Sejarah Penubuhan Sek. Keb. Stella Maris, Kangar - FRIEND OF PERLIS

Terkini

04 Mei 2019

Sejarah Penubuhan Sek. Keb. Stella Maris, Kangar



Sekolah Stella Maris telah ditubuhkan pada tahun 1950, dua tahun selepas tertubuhnya Sekolah Inggeris Derma, iaitu pada tahun 1948. Tujuan besar serta matlamat mewujudkan sekolah aliran Inggeris persendirian ini ialah untuk membolehkan semua bangsa terutama kepada kanak-kanak Cina dan India yang tidak dapat masuk belajar di Sekolah Inggeris Derma. Sekolah Inggeris Derma merupakan sekolah aliran Inggeris yang tunggal di negeri Perlis dan hanya menerima murid daripada Darjah Khas Melayu sahaja.

Pada jarak masa tahun 1948 dan 1950, golongan keluarga yang berada amat berminat menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah di luar negeri Perlis, seperti Sultan Abdul Hamid College, Penang Free School dan Malay College Kuala Kangsar. Ada juga di kalangan anak-anak raja yang telah dihantar ke Bangkok untuk melanjutkan pelajaran mereka, seperti anak-anak AImarhum Tuanku Raja Syed Saffi. Ketika Sekolah Stella Maris mula ditaja pada pertengahan tahun 1950, sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri. Untuk dijadikan tempat murid belajar, maka Sekolah Melayu Perempuan, Kangar yang letaknya di Jalan Penjara telah dipinjamkan buat sementara waktu.

Menurut sumber, menjelaskan bahawa Sekolah Stella Maris telah ditaja pada tahun 1950 oleh Rev.Fr.L.S. Norris, Parish Priest, Sungai Petani, Kedah. Pada masa itu Encik Benedict J. Vong telah dilantik sebagai Guru Besar Perintis di bawah pengawasan Rev.L.S. Norris. Pada masa itu sambutan daripada murid-murid Melayu adalah sangat berkurangan oleh sebab ibu bapa bimbang bahawa sekolah ini akan dijalankan di bawah naungan agama Kristian. Setelah ibu bapa mendapat penjelasan daripada pihak yang berwajib dan sekolah ini telah menunjukkan bahawa tujuan utamanya ialah memberi pelajaran Inggeris kepada kanak-kanak tempatan, maka dalam tahun 1951, ramailah murid daripada bangsa Melayu telah masuk belajar sehingga jumlah murid-murid pada masa itu meningkat seramai 164 orang.

Usaha untuk memiliki bangunan sendiri terpaksa dilakukan dan dalam tahun itu juga mereka berusaha mengutip derma daripada pelbagai sumber. Atas kesedaran itu derma-derma telah diberi oleh taukeh-taukeh kedai dan saudagar dalam negeri Perlis. Dengan jumlah wang yang terkumpul semampu yang ada, maka kerja-kerja pembinaan sekolah itu dijalankan dengan segera. Pada penghujung tahun 1950 bangunan sekolah baru yang diperbuat daripada kayu dan buluh serta berbumbung zing telah siap dibina. Bangunan itu berada di Jalan Raja Syed Saffi, Kangar, iaitu tapak sekolah yang ada sekarang. Tapak bangunan sekolah itu adalah sumbangan daripada Mubaligh Kristian bersama-sama Dr. Jagat Singh, Encik Balwant Singh dan Cetti Kangar.

Pada masa sekolah ini mula dibuka, bilangan murid-muridnya ialah seramai 40 orang, lelaki dan perempuan. Mereka belajar di dalam satu darjah, iaitu Darjah Satu (Primary One). Pada masa itu Encik Benedict J. Vong adalah orang yang mula-mula sekali menjadi Guru Besar, disamping beliau menjadi guru darjah yang tunggal. Setelah sekolah ini menerima bangunan Kerajaan pada tahun 1953, maka Encik P.J. Morsingh telah dilantik menjadi Guru Besar. Beliau berkhidmat sehingga hujung tahun 1955. Encik Benedict J. Vong sekali lagi menjadi Guru Besar setelah Encik P.J. Morsingh meletak jawatan. Beliau menjadi Guru Besar hingga tahun 1974.

Pada tahun 1951 , dua orang guru adik beradik telah berkhidmat di sekolah ini selain daripada Guru Besar. Mereka ialah Encik Anthony F.Chan dan Encik John G.Chan. Dua orang guru ini telah berkhidmat di sekolah ini lebih daripada sepuluh tahun dan segala perkhidmatan cemerlang mereka sepatutnya diberi kepujiaan. Pada bulan Februari 1951 murid-murid yang belajar di Sekolah Melayu Perempuan Kangar mula berpindah ke sekolah baru di Jalan Raja Syed Saffi, Kangar. Dan pada bulan Mac 1951 Duli yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail Raja Perlis telah perkenan merasmikan pembukaan sekolah ini.

Lembaga Pengurus sekolah mula diwujudkan pada tahun 1958. Semua Ahli Lembaga memberi kerjasama yang penuh kepada Guru Besar dan guru-guru untuk kemajuan sekolah.

Pada tahun 1953 bantuan telah diterima daripada Kerajaan negeri Perlis untuk membina lima buah lagi bilik darjah kerana bilangan murid-muridnya semakin bertambah. Setelah menerima bantuan Kerajaan maka sekolah ini dijadikan dua bahagian, iaitu Bahagian Bantuan dan Bahagian Persendirian. Dan mulai tahun 1956 pengelolaan dan pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada The Christian Brothers Schools (Incorporated) dan seorang Brother Supervisor telah dilantik untuk melawat sekolah dua minggu sekali.

Apabila didapati keputusan peperiksaan Darjah Enam memuaskan pada tahun 1957, maka sekolah Bantuan Kerajaan dibenar membuka Darjah Menengahnya hingga ke Tingkatan 3 tetapi Darjah Menengah ini ditutup pada tahun 1960. Manakala Bahagian Persendiriannya pula berjalan terus dari mula hinggalah ditutup pada tahun 1968. Sekolah ini terkenal diseluruh negeri Perlis hanya dalam beberapa tahun sahaja murid-muridnya meningkat menjadi 600 orang.

Setelah Bahagian Menengah Sekolah Bantuan Kerajaan ditutup pada tahun 1960, maka bilangan murid-murid menjadi merosot. Untuk mendapat bilangan murid satu darjah setahun pun agak sukar. Tetapi setelah Jabatan Pelajaran Perlis dipisahkan dari Kedah, maka perhatian yang berat terhadap sekolah ini telah diambil oleh Jabatan Pelajaran Perlis. Semenjak daripada tarikh inilah bilangan murid-murid meningkat naik semula. Murid-murid Melayu ramailah yang mendaftar untuk belajar di sekolah ini. Ibu bapa telah menyedari bahawa berita yang mengatakan, kononnya murid-murid Melayu yang belajar di sekolah ini akan diajar untuk menganut agama Kristian adalah palsu semata-mata. Ibu bapa juga memahami bahawa perjalanan sekolah ini adalah mengikut dasar dan peraturan pelajaran. Maka pada masa ini murid-murid Melayulah yang paling ramai belajar di sekolah. Dalam tahun 1964 cuti-cuti hujung minggu telah ditukarkan dari Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu. Perubahan cuti ini adalah untuk menyelaraskan dengan cuti hujung minggu sekolah-sekolah lain di negeri Perlis.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 20 - 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan