan raja-raja Indera Kayangan yang bernaung di bawah pengawasan Kesultanan Kedah. Pada masa ini Perlis belum lagi wujud sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Maklumat awal yang diketahui mengenai Padang Nyu ialah sebagai padang rusa raja. laitu kawasan hutan belantara tempat raja berburu rusa, pelanduk, ayam hutan dan sebagainya. Di padang ini telah ditempatkan oleh raja dahulu kala seorang yang pakar di dalam bidang menangkap binatang hutan untuk santapan raja, terutama sekali rusa. Pada zaman ini tidak ada jalan yang dibina oleh manusia, ianya cuma jalan yang dipanggil denai binatang. Jalan ini terbentuk akibat laluan binatang buas di waktu malam dan laluan manusia di waktu siang.

Penerokaan kawasan hutan di Arau dan keadaan di persekitarannya, termasuk Padang Nyu pada masa tersebut telah digambarkan oleh pecinta sejarah Perlis sebagai berikut:
Sayugia diingatkan bahawa kawasan-kawasan di sekitar Padang Siding dan Arau sebelum itu adalah merupakan hutan rimba dan belum lagi diterokai atau didiami orang. Jadi sebenarnya Syed Harun dan keluarganyalah yang mula membuka perkampungan di Arau dan orang-orang Melayu dari Chenak juga merupakan peneroka perkampungan di Padang Siding dengan izin daripada Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, dan semenjak itu kawasan-kawasan itu diberi nama 'Arau' dan 'Padang Siding'.
Petikan di atas menggambarkan bahawa pada masa Arau dan Padang Siding sedang diterokai, lain-lain kawasan termasuk Padang Nyu adalah kawasan hutan rimba yang belum ada peneroka seperti telah dihuraikan.

Pada masa awal penerokaan Padang Nyu, terdapat beberapa buah rumah sahaja iaitu rumah Tok Hasssan Shukor (tapaknya di rumah En. Halim Arasy sekarang ini), Tok Jibah (tapaknya di rumah Tok Haji Long sekarang), Tok Hussin (tapak rumahnya di rumah Tok Hussin Mudim sekarang), Tok Mat Golok (keturunan En. Hussin Yaakob yang mendiami tapak asal Kampung Padang Nyu yang masih ada hingga hari ini). Penduduk yang meneroka kawasan  Padang Nyu ini menggunakan denai atau jalan binatang untuk berhubung dengan kawasan yang lebih ramai penduduknya iaitu Arau. Apabila Raja Perlis mempunyai kuda barulah diperintahkan orang membina jalan kereta kuda dari Arau ke Kangar.

Sebelum kemasukan Inggeris segala tanah menjadi milik raja, tidak ada orang yang melanggar hukum ini kerana siapa yang melanggarnya akan menerima hukuman yang berat. Begitu juga dengan Padang Nyu, ia adalah tanah milik raja. Kawasan ini selain daripada menjadi kawasan raja berburu, juga menjadi kawasan atau tempat raja menjatuhkan hukuman bunuh. Seseorang pesalah yang dijatuhkan hukuman mati akan dibunuh di sini. Mereka biasanya ditikam di dalam keadaan kaki dan tangannya terikat. Di sini jugalah mayatnya ditanam atau dibaham binatang buas.

Apabila Jepun masuk ke Tanah Melayu (1943) barulah orang mula membuka secara meluas hutan di Kampung Padang Nyu. Kemudiannya apabila British masuk kali ke dua ke Tanah Melayu (1948) mula dijalankan kerja menyukat tanah untuk diagihkan kepada orang ramai. Contohnya dibuka Kampung Syed Bahari dan pembukaan estet getah Cina yang kemudiannya dijual kepada orang India menjadi Rani Estet. Sungguh pun kawasan yang baru diterokai ini dijadikan kampung halaman pada awal tahun 1940an, tetapi kawasan hutan di sekitarnya masih lagi tebal dan banyak terdapat binatang buruan seperti pelanduk, ayam hutan dan rusa. Pada masa tersebut juga, kawasan hutan Padang Nyu ini menjadi tempat tinggal harimau kerana baunya dapat dikesan dengan mudah oleh kerbau yang digunakan untuk membajak sawah. Biasanya kerbau yang berjalan dengan tertib ketika membajak sawah akan berhenti atau tidak mahu berjalan apabila terhidu bau harimau. Hutan rimba ini juga menjadi tempat orang berjudi, berlaga ayam, berlaga kerbau dan bermain Mak Yong semasa kemasukan British ke Tanah Melayu pada kali keduanya (1945/46).

Peperangan tradisi yang tercetus antara Kedah dengan Siam pada tahun 1821 telah dimenangi oleh Siam kerana tipu helah Siam yang menyatakan mereka mahu melanggar Burma, maka rombongan perang Siam pun disambutlah oleh pembesar-pembesar Kedah. Sebenarnya Siam merancang menyerang Kedah dari dua arah iaitu dari darat dan laut. Ketua darat Siam menyerang melalui Songkhla, manakala panglima angkatan lautnya menyerang melalui Kuala Bahang (Kuala Kedah). Pembesar-pembesar Kedah tidak tahu tentang tipu helah Siam yang menyerang rombongan tentera dan pembesar Kedah dengan gajah. Semasa sambutan dibuat oleh Kerajaan Kedah ke atas rombongan Siam secara besar-besaran itulah tentera Siam memberkas segala pembesar-pembesar Kedah yang menyambut mereka dan membakar segala jelapang padi yang ditemui.

Lihat juga peristiwa dan maklumat mengenai perang tersebut seperti yang ditulis oleh R. Bonney:
On Sunday, 12 November 1821, a large fleet of Siamese perahu-perahu from Trang anchored of Kuala Kedah. The Penghulu of Kota Kuala Kedah brought his gun to bear on the perahu-perahu, awaiting only the orders of the Bendahara or the Laksamana (then at Alor Setar and to whom messages were instantaneously sent), to open fire. Taken completely by surprise, the Bendahara choose to try peaceful measure to ascertain the purpose of the fleet's presence and probably as a delaying stratagies. Under the guise of procuring supplies of rice for an expedition to attack the Burmese to which the Bendahara promised an immediate supply, a large heavily-armed landing party was slipped ashore. By this time the Laksamana, the Temenggong and a few other Dato-Dato had joined the Bendahara, only to be surrounded, betrayed and briefly but very bravely embattled. The invasion of Kedah had begun.

Pada masa ini Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin sedang berkelah di Bukit Meriam, Kuala Muda. Apabila baginda mengetahui Alor Setar dilanggar Siam, baginda tidak pulang dan terus ke Kuala Perai dengan menaiki tong kang ke Pulau Pinang. Apa yang menjadi ingatan dan kepentingan kesan daripada perang tersebut, selain daripada tertanamnya perasaan tidak percaya kepada orang-orang Siam ialah lahirnya nama kepada kawasan kampung yang baru diterokai iaitu Kampung Padang Nyu. Nama ini muncul daripada nama seorang panglima Siam yang terbunuh di situ bernama lnyu dalam perang di antara Kedah dengan Siam dalam tahun 1821 itu, maka nama kawasan di sekitarnya pun dipanggil Padang Nyu. Panglima Inyu ditembak oleh seorang pahlawan Melayu dengan menggunakan senapang kit. Senapang ini menggunakan belerang campur senawa daripada garam tahi kelawar yang dimasak. Pelurunya adalah sebesar buah guli. Pada tahun 1933 senapang ini masih boleh didapati di pekan Sik, kedah.

Sumber: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13 - 2001

Tiada ulasan:

Catat Ulasan