Pengkisahan Ringkas Penubuhan Sek. Men. Keb. Syed Alwi, Kayang - FRIEND OF PERLIS

Terkini

30 Mei 2019

Pengkisahan Ringkas Penubuhan Sek. Men. Keb. Syed Alwi, Kayang



Menyingkap kembali sejarah penubuhan sekolah tersebut, tentu tiada siapa akan menduga bahawa ia hanyalah sebuah sekolah menengah yang menumpang menggunakan bilik-bilik Sekolah Kebangsaan Kayang di tapak sekarang ini. Detik awal penubuhannya, sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Kayang dengan bilangan murid seramai 192 orang. Sekolah itu dibuka pada 1 Januari 1965.

Bilangan murid ke sekolah tersebut semakin bertambah. Kemudian pada tahun 1966, bilangan pelajarnya bertambah menjadi 366 orang dan sebahagian pelajarnya terpaksa pula menumpang menggunakan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Padang Besar (S) Jalan Kuala Perlis. Apabila bilangan pelajarnya meningkat kepada 591 orang pada tahun 1967, sebahagian daripada mereka ditumpangkan pula di Sekolah Kebangsaan Utan Aji, Perlis. Sehinggalah pada akhir tahun 1967 sekolah ini mendapat bangunannya sendiri.

Pada 13 Mei 1968, terpatrilah sejarah perasmian Sekolah Menengah tersebut oleh DYMM Tuanku Raja Perlis dan diberi nama Sekolah Menengah Syed Alwi, Kayang (SMKSA). Perasmian itu turut dihadiri oleh Menteri pelajaran, En. Mohd. Khir B. Johari. Pada peringkat awal penubuhannya, ia adalah sebuah sekolah akademik saja dan ditadbir oleh seorang guru besar yang juga pada masa yang sama mentadbir Sekolah Kebangsaan Kayang. Guru besar yang diberikan tanggungjawab tersebut ialah Encik Abdul Malik Bin Haji Abdul Ghani, seorang guru dari Sekolah Inggeris Derma Kangar, Perlis.

Lembaga pentadbir yang pertama bagi Sekolah Menengah Kayang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Encik Yusoff B. Abu Bakar, Speaker Majlis Undangan Negeri Perlis bermula pada 13 Januari 1965 dan kemudiannya dimansuhkan pada tanggal 20 November 1965 kerana wujudnya Jawatankuasa Lembaga Pentadbir Sekolah pada tahun 1966.

Pentadbiran kemudian diambil alih oleh Encik Yahya Man pada 1 Februari 1972 bagi menguruskan perjalanan Sekolah Menengah Kayang itu.


Menurut keterangan Allahyarham Syed Othman bin Syed Ali, seorang penduduk tempatan, sekolah itu asalnya terdiri daripada dua blok bangunan untuk menampung pelajar-pelajar sekolah menengah rendah, dan mempunyai kemudahan dua bilik makmal, pada tahun 1967.
Masa itu belum ada elektrik. Padang permainan pun kecil tetapi bolehlah untuk aktiviti riadah pelajar-pelajar tu daripada tak ada langsung

Sumber: JWIK Bil 9 - 1997

Tiada ulasan:

Catat Ulasan