Sejarah Sek. Men. Agama Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau - FRIEND OF PERLIS

Terkini

26 April 2019

Sejarah Sek. Men. Agama Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau


Penubuhan Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia lahir hasil kesedaran pemimpin masyarakat Islam di Perlis pada awal tahun 30an dahulu. Pembinaannya adalah daripada wang kutipan zakat di negeri Perlis.

Sebelum itu, tidak ada tempat untuk umat Islam di negeri ini belajar agama, melainkan daripada guru-guru agama di kampung-kampung. Guru-guru agama kampung tersebut hanya mengajar mengenai hukum-hukum fiqah, tauhid dan membaca al-Quran.

Mereka yang belajar daripada guru-guru agama berkenaan, hanya mampu menyiapkan diri mereka untuk bekalan ke akhirat. Mereka tidak menerima sebarang sijil dan seumpamanya sebagai bukti pernah mengikut pengajian dan boleh menjadi guru agama.

Guru-guru agama kampung pula ketika itu, mengajar orang-orang kampung mengeluarkan zakat, terutama zakat padi kepada mereka. Secara tidak langsung merekalah yang menjadi kaya, apabila datang sahaja musim menuai, menerima zakat padi berkunca-kunca.

Pada masa itulah, muncul beberapa orang pemimpin Islam tempatan yang sedar tentang kelemahan sistem tersebut. Di antara mereka termasuk Allahyarham Datuk Haji Wan Ahmad Wan Daud, Allahyarham Sheikh Abu Bakar dan Allahyarham Datuk Mat Hakim.

Mereka ini telah menyarankan sebuah Tabung Zakat dan Fitrah negeri diwujudkan. Setiap pemberian Zakat dan Fitrah oleh orang-orang Islam di Perlis mesti diberi kepada tabung tersebut, tidak lagi kepada guru-guru agama di kampung-kampung, yang selama ini menggunakan pemberian zakat itu bagi kepentingan peribadi.

Ada diantara guru-guru agama kampung yang bersetuju tentang pengubahsuaian kutipan zakat tersebut, tetapi ramai juga yang menentang, kerana memikirkan mereka sudah tidak ada peluang lagi untuk membuat kutipan.

Sekumpulan guru-guru agama yang menentang telah berkumpul di satu tempat di Utan Aji untuk menunjukkan sikap menentang mereka. Beberapa orang enggan bersurai, kemudiannya ditahan oleh pihak polis ketika itu.

Bagaimana pun, selepas itu baru disedari bagaimana besarnya faedah hasil penubuhan Tabung Zakat dan Fitrah negeri tersebut. Dari wang terkumpul itu, telah dibelanjakan untuk berbagai kepentingan umat Islam tempatan.

Perbelanjaan paling berkesan hasil wang zakat tersebut ialah pembinaan bangunan Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau, kira-kira sebelas kilometer daripada bandar Kangar.

Sekolah Arab Al-Alawiyah Arau itu didirikan pada tahun 1936, semasa negeri Perlis diperintah oleh Almarhum Raja Syed Alwi. Penubuhannya bertujuan untuk memberi didikan agama Islam dan Bahasa Arab pada masyarakat Islam tempatan.

Di samping membuka peluang seluas-luasnya kepada anak-anak Islam Perlis, sekolah itu juga membuka 10% peluang kepada anak-anak Islam dari luar Perlis. Ada diantara mereka datang daripada Negeri Sembilan, Perak, Seberang Perai dan daripada wilayah-wilayah di Selatan Thailand termasuk Setul dan Pattani.

Pada mulanya sekolah tersebut ditempatkan di bangunan sementara yang disewa di sebuah rumah, Jalan Pauh, Arau. Selepas itu, Penghulu Arau ketika itu, Allahyarham telah membenarkan rumahnya di No. 2, Jalan Besar, Arau digunakan oleh Jabatan Zakat dan Fitrah negeri untuk dijadikan sekolah tersebut.

Semasa pelajar-pelajar sulung itu sedang belajar di bangunan sementara kerja-kerja membina bangunan sekolah yang kekal, tidak jauh daripada Istana Arau giat dijalankan. Akhirnya bangunan baru sekolah berkenaan siap dibina dan dirasmikan pembukaannya oleh Almarhum Raja Syed Alwi tahun 1937 dengan dinamakan Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau, mengambil sempena nama Raja Syed Alwi.

