Jejak Warisan: Makam Leluhur Raja Perlis - FRIEND OF PERLIS

Terkini

15 Julai 2019

Jejak Warisan: Makam Leluhur Raja Perlis



6 Julai 2019 / 3 Zulkaedah 1440H (Sabtu)

Rombongan kami telah berkesempatan menziarahi makam Almarhum Syed Ahmad Jamalullail ibn Syed Husain Jamalullail yang merupakan leluhur kepada Penghulu mukim Arau dan seterusnya Raja-raja Negeri Perlis Indera Kayangan. 

Diriwayatkan bahawa Syed Ahmad Jamalullail berasal dari Hadramaut, Yaman yang telah datang ke negeri Kedah sekitar tahun 1148H bersamaan tahun 1735 Masehi untuk berdagang serta berdakwah. Syed Ahmad Jamalullail telah berkahwin dengan Sharifah Aminah binti Syed Muhammad Taha al-Qadri dan hasil daripada perkahwinan itu telah melahirkan Syed Harun Jamalullail atau juga dikenali dengan nama Syed Abu Bakar pada tahun 1737. Syed Ahmad telah mangkat di Kedah sekitar tahun 1751 Masehi dan telah dimakamkan di Kampung Limbong, mukim Langgar, Kedah.

Makam yang dipercayai milik Almarhum Syed Ahmad ibn Syed Husain Jamalullail.

Berdasarkan pengamatan saya, makam-makam Almarhum Syed Ahmad Jamalulail dan ahli keluarganya menggunakan batu nisan Aceh abad ke-18 yang telah dicat dengan cat warna putih dan kelihatan tidak begitu terurus lantaran dipenuhi dengan semak-samun. Terdapat juga batu nisan di makam tersebut yang sudah patah, hilang atau berubah kedudukan asalnya. Di tengah-tengah kawasan makam itu kelihatan seperti tanah yang sedikit tinggi dan dipercayai makam milik Syed Ahmad ibn Syed Husain Jamalullail.


Harapan saya agar kawasan makam Syed Ahmad ibn Syed Husain Jamalullail dan ahli keluarganya ini dapat dipelihara serta dipulihara dengan sebaik mungkin oleh pihak berwajib lantaran ia merupakan sebahagian daripada artifak sejarah yang amat bernilai apatah lagi ia melibatkan makam pengasas kepada Raja-raja Pemerintah Kerajaan Negeri Perlis.

Sumber Facebook: Raja Adley Paris

Tiada ulasan:

Catat Ulasan