'Pengkalan Assam' Dari Perspektif Sejarahnya - FRIEND OF PERLIS

Terkini

16 Mac 2019

'Pengkalan Assam' Dari Perspektif Sejarahnya

Kredit Foto: Google (sekadar hiasan)

Dari perspektif sejarahnya, nama Pengkalan Assam didasarkan sempena sepohon pokok assam yang tumbuh besar (di tebing seberang pengkalan, di sudut kiri ke seberang) iaitu arah ke Kangar. Mengikut sejarahnya iaitu hasil penemuan dengan beberapa orang kampung yang umur mereka menjangkau 80-an, "Pengkalan Assam" diambil sempena pokok assam tersebut. Pengkalan Assam terletak di pinggir sungai, kira-kira 1 kilometer dari bandar Kangar.

Pada tahun 1921 hingga akhir tahun 1951, sungai Pengkalan Assam merupakan laluan utama dan menjadi media pengangkutan penting. Berperanan besar dalam mencorak kehidupan dan pembangunan negara. Pada dekad tersebut, sungai kekal popular sebagai laluan perahu, bot, tongkang dan kapal untuk pengangkutan barang-barang dagangan serta menjadi media penghubungan kepada penduduk-penduduk.

Sungai Pengkalan Assam juga menjadi laluan rasmi tongkang-tongkang, bot-bot yang datang dari Singapura dan Pulau Pinang bagi membawa pelbagai barangan dagangan. Bot-bot dan tongkang-tongkag tersebut akan berlabuh di Pengkalan Assam dan di tepian pasar Kangar (yang sekarang dibangunkan bangunan 'Majlis Perbandaran Kangar'). Di hujung pasar terdapat sebuah Jabatan Penerangan Negeri (yang kini dibangunkan Pejabat Telekom dan pada tahun 1998, bangunan tersebut tidak digunakan lagi). Terdapat beberapa tongkang Keling dan Tongkang Cina serta Kapal Amping yang sering menggunakan laluan sungai Pengkalan Assam untuk membawa barang-barang dagangan mereka.

Ketika itu, sungai turut menjadi sumber negara kita, iaitu 75% untuk pengairan, 22% untuk domestik dan industri dan 3% untuk lain-lain kegunaan. Sungai juga merupakan sumber ekonomi penduduk-penduduk kampung. Ikan air tawar seperti haruan, ketam batu, udang galah dan pelbagai spesis ikan dapat diperolehi bila-bila masa saja atas inisiatif sendiri. Diperolehi secara percuma dan adakalanya menjadi mata pencarian hidup.

Pada tahun 1900 hingga awal 1920, biasanya sesiapa yang hendak menyeberangi sungai atau pengkalan itu terpaksa menggunakan perahu tambang yang ditarik sendiri pada tali (diperbuat dari sabut) yang diikat di perdu pokok assam. Tambang yang dikenakan satu sen pergi dan satu sen pulang.

Pada tahun 1921 hingga 1945, mereka yang akan ke seberang masih menggunakan perahu tambang, tetapi perahu tambang itu dikendalikan seorang pendayung yang dikenali dengan panggilan "Tuk Pandak". Beliau bertanggungjawab mengendalikan urusan perahu tambang yang dikenakan bayaran seorang lima sen pergi dan lima sen untuk pulang. Beliau juga diberi tempat tinggal yang dinamakan "benaksah" atau surau di pinggir pengkalan.

Pada dekad tersebut, terdapat dua pohon pokok cermai yang besar tumbuh di kiri kanan pengkalan. Sebatang pokok assam yang besar berada di sebelah kiri ke seberang pengkalan. Di kawasan kanan ke seberang pula terdapat sepohon pokok sena yang besar dan rendang. Berdekatan dengan pokok assam itu terdapat ‘anak sungai’ atau muara yang menghala ke sebuah gudang padi, iaitu bagi membolehkan bot atau tongkang memasuki kawasan bagi tujuan membawa barang-barang dan padi zakat. Sebuah gudang padi yang besar berada dipinggir sungai itu. Padi zakat yang dibawa melalui ‘anuk’ yang ditarik oleh kerbau biasanya disimpan di gudang tersebut.

Para petani yang menguruskan bendang mereka dikehendaki membayar zakat padi. Kawasan atau kampung yang dimestikan menghantar padi zakat di gudang tersebut ialah kawasan Seriab, Bohor Temak, Bohor Gonchar, Bohor Lateh dan Kampung Pengkalan Assam. Imam Masjid Bohor Temak, Allahyarham Abdul Karim bin F. Salleh telah diberi tugas bagi mengendalikan penerimaan padi zakat.

Sebuah masjid kecil terbina di kawasan pinggir sungai. Di belakang masjid disediakan ruang perkuburan. Sesiapa yang meninggal dunia, jenazah dibawa untuk disemadi di kubur tersebut dengan perahu atau bot.

Pada tahun 1952, dibina jambatan kayu selebar empat kaki (120 cm) untuk kemudahan orang ramai dan juga kenderaan ringan. Pada tahun 1962, jambatan kayu tersebut bertukar wajah kepada jambatan papan tebal dan pada tahun 1976, berubah ke jambatan simen. Dengan yang demikian, kenderaan berat dapat menggunakan jambatan itu sebagai laluan ke Alor Setar dan Kuala Perlis.

Mengikut penjelasan Dato' Syed Omar bin Syed Husain bahawa nama Pengkalan Assam ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu kawasan seberang sungai dinamakan Seberang Pengkalan Assam dan di seberang yang menjadi sempadan bandar Kangar dinamakan Pengkalan Assam. Sebutan ini telah diterimapakai oleh umum.

Pada akhir tahun 1920, telah diwujudkan jawatan Penjaga Tambang Perahu. Kerjanya ialah menarik tali perahu ke tebing. Tugas itu telah diberikan kepada Tuan Haji Abd. Razak bin Hj. Mohd. Taib (Datuk kepada Puan Rosnah bt. Salleh). Beliau dibayar gaji RM1.50 sebulan dan seterusnya dinaikkan gaji sehingga RM2.30 sebulan. Pada ketika itu kanak-kanak sekolah tidak dikenakan apa-apa bayaran, kecuali masa persekolahan dikenakan bayaran setengah duit pergi dan setengah duit pulang.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10 - 1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan