Penceritaan sejarah TUK PEDUKA dari Allahyarham Lebai Itam bin Jusoh pada waktu itu berumur 65 tahun. Gambar diambil pada Mei 1967. |
Sudah menjadi suatu kelumrahan bagi tiap-tiap nama tempat atau sesuatu daerah itu diambil atau dinamakan berdasarkan pada pembawaan sesuatu tempat itu. Ada yang diberi nama sempena keagungan seseorang pembesar, nama bintang, nama pokok-pokok dan lain-lain yang berkisar pada kedaerahan sesuatu tempat.
Kalaulah sesuatu peninjauan itu tidak diterokai atau diselidiki secara objektif, sudah tidak ada kemungkinan bagi generasi akan datang mengenali nama-nama sesebuah kampung atau sesuatu daerah dengan lebih terperinci. Dengan menyedari hakikat inilah maka ahli-ahli sejarah atau peminat-peminat sejarah wajar membuat penyelidikan berkaitan dengan nama-nama tempat yang dipanggil sedemikian rupa.
"Tuk Paduka" adalah nama kampung yang berdekatan dengan bandar Kangar, jauhnya kira-kira 1.2 km dari bandar itu. Apabila disebut Tuk Peduka, masyarakat di Perlis sering dibayangi dengan kegerunan kawasan perkuburan, kebetulan juga jalan rasmi untuk masuk ke Kampung Tuk Peduka terpaksa melalui kawasan perkuburan.
Allahyarham Lebai Itam menceritakan, "pada tahun 1140 ada seorang perantau atau pengembara yang berumur kira-kira 28 tahun telah datang ke Indera Kayangan, Perlis,". Lanjut beliau lagi bahawa perantau itu berasal dari Minangkabau, Indonesia. Pengembara ini telah jatuh susah setelah lama beriktiar untuk mencari apa saja perkerjaan. Tidak beberapa lama kemudian ia mendapat tahu dari Raja Negeri Indera Kayangan, iaitu Mehon Pak Pendek yang sedang mencari seramai 12 orang untuk dipilih menjadi raja Negeri Perlis.
Encik Lebai Itam menjelaskan bahawa beliau mendapat cerita lisan yang berlaku kira-kira 826 tahun yang lalu. Tingkat umur yang akan dipilih itu ialah antara 28 tahun hingga 30 tahun. Mereka yang terdiri dari 12 orang itu tidak diberitahu oleh Pak Pendek akan kedudukan dan cara bagaimana untuk memilih seorang raja. Mereka termenung. Setelah Pak Pendek menghilangkan dirinya ke dalam biliknya, maka dibawa keluar olehnya sebilah pedang yang panjang dan tajam serta sebiji buah tembikai yang besar. Pak Pendek memberitahu kepada 12 orang yang berada di hadapannya:
Siapa yang boleh memotong buah tembikai ini dengan sebilah pedang?
Mehon Pak Pendek cuba menyoal tetapi soalannya belum lagi selesai.
Katanya lagi sesiapa pun boleh memotong tembikai ini dengan pedang yang sedia ada. Tapi hajatnya mestilah buah itu terpotong dengan sekali potong saja, supaya antara sebelah menyebelah itu mesti sama seimbang.
Jikalau didapati sesiapa yang memotong dengan tidak seimbang dan lain dari kehendak saya, maka saya akan bunuh orang itu.
sambung orang tua itu lagi.
Mereka yang 12 orang itu terasa curiga dan takut. Di wajah mereka tergambar reaksi cemas dan menakutkan. Dan ada di antara mereka yang berbisik-bisik sesama sendiri bagaimana untuk memotong buah tembikai itu dengan sekali gus supaya kedua-dua belah buah tembikai itu sama berat apabila ditimbang. Mereka menggeleng-gelengkan kepala sesama sendiri.
Mereka 12 orang itu memandang dengan penuh hairan. Sebelum itu tiga orang telah memegang pedang dan cuba-cuba memancung buah tembikai itu. Tetapi pedang itu diserahkan semula kerana mereka terasa curiga dan takut sekiranya buah itu nanti tidak seimbang pula potongnya.
Lantas tidak lama kemudian perantau itu pun bangun dan memberanikan dirinya untuk memancung buah tembikai itu. Setelah dipancungnya, maka raja pun terus menimbang akan buah tembikai yang dipancungnya itu. Bila ditimbang didapati kedua-dua belah buah itu adalah sama seimbang.
Mereka yang lain itu tersangat hairan bila didapati seorang daripada peserta itu dapat memotong mengikut kehendaknya Mehon Pak Pendek. Raja itu pun lantas memegang tangan perantau itu dan berkata:
Kau akan menjadi kakitangan aku dan aku namakan kau Datuk Paduka Maharaja Indera Jaya.
terang Mehon Pak Pendek selepas upacara selesai.
