Sek. Keb. Chuping Dahulunya Dikenali Dengan Nama Sekolah Melayu Chuping - FRIEND OF PERLIS

Terkini

02 April 2019

Sek. Keb. Chuping Dahulunya Dikenali Dengan Nama Sekolah Melayu Chuping


Menurut catatan sejarah, Sekolah Melayu Chuping, Perlis telah disenaraikan sekolah yang kelima ditubuhkan, iaitu pada tahun 1912. Pada tahun yang sama tertubuhnya sekolah yang dikenali dengan nama Sekolah Melayu Utan Aji. Kalau dilihat daripada tarikh penubuhan sekolah yang terawal, maka Sekolah Melayu Arau merupakan sekolah yang pertama ditubuhkan di Perlis, iaitu pada tahun 1888, dan ternyata sekali bahawa ianya bermula di akhir abad yang ke-19. Sekolah Melayu Arau kemudiannya ditukar nama sebagai Sekolah Tengku Budriah Arau dalam tahun 1970.

Pada peringkat permulaan, sekolah-sekolah yang ditubuhkan itu merupakan hasil kesedaran beberapa individu yang sedar tentang betapa perlunya anak-anak diberi pelajaran yang sempurna. Di peringkat ini, beberapa orang individu seperti Tok Penghulu dan Ketua-ketua Kampung telah mengambil daya inisiatif untuk membuka sekolah-sekolah walaupun ianya merupakan kemampuan yang kecil. Penduduk kampung atau masyarakat negeri Perlis pada umumnya amat memandang tinggi dan terhutang budi terhadap pengorbanan yang diberikan itu. Daripada pondok kecil serta sekolah-sekolah yang berdindingkan buluh dan beratapkan daun nipah, maka lahirlah generasi baru yang hari ini telah membuka lembaran baru dalam sejarah dan perkembangan negeri Perlis.


Senarai tertubuhnya sekolah-sekolah mengikut tahun sebelum Sekolah Melayu Chuping ialah Sekolah Melayu Arau (kini Sekolah Tengku Budriah) (1888), Sekolah Laki-Iaki Kangar (kini Sekolah Dato' Wan Ahmad) (1898), Sekolah Melayu Kuala Perlis (1903), Sekolah Melayu Sanglang (1906), Sekolah Melayu Chuping (1912).

Sekolah Melayu Chuping ditubuhkan atas dasar kesedaran seorang individu iaitu Encik Wan Ali bin Wan Abd. Rahman. Beliau adalah lepasan Sekolah Melayu Arau. Sekolah Melayu Chuping terbina berdekatan dengan rumah beliau di pinggir Bukit Chuping. Pakatan mewujudkan sekolah itu adalah cetusan idea daripada beliau sendiri dan telah mengizinkan tanahnya untuk didirikan sebuah sekolah asas. Atas arahan beliau juga telah terbina sebuah telaga antara masjid dan sekolah. Kini telaga batu itu masih ada dan terpaksa ditimbus untuk menjaga keselamatan murid-murid sekolah. Dan air daripada telaga batu itu tidak pernah kering walaupun di musim timur.


Tapak atau kawasan masjid seluas lima relung itu juga diwakafkan oleh Wan Ali. Sebahagian daripada kawasan itu dijadikan kawasan kubur. Guru yang pertama ditugaskan mengajar ialah Tuk Awang, dan beliau juga menjadi guru besar. Pada peringkat permulaannya bilangan murid hanya terdiri daripada 20 orang dan semuanya lelaki. Sekolah ini diberi bangunan baru pada tahun 1927 dan 1934.

Corak pendidikan di sekolah-sekolah Melayu pada zaman itu tidak menekankan untuk lulus peperiksaan. Guru mengajar sekadar boleh menulis dan membaca, dan pada zaman itu pendidikan bercirikan kekampungan berteraskan pelajaran kerohanian atau keagamaan.

Pada zaman itu, murid-murid sekolah tidak ada pakaian seragam, dan mereka bebas memakai pakaian-pakaian yang serba ada, berseluar pendek dan baju berlepas keluar. Ada yang memakai kain pelekat, seluar yang besar dan tidak kurang yang memakai baju yang bertampungan. Murid-murid wajib bersongkok ketika di sekolah. Kokurikulum dan sukatan pelajaran yang dilaksanakan tidak ada, jauh sekali bagi menyediakan buku-buku teks seperti sekarang. Matapelajaran yang diajar ialah bacaan Jawi, tulisan Jawi dan rencana Jawi. Di awal 30an, sekolah memperkenalkan pula bacaan Rumi, tulisan Rumi dan rencana Rumi. Rencana Rumi biasanya diadakan pada waktu akhir, dan mana-mana murid yang dapat mengeja dengan betul, maka dapat kebenaran pulang awal.

Murid-murid yang diterima masuk tidak terhad pada umur. Biasanya anak-anak yang mencapai umur lapan tahun telah diterima masuk. Mereka tinggal tidak jauh dari sekolah. Kampung-kampung yang berdekatan dengan sekolah ialah Kampung Bawah Bukit, Kampung Balik Guar. Ada kira-kira 10 hingga 15 buah rumah di ketiga-tiga kampung itu.

Gaji guru pada zaman tersebut ialah $3.50 sebulan. Dan kanak-kanak ke sekolah membawa bekal nasi bungkus. Bagi mereka yang berkemampuan dibekalkan satu duit sebagai wang saku. Masa persekolahan bermula jam 8.00 pagi dan pulang 12.00 tengah hari.

Pada zaman terakhir pemerintahan Inggeris di Perlis, minat ibu bapa terhadap pelajaran telah mula disedari. Sebelumnya masyarakat Melayu seolah-olah terbelenggu dan minda mereka amat terbatas. Di sekolah hanya diajar menguasai tiga kemahiran asas sahaja iaitu menulis, mengira dan membaca. Sejarah pendidikan Melayu bermula dari sistem pendidikan pondok atau kelas-kelas agama. Keupayaan untuk menjangkau atau melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan bagi mendapatkan pekerjaan amat jauh berbanding pelajaran dan pendidikan yang dimiliki mereka.

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tiupan angin segar dari Negeri-Negeri Bersekutu telah menimbulkan kesedaran yang mendalam di kalangan pembesar-pembesar tempatan untuk memberi pelajaran yang sempurna kepada anak-anak tempatan.

Sumber Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan

Penulis Asal: Mokhtar A.K

Tiada ulasan:

Catat Ulasan