Sistem Pentadbiran Penghulu Di Perlis Pada Tahun 1895-1945 - FRIEND OF PERLIS

Terkini

19 Mac 2019

Sistem Pentadbiran Penghulu Di Perlis Pada Tahun 1895-1945

Encik Wan Khazim Wan Din, pencerita sejarah Pentadbiran Penghulu di Perlis.

Pada tahun 1895 hingga 1945 negeri Perlis yang dikenali sebagai nama Indera Kayangan memperlihatkan betapa pengaruhnya peranan dan kuasa mutlak seseorang Penghulu dalam segala pentadbiran.

Sebelum Raja Syed Alwi memegang tampuk pemerintahan, negeri Perlis terbahagi kepada 16 kawasan yang tertentu khususnya untuk menempatkan 16 orang Penghulu yang telah dipilih. Dan 16 kawasan itu telah diserahkan tanggungjawab kepada 16 orang Penghulu yang telah dilantik oleh Raja.



Memandangkan suasana dan kedudukan dalam negeri memperlihatkan perubahan dan tenteram, maka bilangan Penghulu dan kawasan-kawasan itu diperkecilkan hingga dapat di tadbirkan oleh 9 orang Penghulu. Tindakan dan perubahan ini telah diambil sejak Raja Syed Alwi mengambil alih pemerintahan negeri Perlis. Kawasan-kawasan yang telah diperkecilkan itu ialah:



Pada zaman pemerintahan Raja Syed Alwi dan pemerintahan Raja-Raja terdahulu, pemilihan atau pelantikan seseorang Penghulu itu adalah berdasarkan kepada sokongan kuat daripada pihak atasan. Sungguhpun demikian, apa yang dikehendaki dan diutamakan ialah orang yang berbadan kuat, berani serta mempunyai budi pekerti yang tinggi.

Menurut cerita Tuan Haji Omar Haji Mohamad, yang meninggal pada usia 103 tahun pada 3 Julai 1994, dalam suatu wawancara pada 13 Ogos 1985 dahulu, menceritakan bahawa kuasa penuh pelantikan Penghulu terletak kepada Raja. Biasanya pemilihan terakhir dalam suatu mesyuarat, cadangan-cadangan yang diajukan daripada orang bawahan dapat dipertimbangkan. Sekiranya Penghulu itu dapat mentadbir atau menjalankan tugas dengan baik tanpa melakukan sesuatu yang menyeleweng, maka anak serta keturunannya itu akan secara langsung dipilih untuk menjadi Penghulu. Dengan yang demikian syarat-syarat pelantikan yang baru tidak dikenakan lagi. Dan jawatan Penghulu boleh dikatakan jawatan pusaka dan tidak boleh ditukarkan kepada orang lain.


TUGAS-TUGAS PENGHULU

Kuasa atau tugas-tugas Penghulu pada zaman dahulu samalah seperti pentadbiran seorang Menteri Besar sekarang. Malah kalau hendak diperincikan lagi, kuasa Penghulu itu lebih berpengaruh daripada seorang Menteri Besar itu sendiri.

Tugas seorang Penghulu ialah untuk memanggil atau memerintah rakyat membina jalan raya atau membina rumah dan sebagainya. Tugas-tugas tersebut datang daripada pihak Raja dan terserahlah kepada Penghulu bagi memerintah sekalian rakyat membereskan kerja-kerja. Acapkali suruhan seperti mencari kayu api itulah yang menjadi tanggungjawab rakyat. Apabila diadakan sesuatu gerak kerja yang diperintah oleh Penghulu, pekerja-pekerja itu terpaksa membawa makanan sendiri dan tidak ada upahan daripada pihak atas.

Sekiranya didapati rakyat atau orang yang engkar atau tidak mahu menyertai dalam gerak kerja itu, maka Penghulu akan menjatuhkan hukuman kepada orang yang terlibat. Beberapa orang petugas khas atau dikenali dengan panggilan 'Quang' telah disediakan oleh Penghulu bagi menjalankan hukuman yang telah ditetapkan oleh Penghulu.

Encik Wan Khadzim Wan Din, 63 tahun, bekas bintang filem sezaman Allahyarham P. Ramlee, johan pemantun Malaysia dan kini sebagai pendakwah bebas di Perlis menerangkan bahawa ada lima bidang tugas atau kuasa khas yang ada pada Penghulu. Pertama kuasa Raja, kedua kuasa Mahkamah, ketiga kuasa Polis, keempat kuasa Pejabat Agama dan kelima kuasa diri sendiri sebagai Penghulu.


