Sejarah Pemerintahan Tuanku Raja Perlis Ke-5, 1943-1945 (Syed Hamzah Jamalullail) - FRIEND OF PERLIS

Terkini

08 Mei 2019

Sejarah Pemerintahan Tuanku Raja Perlis Ke-5, 1943-1945 (Syed Hamzah Jamalullail)



Baginda adalah putera Raja Syed Saffi dengan Che Shamsiah Binti Lebai Mat Amin. Ini bermakna baginda adalah saudara seayahanda dengan Raja Syed Alwi. Selepas kemangkatan Raja Muda Syed Mahmud Ibni Syed Saffi Jamalullail, baginda mula aktif membantu urusan pentadbiran negeri Perlis dengan menjadi Naib Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Syed Hamzah juga bertindak sebagai pengerusi kepada beberapa jawatankuasa di bawah kerajaan Perlis, antaranya Jawatankuasa Pelajaran Negeri Perlis.

Pada 12 Disember 1941, tentera Jepun telah memasuki negeri Perlis diketuai oleh kapten E. Hirota. Memandangkan ketika itu Raja Syed Alwi berada di luar negeri Perlis, kapten E. Hirota telah mengarahkan Syed Hamzah menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang dinaungi oleh kerajaan Militari Jepun. Dalam majlis ini Syed Hamzah sendiri yang bertindak sebagai presidennya, seolah-olah baginda benar-benar menjadi Raja Perlis yang baru. Apabila Raja Syed Alwi berangkat balik ke Perlis, baginda mengambil kembali jawatan Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Syed Hamzah pula kembali ke kedudukan Naib Presiden. Walaupun demikian, dengan sokongan Kerajaan Jepun, pada 11 Januari 1942 telah dikeluarkan perisytiharan yang melucutkan kedudukan Syed Putra Ibni Syed Hassan sebagai bakal Raja Perlis. Serentak dengan itu perisytiharan yang sama memansyurkan Syed Hamzah sebagai bakal Raja Perlis yang baru.

Semenjak April 1943, Kerajaan Jepun mula mengamalkan dasar pengiktirafan rasmi kepada kuasa Raja-raja Melayu. Dengan kemangkatan Raja Syed Alwi, Syed Hamzah diangkat sebagai Raja Perlis oleh pihak berkuasa Jepun. Zaman pemerintahan Raja Syed Hamzah adalah sinonim dengan zaman Jepun di mana penderitaan bermaharajalela. Kebuluran merebak, harga barang-barang melambung tinggi dan hasil padi dirampas oleh Tentera Jepun. Perusahaan getah dan perlombongan bijih timah tergendala. Pendidikan yang diteruskan di sekolah-sekolah diubah orentasinya kepada pengagungan Jepun sebagai 'Pelindung Bangsa Asia, Pemimpin Bangsa Asia dan Cahaya Asia'. Sebagai balasan kepada Kerajaan Siam di bawah pimpinan Perdana Menteri Phibul Songkhram yang memberikan kerjasama penuh sehingga penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu mendapat kejayaan besar, Negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung dikembalikan kepada pentadbiran Kerajaan Siam. Tanpa persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis pun, negeri ini bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan semula oleh Kerajaan Jepun kepada Kerajaan Siam untuk ditadbir sebagai 'caretaker government'. Kesemua negeri-negeri ini diletakkan di bawah pentadbiran seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Siam yang bertanggungjawab kepada semua urusan kecuali Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Beliau digelar Khaluang Tahan Besar dan beribu pejabat di Alor Setar. Di Perlis, ditempatkan seorang pembantu Khaluang Tahan Besar dengan gelaran Khaluang Tahan Phra' Chamrat.

Kerajaan Siam memanggil Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis sebagai Muntri Spa Perlis. Raja Syed Hamzah menjadi Pengerusi Muntri Spa Perlis manakala pembesar-pembesar Perlis yang lain menjadi ahlinya. Baginda bertanggungjawab kepada Khaluang Tahan Besar dan Khaluang Tahan Phra' Chamrat. Pegawai-pegawai Siam yang ditempatkan di Perlis kebanyakannya kurang mahir, kurang berdisiplin dan buruk perangai. Ada pula askar-askar Siam yang merayau di kampung-kampung dengan menjalankan kegiatan mencuri, menceroboh dan mengganas bagi membiayai aktiviti berjudi dan minum arak mereka. Walaupun ditadbir oleh Kerajaan Siam, Tentera Jepun masih terus ditempatkan di beberapa kawasan strategik sekitar negeri Perlis.

Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 September 1945, satu lagi malapetaka menimpa negeri Perlis sebelum British benar-benar kembali berkuasa. Malapetaka yang dimaksudkan adalah bermaharajalelanya Bintang Tiga selama seminggu di Perlis. Bintang Tiga atau nama penuhnya Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dianggotai oleh majoriti ahli-ahli yang terdiri daripada etnik Cina. Kumpulan ini mengganas dengan membunuh dan membalas dendam terhadap orang-orang Melayu yang dituduh sebagai tali-barut Jepun. Pentadbiran Tentera British atau British Military Administration (BMA) mula dilaksanakan di Perlis dengan pimpinan Mejar D. Burr. Sesudah itu barulah Penasihat British iaitu E.V.G Day sampai ke negeri ini. Walau bagaimanapun BMA yang diketuai oleh Lord Mountbatten enggan mengiktiraf status Syed Hamzah sebagai Raja Perlis.

Sebaliknya British berusaha memulihkan kembali kedudukan Syed Putra yang dilantik sebagai bakal Raja Perlis pada 30 April 1938. Dengan itu, Raja Syed Hamzah dikehendaki turun takhta. Baginda meninggalkan istana arau untuk berpindah ke Setul dan kemudiannya beralih ke Alor Setar sehingga akhir hayatnya. Pada tahun 1958, Syed Hamzah Ibni Syed Saffi kembali ke Rahmatullah.

Sumber Rujukan: Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan