Menyingkap kembali ke era 40-an dan 50-an, tapak sekolah ini sebenarnya adalah sekeping tanah rang dan sebahagiannya adalah tanah bendang. Ketika musim panas, kawasan tanah lapang di tapak ini menjadi medan untuk kanak-kanak bermain layang-layang dan disebelah malamnya akan menjadi tapak persembahan kebudayaan rakyat setempat.
Menurut seorang warga Simpang Empat, Encik Ajib bin Md. Dai, penganjur persembahan kebudayaan rakyat itu akan membuat dinding di sekeliling kawasan persembahan dengan menggunakan daun kelapa kering. Pada sebelah malamnya diadakan beberapa persembahan rakyat seperti Makyong, Dikir dan Wayang Kulit (yang masih kuat pengaruh Siam dalam persembahannya). Tapak itu kemudiannya dibeli oleh Tuan Haji Ahmad bin Hassan, lalu dijadikan kampung dan tanah sawah padi.
Dari sudut geografi, tapak itu terletak di daerah Bunga Emas, Simpang Empat kira-kira 13 kilometer dari Bandar Kangar. Pada masa dahulu terdapat ban tali air di hadapan sekolah itu. Kini ia sudah menjadi jalan raya yang menghubungkan Bandar Kangar dengan Alor Setar. Menurut cerita, Bunga Emas diberi sewaktu negeri Perlis masih di bawah jajahan Siam. Kampung ini menjadi tempat persinggahan anggota rombongan yang membawa Bunga Emas ke Thailand. Di situ, anggota rombongan berehat dan mandi-manda. Di sebelah malamnya sambil beristirehat, mereka menikmati persembahan Makyong. Sekuntum bunga emas dipercayai terjatuh di situ dan dengan itu kampung tersebut dinamai Bunga Emas.
Menurut Encik Halifah b. Haji Ahmad, anak kepada tuan punya tanah tapak sekolah, kawasan seluas sembilan relung tersebut adalah kepunyaan ayah beliau, Haji Ahmad b. Haji Hassan yang dijadikan kampung dan sawah padi. Ia kemudiannya diambil alih oleh kerajaan untuk tujuan pembinaan sekolah menengah. Kerajaan pada awalnya bersetuju membayar RM1,000.00 serelung sebagai pampasan tetapi setelah dibuat rayuan, baginda Tuanku Raja Perlis telah memberi perintah agar dibayar RM2,000.00 serelung sebagai pampasan.
Maka terbinalah tiga blok bangunan dua tingkat. Blok pertama dijadikan Pejabat, Bilik Guru dan beberapa Bilik Darjah manakala blok kedua pula dikhaskan untuk Makmal Sains, Bengkel Seni Perusahaan serta Bilik Masakan dan Jahitan. Sebuah bangunan setingkat untuk kantin juga dibina di bahagian hadapan sekolah ini. Turut dibina dua buah rumah guru di bahagian belakang kawasan sekolah ini.
Semasa proses pembinaan sekolah tersebut, kerajaan negeri Perlis diterajui oleh Dato' Sheikh Ahmad manakala Pengarah Pendidikan Perlis pula ialah Encik Ariffin Mat Nam. Pada peringkat awalnya, sekolah ini mempunyai 183 orang pelajar dan 10 orang tenaga pengajar. Sementara itu, Pengetuanya ialah Encik Nor Ahmad Mokhtar Hanif. Sebelum menduduki bangunan baru itu, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Simpang Empat menumpang belajar di bangunan Sekolah Kebangsaan Simpang Empat (sekarang ini dijadikan pusat kegiatan guru dan asrama desa). Guru Besar pertama Sekolah Menengah Simpang Empat ialah Encik Hassan Sulaiman.
Setelah siap pembinaannya, bangunan baru itu diduduki pada tahun 1966. Pengerusi Lembaga Sekolah Menengah Simpang Empat ialah Dato' Ahmad Musa (YB Sanglang). Bangunan sekolah itu dirasmikan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong Almarhum Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang Dipertuan Agong Malaysia Keempat. Ketika itu Encik Khir Johari menjadi Menteri Pendidikan Malaysia.
Pada tarikh perasmiannya, sekolah itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Syed Saffi. Ia ditadbir oleh lapan orang pengetua.
Sumber: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8 - 1996
Tiada ulasan:
Catat Ulasan