KUASA RAJA

Sekiranya rakyat ada masalah, mereka tidak boleh secara langsung berjumpa dengan Raja kecuali dengan keizinan Penghulu. Mereka terlebih dahulu berbincang dengan Penghulu akan masalah yang dihadapi dan sekiranya Penghulu tidak memberi kebenaran, maka mereka terpaksa pulang. Rakyat atau sesiapa saja yang dibenarkan berjumpa dengan Raja, maka mereka tidak boleh pergi berseorangan. Mereka mesti ditemani atau diiringi oleh Penghulu.


KUASA MAHKAMAH

Penghulu ada kuasa mahkamah dan beliau boleh denda seseorang yang melakukan kesalahan. Denda itu setimpal dengan kesalahan yang diperlakukannya. Dan Penghulu boleh menjatuhkan hukumannya sendiri tanpa campurtangan orang lain. Biasanya di rumah Penghulu ada lokap khas bagi menempatkan pesalah.


KUASA POLIS

Sekiranya ada rakyat atau sesiapa saja melakukan kesalahan atau kecurian, pihak polis tidak boleh menangkap mengikut sesuka hati sebelum mendapat kelulusan daripada Penghulu.


KUASA PEJABAT AGAMA

Sekiranya orang kampung dalam suatu kawasan berkehendakkan sebuah masjid, maka tanah tapak masjid itu mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Penghulu. Kalau berlaku pergaduhan suami isteri dan sampai ke peringkat perceraian, maka Penghululah yang berhak menasihat dan memberi kata pemutus. Mereka patuh pada keputusan Penghulu.


KUASA PENGHULU

Bidang kuasa Penghulu adalah tidak terbatas. Selain bidang kuasa yang telah diamanahkan oleh Raja dan lima tugas khas seperti di atas, maka Penghulu dapat menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar.

Sistem pentadbiran di atas masih berjalan di Thailand. Ciri-ciri pentadbiran seorang Ketua Kampung zaman dahulu adalah sama atau setaraf dengan jawatan Penghulu zaman masa kini. Ketua kampung berperanan memegang beberapa tugas penting seperti Bahagian Pertanian, Bahagian Ternakan, Keselamatan dan jawatan-jawatan lain yang telah ditetapkan.

Bahagian Penerangan pula dikehendaki membuat laporan harian kepada Ketua Kampung. Sistem tersebut dipraktikkan ketika pemerintahan Jepun dan Siam di Perlis.

Ketika di bawah pemerintahan Jepun, beberapa orang kenamaan telah memainkan peranan bagi pentadbiran negeri Perlis. Datuk Abas Datuk Habib dilantik sebagai Penghulu, bertanggungjawab menjaga kawasan Kampung Chuping, Oran, Ngulang.

Encik Darus L. Man dilantik sebagai Ketua Kampung. Di bawahnya dilantik pula Encik Saad Lebai Man memegang jawatan bidang pertanian, Encik Ahmad Senawi bidang ternakan, Encik Said Haji Dahaman, bahagian kerahan tenaga dan Encik Endin Eliat memegang bahagian orang-orang Thai.

Kedudukan pangkat atau orang kenamaan bagi negeri Perlis adalah seperti berikut:

Pertama  - Raja
Kedua      - Penghulu
Ketiga      - Quang(orang harapan Penghulu)
Keempat - Imam
Kelima.    - Orang biasa (rakyat)

Di Perak beberapa pangkat telah disusun. Orang yang atas sekali ialah Raja. Kemudian diikuti pula dengan Raja Muda, Raja Bendahari, Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar 16 dan Orang Besar 32. Orang Besar 32 itulah Penghulu, kemudian diikuti dengan Ketua Kampung atau pegawai-pegawai lain. Tetapi di negeri Perlis cuma empat peringkat pangkat yang telah disusun oleh pihak pemerintahan zaman itu.

Perhubungan antara Penghulu dengan Raja ternyata erat. Rakyat memandang tinggi dan patuh kepada Penghulu sepertimana juga rakyat patuh dan disegani kepada Rajanya.

Ditinjau dari segi pembahagian tanah dalam negeri, rakyat dibolehkan membuat pilihan dan rayuan kepada Raja. Pengesahan yang muktamad diputuskan oleh Penghulu. Tanah yang dimiliki oleh rakyat pada zaman itu ada bergeran. Pada zaman dahulu, rakyat boleh jumpa Raja pada bila-bila masa sahaja. Perintah Raja itulah undang-undang.

Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 7 - 1995 (Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis)

Penulis Asal: MOKHTAR A.K.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan