Sebenarnya Lebai Kecik ialah gelaran kepada Abdul Manaf bin Abdullah yang berasal dari Kampung Kemantan Darat, Padang, Sumatera. Usia beliau sehingga 60 tahun dan bekerja sebagai guru agama dan pesawah. Mendapat pendidikan awal di Sumatera, belajar agama dan bahasa Arab di pondok-pondok agama negeri Perak. Beliau membaca Kitab Bandung dan bergaul dengan ulama-ulama as-Sunnah seperti Pak Wan Ahmad.
Beliau merupakan pengasas as-Sunnah yang kedua, selepas Syeikh Hassan Surabaya selain daripada menjadi Imam dan guru agama di Kampung Behor Masjid dalam tahun 1940an. Lebai Kecik mengajar secara percuma dan digelar "Kaum Muda" sebab banyak membuat pindaan di dalam ibadat sembahyang dan pengkebumian mayat (tidak baca talkin). Di antara bekas muridnya yang terkenal ialah Allahyarham Datuk Jaafar Hassan (mantan Menteri Besar Perlis).
Artikel ini memaparkan karangan Khutbah Lebai Kecik daripada yang asalnya bertulis jawi kepada tulisan rumi dan sedikit ulasan mengenai khutbah tersebut mengikut muka surat asal khutbah tersebut:-
Muka 1:
Sekalian pujian itu bagi Allah yang mengajar dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang mereka tidak tahu. Maka mudah-mudahan bercucuran rahmat dan sejahtera atas nabi kita penghulu kita dan atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya yang jadi pelita menerangi gelap gulita. Aku mengaku bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.
Muka 2 :
Ada pun kemudian daripada itu hai sekalian jemaah yang hadir sesungguhnya agama kita Islam sangat menggemarkan kita dengan belajar menuntut ilmu supaya kita sekalian jangan jadi bodoh. Dan supaya jangan jadi rugi dan dihinakan oleh orang-orang yang tidak beragama Islam oleh sebab kita tidak berpengetahuan. Saudara sekalian marilah kita dengar beberapa keterangan ayat berkaitan darjat ilmu dan perintah yang mewajibkan kita menuntut ilmu dan mengajar. Firman Allah yang artinya tanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak tahu dan sabda Nabi s.a.w.
(muka surat 3 dan 4 hilang)
Muka 5 :
(Petikan ayat suci al-Quran yang bermaksud "Wahai rasul sampaikanlah apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan"). Saudara-saudara firman-firman Allah itu sungguhpun dihadapkan kepada nabi kita s.a.w. tetapi maksudnya ialah perintah kepada nabi dan kepada sekalian umat-umatnya yang berpengetahuan kerana ada beberapa ayat Quran yang menerangkan begitu dan sabda Rasul s.a.w. artinya sampaikan daripada aku kepada manusia walaupun satu ayat. Sabda Rasul s.a.w yang artinya orang alim itu memegang amanah Allah pada bumi. Hadith-hadith itu terang menunjukkan bahawa tiap-tiap orang yang tahu itu walaupun satu ayat wajib.
Muka 6 :
Menyampaikan kepada saudaranya yang belum tahu kerana kalau tidak bagitu bukanlah ia orang yang memegang amanah Allah di bumi tetapi ia masuk di dalam bilik orang khianat. Sabda nabi s.a.w. artinya: ulama-ulama itu waris bagi nabi-nabi. Sabda nabi s.a.w. artinya: orang yang lebih hampir kepada darjat nabi-nabi ialah ahli pengetahuan. Dua hadith ini lagi menunjukkan bahawa ulama-ulama itu wajib bekerja seperti nabi-nabi iaitu menyampaikan perintah Allah kepada hamba-hambanya dan menyuruh dengan pekerjaan yang kebajikan dan melarang dengan pekerjaan yang kejahatan supaya hidup mati kita di dalam aman sentosa maju dan makmur jangan sampai kita terjadi hidup mati.
Muka 7 :
Kita di dalam pekerjaan maksiat dan termasuk anak-anak kita di dalam lembahan kehinaan dan derhaka dengan sebab meninggalkan perintah Allah dan mengerjakan larangan. Dan wajib orang-orang berpengetahuan (ulama-ulama) menyampaikan seruannya kepada jalan yang baik dan mendatangkan guna bagi kemaslihatan umum dan menguatkan tenaga umat Islam bagi negeri dan ugamanya. Mudah-mudahan dengan jalan ini dapatlah kembali segala kemuliaan kita yang sudah hilang beberapa lama dan juga kita harap dapat kembali semula akan perikatan persatuan kita apabila sudah kita berpengetahuan dan sedarlah kita akan nasib kita yang telah sudah. Dan dapatlah kita bergerak mengadakan apa-apa jalan yang manfat dan selamat bagi kaum kita dengan kita bermesyuarat.