Guru Besar pertama bertugas semasa sekolah tersebut di bangunan sementara ialah Allahyarham Sheikh Mahmud Mohd. Saman, bekas Mufti negeri Perlis yang pertama. Selepas bangunan kekal siap, dan para pelajar berpindah ke situ, pihak Lembaga Zakat Negeri mengambil seorang Guru Besar daripada Mesir bernama Ustaz Abdul Hamid Mustafa Assisi.

Kumpulan pelajar pertama sekolah itu hanya 74 orang sahaja. Mereka terdiri daripada murid lepasan Darjah 6 di Sekolah-sekolah Umum ketika itu. Semua pelajar lelaki sahaja.

Peringkat permulaan, pelajar-pelajar itu belajar di kelas Tahziri atau kelas Persediaan Iptidal selama empat tahun, dan selepas itu belajar di kelas Qismul Mualimin selama dua tahun, untuk berlatih menjadi Guru Agama Islam. Semua pengajaran menggunakan Bahasa Arab.

Bagi mereka yang tamat pengajian peringkat Qismul Mualimin dan tidak menjadi Guru Agama, mereka akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar atau universiti-universiti lain di Mesir.

Pihak Lembaga Zakat menetapkan, seseorang yang hendak menjadi Guru Besar di sekolah tersebut mestilah berkelulusan Kuliah Darul-Ulum, iaitu kursus mengenai perguruan di Mesir. Seminggu selepas meletus Peperangan Dunia Kedua dan Jepun menakluki Tanah Melayu, Ustaz Abdul Hamid Mustafa Assisi kembali ke Mesir. Sejak dari itu terputus sudah hubungan dengannya.

Selepas itu, pihak Lembaga Zakat Negeri melantik Allahyarham Ustaz Haji Salleh Osman sebagai Pemangku Guru Besar. Beliau juga seorang lepasan Darul-Ulum di Mesir. Ustaz Haji Salleh menjadi Pemangku Guru Besar hingga tahun 1951 apabila kemudiannya seorang lagi rakyat Mesir dibawa ke Perlis untuk menjadi Guru Besar di situ, bernama Ustaz Abdul Haq Jaazar. Beliau memegang tugasnya selama 3 tahun.

Apabila Ustaz Abdul Haq kembali ke Mesir, jawatan Guru Besar di pegang pula oleh Ustaz Thaqiyuddin Qandil, juga seorang rakyat Mesir selama 4 tahun. Kemudian beliau berhijrah ke Kuala Lumpur. Tempatnya diganti oleh Ustaz Abdul Bhar Attul Allah, juga selama 4 tahun. Kemudian kembali ke Mesir pada tahun 1960.

Bermula tahun tersebut, Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau tidak lagi mengambil Guru Besar daripada rakyat Mesir. Seorang anak tempatan yang juga berkelulusan dari Mesir, Ustaz Syed Hassan Syed Muhammad diberi tugas memangku jawatan Guru Besar hingga tahun 1964. Bermula tahun 1964, beliau kemudian dilantik sebagai anak Melayu pertama menjadi Guru Besar di situ.

Ustaz Syed Hassan memegang jawatan Guru Besar di sekolah berkenaan hingga tahun 1974, apabila beliau mengambil keputusan meletak jawatan untuk bertanding mewakili Barisan Nasional dalam kawasan Parlimen Arau semasa pilihanraya umum diadakan.

Selepas itu, jawatan Guru Besar dipegang oleh Encik Abdullah Kasir sebagai Pemangku Guru Besar hinggalah apabila sekolah berkenaan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan tahun 1975 untuk dijadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lelaki.

Bagaimanapun, pihak Kementerian Pendidikan tidak boleh nemiliki bangunan sekolah tersebut kerana ia merupakan milik atau harta zakat. Bangunan itu kemudian diserahkan kembali kepada pihak Jabatan Zakat dan Fitrah negeri, sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lelaki Arau dipindahkan ke satu tapak baru tidak jauh daripada sekolah berkenaan.

Apabila Yayasan Islam Negeri Perlis ditubuhkan, Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah Arau dihidupkan semula sebagaimana peranannya yang asal. Pihak yayasan membuka kelas pengajian Bahasa Arab di sekolah itu. Sebuah bangunan baru 3 tingkat dibina. Keseluruhannya pihak yayasan membelanjakan wang sebanyak $1.2 juta bagi membina bangunan baru, mengubahsuai bangunan lama termasuk asrama dan kantin serta dewan makan.

Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 2 - 1990

Tiada ulasan:

Catat Ulasan