Tokoh Pelopor Pembangunan Perlis - FRIEND OF PERLIS

Terkini

31 Mac 2019

Tokoh Pelopor Pembangunan Perlis

(Tan Sri Dato' Sheikh Ahmad Mohd Hashim)

Negeri Perlis Indera Kayangan tidak melupai jasa seorang tokoh yang sering dikaitkan dengan pembangunan pada negeri ini, malah beliau adalah pelopor pembangunan pada dekad pertama Perlis merdeka (dalam Persekutuan Tanah Melayu). Tokoh berkenaan ialah Tan Sri Dato' Sheikh Ahmad Mohd Hashim (1896 - 1982) yang menjadi Menteri Besar Perlis selama 11 tahun (iaitu dari tahun 1959 hingga 1970).

Sheikh Ahmad dilahirkan di Pulau Pinang pada 26 Disember 1896 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Chowraster, Pulau Pinang. Kemudian ke Sekolah Rendah Kampung Baru di Kuala Lumpur. Beliau meneruskan pelajarannya di Victoria Institution (hingga darjah VII) dan ke Sekolah Teknik, juga di Kuala Lumpur. Beliau sangat meminati pelajaran Matematik dan Ilmu Ukur.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Auditor di Kedah pada tahun 1911 berkat asuhan bapa saudaranya, Haji Has, yang menjadi Timbalan Pendaftar di Mahkamah Tinggi, Alor Setar. Pada tahun 1915, Sheikh Ahmad memasuki Perlis dan memegang beberapa jawatan seperti Kerani di Pejabat Kastam, Pejabat Penasihat British (B.A.) dan Pejabat Audit. Kerana kecekapannya, beliau dilantik sebagai Penolong Auditor dan membantu Tuan B.A. dalam pentadbiran kewangan.

Antara tugas beliau ialah membantu menyediakan belanjawan negeri Perlis setiap tahun. Peranannya itu berterusan sehingga tercetus Perang Dunia Kedua (1941).

Tugas Sheikh Ahmad tidak setakat menjadi pegawai kerajaan sahaja. Beliau memperlihatkan bakat kepimpinan dengan mengasaskan Kelab Indera Kayangan, di Kangar, satu-satunya kelab kakitangan kerajaan bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti sosial, sukan dan kebudayaan.

Beliau menjadi Setiausaha lebih 10 tahun dan kemudiannya ditawarkan jawatan Yang Dipertua. Beliau juga mengasaskan Koperasi Kerjasama Kakitangan Kerajaan bersama tokoh-tokoh lain di Perlis seperti Wan Ahmad Wan Daud. Koperasi seumpama ini berkembang pesat di seluruh negara. Koperasi di Perlis itu kemudiannya bergabung menjadi Bank Persatuan Kerjasama yang mampu memberikan pinjaman kepada ahli-ahlinya.

Bank itu menjadi asas penubuhan Bank Agung (tahun 1954). Sheikh Ahmad diberikan penghormatan dan dilantik menjadi Pengerusinya yang pertama. Beliau juga dilantik memimpin Kongres Kerjasama yang pertama. Perhimpunan yang pertama diadakan di Universiti Malaya dan dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra. Dengan penglibatannya dalam koperasi inilah, beliau dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya.

Sheikh Ahmad juga merupakan salah seorang yang terlibat dalam mendirikan Masjid Alwi di Kangar bagi menggantikan masjid lama yang uzur. Bersama rakan-rakannya seperti Haji Ahmad Mohd Kati, beliau mendapat perkenan Raja Perlis ketika itu, Raja Syed Alwi untuk mengutip derma secara potongan gaji setiap bulan selama tiga tahun di kalangan kakitangan kerajaan di Perlis. Usaha itu mendapat kejayaan dan pada tahun 1930, masjid tersebut siap dibina dan dinamakan sebagai Masjid Alwi (yang kini banyak mengalami pengubahsuaian). Perasmian masjid itu dilakukan olehTuanku Raja Syed Alwi pada 14 Syawal 1351 (bersamaan 1930).

Kejayaan mengumpul wang daripada derma orang-orang Islam itu, mendorong Sheikh Ahmad memikirkan cara yang sama untuk memungut zakat dan fitrah. Adalah menjadi kebiasaan bagi orang ramai menyerahkan zakat dan fitrah kepada orang perseorangan termasuklah guru Quran, orang miskin dan orang yang dihormati dalam masyarakat.

Beliau bersama Syed Hamzah dan Haji Ahmad Hakim mengadap Raja Perlis serta mencadangkan satu sistem yang lebih kemas untuk mengumpul hasil zakat dan fitrah. Satu kertas cadangan disediakan, kemudian disemak dan diluluskan oleh Majlis Negeri. Selang beberapa tahun, kutipan zakat dan fitrah di Perlis sering meningkat dan ia menarik perhatian negeri-negeri lain untuk mengikutinya.

Almarhum Sultan Iskandar Perak telah menghantar wakilnya untuk mengkaji sistem Perlis ini, begitu juga Jawatankuasa Agama Islam negeri Kedah, yang menghantar Sheikh Mahmud sebagai wakilnya.