Setelah genap 15 tahun Datuk Paduka Maharaja Indera Jaya memerintah negeri Perlis, maka ia pun meninggal.
Anaknya yang bernama Wang Long Salleh Datuk Paduka Muda telah menggantikan ayahandanya. Dalam pemerintahan Wang Long Salleh Datuk Paduka Muda itu, banyaklah anasir-anasir yang menggelisahkan hatinya. Pada zaman pemerintahannya itu negeri Siam akan merampas negeri Perlis. Dengan tidak berfikir panjang maka Datuk Wang Long pun menuju ke arah Bukit Besi Hangit di daerah Bintong, kira-kira 6 km dari Kangar. Datuk Paduka Wang Long kemudiannya mendaki bukit itu. Setelah sampai ke matlamat yang ditujunya, maka ia pun memberi tahu pada Jin (pengharapan Tuk Paduka ketika itu) untuk mendapatkan pertolongan. Dan pertolongan itu sangat-sangat diharapkan oleh Datuk Wang Long.
Setelah disapa oleh Jin itu akan maksud kedatangan Datuk Paduka Wang Long itu mahu, iapun melahirkan maksudnya. Wang Long pun menerangkan kepada Jin itu bahawa Siam akan merampas negeri Perlis.
Jin itu pun memberi pengakuannya yang ia cuma ada seekor kuda dan sebuah meriam. Tetapi meriam itu adalah kepunyaan Jin Yong.
Untuk mendapatkan meriam itu Wang Long terpaksa pergi ke Bukit Papan, kira-kira 10 km dari Kangar, kerana meriam itu bukan hak milik Jin itu yang sebenar. Lantas Wang Long itu pun terpaksa berjumpa dengan Jin Yong yang tinggal di Bukit Papan. Setelah dua perkara yang dihajati itu termakbul, maka puncak kegembiraannya itu sampai pada yang diharapkan. Memandangkan yang Wang Long kini agak keseorangan, maka ia pun ingin mencari sahabat. Sahabatnya itu bernama Mehon Kayang. Antara kawan-kawannya yang lain ialah Tuk Jenang dan Tuk Habib. Tuk Habib mempunyai tiga orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki bernama Wang Long dan Wan Putih. Yang perempuan pula bernama Wan Midah.
Kehendak orang-orang Siam yang akan memerintah negeri Perlis telah mencapai cita-citanya. Pada mulanya mereka ini mendarat di perlabuhan Kuala Perlis. Setelah pendaratan itu tidak memperolehi kejayaan, mereka terpaksa berpatah haluan dan memasuki pula melalui Padang Besar. Dengan kehandalan dan kemegahan Tuk Paduka yang digeruni itu, maka serangan-serangan dari Siam untuk menduduki negeri Perlis tidak beroleh kejayaan.
Setelah Tuk Paduka meninggal dunia, maka Siam telah dapat memerintah negeri Perlis sehingga tarikh pemerintahan Almarhum Tuan Syed Ahmad. Pada ketika itu negeri Perlis saban tahun menghantar bunga emas kepada negeri Siam, tanda persahabatan.
Satu perkara yang agak ganjil dan aneh (yang diceritakan oleh Allahyarham Lebai Itam) bahawa Siam itu menyerang dengan dua ekor gajah yang pada hakikatnya hendak mengorek untuk mengambil tulang Datuk Paduka Muda untuk dibawa ke Siam. Setelah dua ekor gajah itu terpijak kawasan perkuburan Tuk Paduka itu, maka kedua-dua ekor gajah itu pun jatuh dan rebah ke bumi. Dua ekor gajah bersama-sama gembalanya telah mati ketika itu juga.
Kejadian itu adalah tersangat ganjil dan aneh. Tetapi setelah penyelidikan ini dibuat, mengutip pendapat Allahyarham Lebai Itam, perkara ini sungguh-sungguh dan benar-benar terjadi pada zaman itu.
Mengikut pendapat Allahyarham Lebai Itam lagi, orang-orang kampung di kampung Tuk Paduka menggelar Tuk Paduka itu keramat orangnya. Ketika masih hidup, musuh-musuh amat sukar untuk membunuhnya. Walaupun Tuk Paduka dimakan zaman, tetapi sukar pula bagi musuh-musuh dari Siam untuk mendapatkan tulang-tulangnya.
Keseluruhan sejarah Tuk Paduka ini diceritakan oleh Allahyarham Lebai Itam yang tinggal di kampung Tuk Paduka. Dengan yang demikian, sumber nama kampung Tuk Paduka itu dinamakan adalah berdasarkan pada kemegahan atau keagungan seseorang.
Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 3 - 1991 (Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis)
Penulis Asal: MOKHTAR A.K
Artikel ini pernah disiarkan dalam majalah PENGAMAN majalah bulanan Bahasa Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia negeri-negeri Tanah Melayu, JIM XII Bilangan 6, keluaran bulan Jun 1967
Tiada ulasan:
Catat Ulasan