Sumber lisan yang boleh dipercayai, menyatakan bandar Kangar wujud serentak dengan kelahiran Negeri Indera Kayangan. Tarikhnya tidak dapat ditentukan tetapi penerokanya dikenalpasti iaitu Tok Paduka (Tua) bersama-sama dengan orang-orangnya yang telah membina bangsal daripada atap dan dengannya juga menyebabkan kawasan ini dipanggil Pekan Atap. Tok Paduka dan orang-orangnya yang meneroka Pekan Atap tersebut tinggal di kampung Sena tempat di mana kemudiannya dibina Kota Sena. Tok Paduka berasal dari Indonesia yang kemudiannya berangkat ke negeri Perak.
Sebelum pembinaan Pekan Atap, tidak ada manusia yang tinggal di persekitarannya kerana penuh dengan hutan rimba yang tebal. Cuma di Kampung Sena sahaja yang ada orang tinggal dan perhubungan dibuat dengan menaiki gajah atau perahu. Penerokaan Pekan Atap ini bertujuan untuk membuka negeri baru yang belum ada nama. Tok Paduka sebagai pemerintah (raja) negeri baru ini mendapat perkenan membuka negeri baru daripada Raja Indera Kayangan bernama Marhum Pak Pendek yang tinggal di Kampung Sena. Indera Kayangan adalah sebuah jajahan taklukan Kedah.
Bukan mudah bagi Tok Paduka untuk diizinkan menjadi raja bagi membuka sebuah bandar dan negeri baru. Beliau terpaksa melalui satu ujian kehandalan membelah buah tembikai supaya sama besar dan sama berat timbangannya setiap sebelah. Kebolehan Tok Paduka yang luar biasa menyebabkan ia berjaya membelah buah tembikai seperti yang dikehendaki. Akhirnya Marhum Pak Pendek telah menunaikan janjinya iaitu melantik Tok Paduka menjadi raja dengan gelaran Datuk Paduka Maharaja Indera Jaya. Tujuan Marhum Pak Pendek melantik raja di kawasan baru itu ialah untuk menahan Siam daripada menyerang Kedah dengan mudah kerana di utara belum ada negeri. Jika ada negeri baru, ini akan menjadi penghalang utama kemaraan Siam ke selatan. Tok Paduka dan orang-orangnya menebas untuk meneroka negeri baru yang belum ada nama dan pekan. Parang yang digunakan untuk membelah buah tembikai itulah yang digunakan untuk memugar hutan. Tok Paduka bukan menebas sangat tetapi parangnya yang menebas sendiri iaitu menggunakan kuasa jin yang dimilikinya. Setelah selesai meneroka hutan, dibinalah beberapa buah bangsal di tepi sungai. Bangsal ini dibuat dari atap daun nipah untuk tujuan perniagaan. Lama-kelamaan ramailah orang masuk ikut Kuala Perlis membawa barang dagangan ke Pekan Atap. Orang India dan Cina masuk dengan tongkang. Dengan itu wujudlah sebuah bandar dan negeri baru yang tiada bernama. Kemudian Tok Paduka bermesyuarat dengan orang-orangnya untuk memberi nama kepada Pekan Atap tadi. Ketika sedang bermesyuarat terdengar bunyi burung tang di atas pokok besar yang tinggi dengan bunyi "kangok".
Tok Paduka mendengar bunyi tersebut, lalu mencadangkan supaya diberi nama "Kangok" kepada Pekan Atap. Nama "kangok" ini telah diterima dan digunakan oleh orang ramai. Sebutan "kangok" ini berubah menjadi "kangar" apabila orang Inggeris mula menuturkannya dan akhirnya orang ramai pun terikut-ikut dengan sebutan tersebut sehingga ke hari ini. Begitu juga halnya dengan nama negeri, Tok Paduka yang mencadangkannya supaya diberi nama Perlis memandangkan kawasan atau negeri baru itu diperoleh daripada Marhum Pak Pendek, Raja Indera Kayangan yang menjadi salah sebuah daripada jajahan Kedah.
Sebagai nostalgia kepada Tok Paduka, telah diciptakan oleh anak cucunya sebuah pantun empat kerat yang berbunyi :
Datuk Paduka Raja Perlis,
Pekan teratur tepi sungai,
Rupa paras bagai ditulis,
Sayang sedikit budi perangai
Melalui penghuraian yang telah diberikan itu dapatlah disimpulkan bahawa pambukaan Kangar adalah lebih awal daripada tarikh pembinaan Kampung Sena dalam negeri Indera Kayangan. Pembinaan Kota Sena dimulakan dalam tahun 1063H(1652 M) dan siap dalam tahun 1065H(1654M). Dianggarkan pemerintahan Tok Paduka Tua (Wan Long Aru) bermula di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II iaitu 1506 M-1602 M. Selepas itu pemerintahan Indera Kayangan dipegang oleh Tok Paduka Muda (Wan Long Salleh) yang menjadi bapa mertua kepada Sultan Muhyiddin Mansor Shah, Sultan Kedah yang ke 22.
Kewujudan bandar Kangar dan nama negeri Perlis lebih awal daripada yang dijangkakan melalui catatan yang dibuat oleh seorang pedagang Portugis yang belayar melalui Kuala Perlis pada abad ke 16 iaitu Firano Mendes Pinto yang berbunyi "anchored at the mouth of the Perlis River near Alor Star to trade 1539". Ini membuktikan bahawa negeri Perlis telah pun wujud pada tahun 1539 yang juga bermakna pada masa yang sama sudah ada bandar Kangar kerana menurut kajian sejarah pemberian nama Kangar sama masanya dengan pemberian negeri Perlis Indera Kayangan.
Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12 - 2000
Tiada ulasan:
Catat Ulasan