Muka 8 :
Saudara-saudara sedarlah di mana kita menggunakan ajaran agama kita yang baik-baik itu, tidakkah kita menaruh malu kepada orang-orang lain tersenyum melihat kita sudah ketinggalan dan menurun ke belakang bagitu jauh. Saudara-saudara sudah cukup masanya kita tinggal dengan berdakap tubuh tidak mahu
berfikir bagaimana kita sehingga akhirnya terapung-apunglah untung nasib kita di dalam gelombang amalan kita yang sia-sia dan menghilangkan waktu percuma dengan membawa masing-masing untung sendiri-sendiri sahaja . Kalaupun hanyut dan lenyap sekali kemuliaan ugama Islam yang maha suci itu. Benar sekali seperti firman Allah yang bermaksud:
Muka 9 :
Sesungguhnya Allah tidak mengubahi Ia akan satu kaum hingga mengubahi mereka akan diri mereka sendiri. Dari ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang tersebut kita dapat tahu bahawa Allah dan RasulNya memuliakan ulama-ulama dan ahli-ahli ilmu , menyuruh kita belajar dan mengajar , memerintah ulama-ulama supaya menyampaikan agama kepada hamba-
hamba Allah di muka bumi. Oleh sebab itu tiap-tiap seorang daripada kita belajar dan mengajar kerana di antara kita tidak ada lain melainkan orang yang tidak berilmu dan orang yang berilmu. Maka orang yang tidak berilmu wajib mencari ilmu dan orang yang berilmu wajib memberi ilmu.
Hendaklah kita ingat bahawa Allah Subhanahu wataala ada mengajar kita dengan meminta kepadaNya bermaksud "Hai Tuhan kami berilah bagi kami kebaikan
Muka 10 :
di dunia dan kebaikan di akhirat". Sabda Nabi s.a.w. yang artinya : Bekerjalah sebagaimana pekerjaan orang yang menyangka yang ia tidak akan mati selamanya dan takutlah kepada Allah
sebagaimana ketakutan orang yang takut mati besok. Oleh sebab itu hendaklah kita berpengetahuan dengan ilmu ugama untuk
akhirat, dan dengan ilmu keduniaan untuk kehidupan dan kemuliaan di dunia , kerana
kita orang Islam wajib berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh supaya jadi mulia di
dunia dan akhirat seperti firman Allah yang artinya :
Muka 11 :
"Bagi Allah kemuliaan dan bagi rasulNya dan bagi orang yang beriman". Hai saudara-saudara kita sekalian sudah tentu maklum bahawa tak dapat kita jadi mulia di dunia dengan ilmu akhirat sahaja, oleh sebab itu hendaklah kita mempunyai ilmu untuk dua-dua negeri iaitu dunia dan akhirat. Saudara-saudara hendaklah kita ingat dan mengerti bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu dunia itu ialah sekalian macam yang mendatangkan faedah dan manfaat bagi kemajuan negeri dan umat Islam yang dipersetujui oleh ugama kita bahkan dengan jalan ini
Muka 12 :
dapatlah bertambah-tambah ketinggian ugama kita dan bertambah yakin kita kepada ugama kita seperti perkataan Arab yang artinya: "Bermula ugama Islam itu ialah ugama yang amat yakin dan bermula tiap-tiap perkara yang yakin tak dapat tiada mesti dengan kerja dan usaha yang bersungguh-sungguh dan tiap-tiap diusahakan itu tak dapat tiadalah Nampak buahnya".
Tetapi jikalau kita palingkan muka kita kearah umat kita sekarang ini apakah kita semua sudah yakin benar . Kalau sudah yakin dimanakah letaknya perusahaan kita itu ya!! Jika sebenarnya kita usaha dan uruskannya, jaga, bela! Dimanakah letaknya buah dan faedah yang terbit daripada Islam
(Muka seterusnya akan disiarkan di bahagian 2)
Sumber: JWIK_2011_Bil23
Tiada ulasan:
Catat Ulasan