Isi Kandungan Perjanjian Antara Kerajaan British Dan Negeri Perlis - FRIEND OF PERLIS

Terkini

28 April 2019

Isi Kandungan Perjanjian Antara Kerajaan British Dan Negeri Perlis


Tahun 1930 adalah merupakan peristiwa penting dalam sejarah negeri Perlis kerana mulai dari tahun tersebut negeri ini telah dinaungi dengan rasminya oleh Kerajaan British. Berhubung dengan itu, di akhir bulan April tahun tersebut Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor negeri-negeri Selat Pesuruhjaya negeri-negeri Melayu telah tiba di negeri Perlis untuk menandatangani satu perjanjian rasmi bagi pihak Kerajaan British dengan negeri Perlis. Manakala Raja Syed Alwi telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak negeri Perlis.

Oleh itu pada 28hb. April, tahun 1930, bersamaan 29hb. Zulkaedah 1348H, kira-kira jam 10.00 pagi, bertempat di Balai Penghadapan Istana Arau, maka perjanjian yang bersejarah dan penuh bererti itu telah ditandatangani oleh kedua-dua Pihak. Hari tersebut telah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi kakitangan kerajaan di negeri ini.

Adapun butir-butir yang terkandung dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak itu dapat dilihat seperti berikut:
  1. Negeri Perlis hendaklah terus kekal bernaung di bawah pemeliharaan Raja Inggeris, yang mana Baginda berhak menjalankan kuasa pertuanan ke atas negeri Perlis.
  2. Yang Maha Mulia Raja Perlis tidak boleh berkira apa-apa perkara yang berhubung dengan politik dengan mana-mana kuasa luar, kecuali dengan melalui wakil Duli Yang Maha Mulia Raja Inggeris.
  3. Duli Yang Maha Mulia Raja Inggeris tidaklah boleh menyerahkan atau memindahkan kuasa naungannya ke atas negeri Perlis kepada mana-mana kuasa lain. Lagi pun tidaklah boleh dipermasukkan atau dipersekutuan negeri Perlis dengan negeri-negeri lain melainkan dengan kebenaran atau persetujuan bertulis daripada Yang Maha Mulia Raja Syed Alwi di dalam State Council.
  4. Pengganti takhta kepada Raja Syed Alwi atau jika sekiranya tiada keturunan Baginda secara langsung, maka keturunan daripada nenek moyang Baginda yang dipilih oleh Perlis State Council dan dipersetujui oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Inggeris, berhak menjadi Raja Negeri Perlis. Maka berwajiblah bagi Kerajaan negeri Perlis memeliharakan Raja serta kerabat-kerabatnya dengan sempurna daripada hasil perolehan negeri Perlis. Maka maksud kerabat-kerabat itu ialah anak-anak dan cucu-cucu Raja keturunan sebelah pihak lelaki.
  5. Raja negeri Perlis dan pengganti-pengganti Baginda bersetuju menerima seorang Pegawai Penasihat British (British Adveser) dan menyediakan tempat kediaman bagi pegawai tersebut yang berhubung dengan itu akan menasihatkan segala hal ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran Negeri Perlis, kecuali perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat Melayu (negeri Perlis) dan Agama Islam, dan pihak Raja Perlis bersetuju menerima nasihat-nasihat tersebut. Adanya jaminan bahawa tiada apa-apa di dalam perkara tersebut yang mana dalam apa jua cara sekalipun menimbulkan prasangka atau merosakkan kuasa Raja atau penggantinya untuk mengutuskan surat kepada Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu atau Raja Inggeris, jika Raja Perlis berkehendakkan berbuat demikian. Maka perbelanjaan Pegawai Penasihat British serta dengan penubuhan jawatannya akan ditetapkan oleh Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu dan akan dibiayainya daripada hasil pendapatan Negeri Perlis.
  6. Negeri Perlis akan diperintah oleh Yang Maha Mulia Raja dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (State Council), yang mana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dianggotai oleh yang Maha Mulia Raja sebagai Presidennya dan tiga orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terdiri daripada orang-orang Melayu anak negeri Perlis yang dipilih atas nama atau jawatan oleh Yang Maha Mulia Raja Perlis dengan persetujuan Pesuruhjaya Tinggi bagi negeri-negeri Melayu, dan seorang lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu ialah Pegawai Penasihat British. Akan tetapi jika persetujuan bersama tercapai antara Pesuruhjaya Tinggi bagi negeri-negeri Melayu dan Yang Maha Mulia Raja Perlis, boleh juga ditambahkan lagi bilangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Perlis bagi mana-mana masa yang ditetapkan kelak. Maka yang masa Yang Maha Mulia Raja tidak hadir hendaklah dipilih oleh Yang Maha Mulia itu akan seorang Melayu daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat itu.
  7. Akan pegawai-pegawai kerajaan di dalam negeri Perlis hendaklah diambil daripada anak-anak Melayu Perlis, tetapi jika sekiranya pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri nampak apa-apa tugas yang anak-anak Melayu Perlis tidak boleh kerjakannya baharulah boleh diambil orang-orang dari luar negeri Perlis. Maka Kerajaan negeri Perlis akan menghantar anak-anak Melayu Perlis bagi melanjutkan pelajaran dalam berbagai bidang di luar negeri mengikut pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dengan biayaan Kerajaan negeri Perlis, supaya mereka akan menjadi berguna kepada Kerajaan negeri Perlis.
  8. Maka di dalam segala pejabat kerajaan di negeri Perlis hendaklah digunakan Bahasa Melayu secara rasmi, iaitu dalam tulisan Jawi, melainkan yang mana diluluskan oleh undang-undang negeri Perlis atau dikuatkuasakan khas oleh kerajaan, bahasa-bahasa lain boleh digunakan.

Demikianlah isi kandungan surat perjanjian tersebut. Perlu disebutkan juga iaitu para saksi kepada perjanjian itu ialah Tuan Syed Darus dan Tuan Haji Ahmad di pihak Raja Syed Alwi, dan di pihak Sir Cecil Clementi Smith pula disaksikan oleh Mr. L.A.Allen dan Mr.A.Hyde.

Perlaksanaan butir-butir di dalam perjanjian tersebut telah mula berjalan dan berkuatkuasa pada tarikh tersebut. Dalam mesyuarat State Council kali pertama selepas perjanjian tersebut, iaitu pada hari Sabtu, 3hb. Mei 1930, Raja Syed Alwi sebagai Presidennya, telah bertitah menyentuh tentang perjanjian yang baharu diadakan itu. Baginda berasa sangat sukacita kerana boleh tumpang bernaung di bawah kerajaan Great British kerana Baginda yakin bahawa kerajaan itulah yang sehabis besar dan adil sekali di dunia. Di samping itu Baginda telah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Negeri-negeri Melayu kerana sudi berangkat ke negeri Perlis dan menandatangani perjanjian 
tersebut.

Dengan termeterinya perjanjian ini, telah membawa negeri Perlis sebagai sebuah negeri Melayu yang terakhir sekali bernaung di bawah Kerajaan British secara rasmi. Dalam hubungan ini juga bererti bahawa negeri Perlis adalah merupakan negeri Melayu yang pendek sekali jangkamasanya bernaung secara rasmi di bawah Kerajaan British.

Rujukan: Perlis Indera Kayangan - Sejarah Pembentukan Negeri Berdaulat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan