Menurut satu sumber perkataan "Kayangan" yang dipakai pada negeri Perlis sebelum ini diambil daripada pengucapan Sultan Dhiauddin Almukarram Syah yang sering menyebut "Kota" yang dibinanya itu seperti "Kayangan". Selain Makam Almarhum Kayang pertama, satu lagi kesan sejarah yang membuktikan wujudnya Kota Indera Kayangan ini ialah Perigi Diraja yang terletak berhampiran dengan Bukit Kayang, di mana dipercayai merupakan kawasan letaknya istana Sultan Dhiauddin.
Mengikut cerita penduduk setempat dan tinjauan yang dibuat, air perigi ini tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang.
Sementara itu, rakyat jelata kebanyakannya membuat perkampungan di sepanjang tebing sungai Perlis dan sekitarnya. Selain orang Melayu, terdapat beberapa keluarga Cina yang tinggal di Kampung Wai, adalah dipercayai merupakan golongan Cina terawal mendiami negeri Perlis.
Sebelum mangkat, Sultan Dhiauddin Almukarram Syah menggantikan takhta Kerajaan Kedah kepada cucunda baginda yang bernama Tengku Ngah Putra iaitu anak Tengku Sepora Negara dengan Juang Tawa seorang Putera Raja Bugis.
Hasrat baginda tidak mendapat perkenan oleh pembesar-pembesar Kedah sehingga baginda mangkat pada tahun 1687 Masihi. Apabila baginda Sultan Dhiauddin mangkat, pembesar-pembesar Kedah menabalkan putera baginda yang bernama Tengku Ataullah Mohamad Syah menjadi Sultan Kedah. Baginda memilih Bukit Pinang menjadi Kota tempat bersemayam dan pusat pemerintahan negeri Kedah dan jajahan takluknya.
Penolakan pembesar-pembesar Kedah melantik Tengku Ngah Putera menjadi Sultan Kedah membangkitkan kemarahan orang Bugis yang berhasrat mendapat kuasa dan pengaruhnya ke atas negeri-negeri Melayu khususnya Kedah. Justeru itu, pihak Bugis merancang untuk menyerang dan merampas kuasa daripada Sultan Kedah yang baru ditabalkan. Menyedari angkara yang akan berlaku, Sultan Ataullah memerintahkan rakyat supaya bersiap sedia memperkukuhkan kelima-lima buah kota pertahanan yang terdapat ketika itu.
Kota-kota yang dimaksudkan ialah Kota Wang Daratan Murapah, di Pulau Panjang, Kota Merbok, Kota Kuala Kedah, Kota Indera Kayangan dan Kota Pulau Ketam, Kuala Perlis. Kira-kira pada tahun 1868 Masihi, Tengku Ngah Putera telah membawa angkatan perang Bugis menyerang Kedah melalui Sungai Merbuk tetapi gagal mengalahkan Kedah. Sehubungan dengan kegagalan itu, Tengku Ataullah kekal sebagai Sultan dan terus bersemayam di Kota Bukit Pinang.
Ekoran perubahan kota pusat pemerintahan dari Kota Indera Kayangan ke Kota Bukit Pinang, maka ramai rakyat jelata mula meninggalkan kawasan tersebut. Dengan itu tinggallah Kota Kayangan terbiar mengharungi detik-detik kemusnahannya dari hari ke hari. Hari ini keseluruhan kota yang dibina telah luput serta tidak mempunyai sebarang kesan lagi.
Dan apa yang dapat kita lihat hari ini ialah makam Almarhum Kayang yang pertama iaitu Sultan Dhiauddin Almukarram Syah Ibni Almarhum Muhyiddin Mansur Syah bersama dengan beberapa kubur lain yang menjadi fakta sejarah tentang kewujudan "Kota Indera Kayangan Pertama" pada abad ke-17 yang lalu.
Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6 - 1994
Tiada ulasan:
Catat Ulasan