Zaman pendudukan Jepun (1941-1944) menyaksikan keadaan kesengsaraan dan kesulitan hidup yang berleluasa di kalangan rakyat. Makanan serta pakaian menjadi semakin berkurangan. Sheikh Ahmad yang dilantik sebagai Pegawai Khas (Chief Air Raid Warden) berikhtiar mencari punca kewangan. Dengan susah payah, beliau meminjam wang daripada golongan saudagar (Cina, India dan Benggali) untuk membayar gaji kakitangan kerajaan dengan menjanjikan Kerajaan Negeri (Jepun) sebagai penjamin.

Selepas berundurnya tentera Jepun, negeri Perlis pula berada di bawah pemerintahan tentera Inggeris (B.M.A) dan pada ketika itu berlaku krisis takhta kerajaan Perlis. Pihak British menurunkan Syed Hamzah dari takhta walaupun Syed Hamzah berkuasa pada masa Jepun. Pihak British memilih Syed Putra sebagai bakal raja. Dengan kerjasama `tiga serangkai' Ahmad (Sheikh Ahmad, Wan Ahmad dan Haji Ahmad Hakim) krisis takhta ini dapat diredakan dan ternyata Syed Hamzah kurang popular di kalangan rakyat.

(Masjid Alwi dirasmikan tahun 1930 hasil kutipan derma dan perancangan Sheikh Ahmad)

Tahun-tahun selepas kembalinya British ke tanah air menyaksikan peranan Sheikh Ahmad sebagai aktivis politik yang sukar ditandingi. Beliau memimpin Persatuan Melayu Perlis, yang menjadi asas kepada penubuhan UMNO di Perlis. Perjuangan menuntut kemerdekaan bergerak serentak di seluruh negara.

Dari tahun 1948 hingga 1952, Sheikh Ahmad dipilih sebagai ahli tidak rasmi bagi Federal Legislative Council. Pada tahun 1955, apabila pilihan raya umum pertama diadakan, beliau dipilih mewakili Perlis ke Council (Dewan Undangan Persekutuan) atas tiket Perikatan (pimpinan YTM Tunku Abdul Rahman). Taraf beliau sama seperti Ahli Parlimen Malaysia sekarang dan menjalankan tugas untuk satu penggal (5 tahun).

Suara beliau di dewan sering lantang dalam memperjuangkan serta pembelaan terhadap negeri-negeri Melayu yang miskin (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) agar diberikan peruntukan yang lebih dari segi pembangunan. Kawasan luar bandar yang begitu teruk diabaikan oleh penjajah Inggeris dan patut diberikan perhatian segera.

Pada pilihan raya umum tahun 1959, Sheikh Ahmad bertanding di peringkat negeri (bagi kawasan Kuala Perlis). Beliau dan rakan-rakannya dalam UMNO-MCA (Perikatan) mencapai kejayaan cemerlang dan membentuk kerajaan negeri Perlis yang pertama selepas mencapai kemerdekaan. Sheikh Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Raja Ahmad Raja Endut (lantikan sebelum merdeka dari pegawai kanan kerajaan dan bukan tokoh politik).

Selama menjadi Menteri Besar dalam tempoh agak lama (11 tahun), Sheikh Ahmad meletakkan dirinya sebagai pelopor pembangunan yang mampu mengotakan apa yang disuarakannya dahulu. Beliau sering mendapat kerjasama dengan kedua-dua Perdana Menteri (Tunku dan Tun Razak) dan mudah mendapatkan peruntukan pembangunan untuk negeri Perlis, lebih-lebih lagi melalui hubungan yang erat.

Banyak kawasan luar bandar dimajukan dari segi pertanian, pengagihan air dari projek Muda, membina prasarana asas seperti sekolah (rendah dan menengah), pusat kesihatan, jalan raya serta rumah kos murah. Kajian awal diadakan bagi memajukan kawasan Chuping sebagai pusat industri dan pertanian tebu. Kini strategi itu menjadi kenyataan dengan wujudnya dua buah kilang gula dan simen yang terbesar di utara Semenanjung.

Sheikh Ahmad berundur dari kerusi Menteri Besar pada tahun 1970 untuk memberi laluan kepada tokoh yang lebih muda, Jaafar Hassan.

Bagi membalas jasa-jasa beliau dalam membangunkan negeri Perlis dan pengorbanan lain, Sheikh Ahmad dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, menjadi Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Arab Saudi dari tahun 1972 hingga 1975. Beliau berjaya mengeratkan hubungan negara kita dengan negara-negara Arab, memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada pelajar-pelajar kita di negara-negara tersebut di samping memberikan berbagai kemudahan yang termampu kepada jemaah haji kita ketika di Tanah Suci saban tahun.

Beliau meninggal dunia pada 4 Disember 1982 ketika berusia 85 tahun. Ternyata peranan Sheikh Ahmad begitu menonjol bukan sahaja di peringkat negeri Perlis tetapi juga di peringkat negara dan antarabangsa. Di peringkat negeri, beliau telah mewujudkan segala kemudahan yang sewajarnya yang diperlukan oleh rakyat serta untuk dinikmati oleh semua warganegara yang merdeka.

Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 5 - 1993

Penulis Asal: OMAR YAACOB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan