Tokoh Yang Mengasaskan As-Sunnah Di Perlis - FRIEND OF PERLIS

Terkini

29 April 2019

Tokoh Yang Mengasaskan As-Sunnah Di Perlis


Nama penuhnya Hassan bin Ahmad, berasal dari Surabaya, Indonesia dan tiba di Perlis sebelum tahun 1916. Beliau juga digelar Hassan Sarbini.

Syeikh Hassan Surabaya atau Hassan Sarbini merupakan guru As-Sunnah yang pertama di Perlis kerana beliau mengajar secara As-Sunnah yang pertama di Perlis sejak sebelum tertubuhnya Madrasah As-Sunnah di Alor Sena, Paya dalam tahun 1937.

Pelajaran agama yang diajarkan ialah Tauhid mengesakan Allah dan makna iman. Beliau menegah perbuatan meratik, melarang membuat kenduri arwah, melarang talkin orang mati, menegah daripada percayakan keramat, melarang memuja kuburan dan memakai azimat (bertangkal) .

Selain daripada itu beliau telah memperkenalkan pelajaran sembahyang seperti azan di permulaan waktu solat, bukan buat secara ikut-ikut sahaja.

Pada mulanya Syeikh Hassan mengajar bahasa Arab dan kawad Arab kepada kanak-kanak. Contohnya diajar bersajak dengan maknanya sekali iaitu "wahid satu, setan hantu, babun pintu". Lagu negeri Perlis "Amin-amin" juga dikatakan hasil ciptaan Syeikh Hassan yang dikarangnya untuk menyambut Raja, kemudian lagu ini telah diubahsuaikan.

Pengajaran Tauhid, bahasa Arab, kawad Arab dan nyanyian lagu patriotik menyambut kedatangan Raja diajarkan kepada kanak-kanak semasa beliau berada di Arau sebelum tahun 1920an, manakala pengajaran Tauhid dan solat diajarkan oleh Syeikh Hassan semasa di Madrasah Alor Sena iaitu semasa pembukaannya dalam tahun 1937.

Rumah beliau yang letaknya di tapak klinik Arau sekarang tempat mengajar orang-orang dewasa dan kanak-kanak. Rumah ini berhampiran dengan kebun getah dan dilengkapi dengan telaga dan bilik air. Asalnya rumah tersebut dimiliki oleh Syed Husin Kabul, bangsa Afganistan. Rumah berbentuk bumbung lima ini beratap rumbia dan berdinding papan. Walaupun pada masa beliau ramai penyamun yang selalu menyamun di sekitar Arau, tetapi rumah Syeikh Hassan tidak pernah dimasuki penyamun.

Buku-buku pelajaran yang digunakan semasa Syeikh Hassan semuanya kitab Arab yang perlu dihafal. Di antaranya ialah kitab "Taalimuddin" merupakan sebuah kitab agama dalam bahasa Arab. Murid yang tidak boleh hafal pelajaran yang diajarnya akan dipukul tapak kakinya dengan rotan.

Sezaman dengan Syeikh Hassan terdapat beberapa orang guru agama yang mengajar di Arau. Di antaranya ialah Haji Mat Kecik Belukar yang dikenali sebagai Haji kecik. Seorang lagi guru agama ialah Syeikh Ibrahim atau Syed Ibrahim Yassin yang berasal dari Kampung Sena. Mereka berdua ini mengajar agama secara lama tanpa membawa sebarang pembaharuan atau secara As-Sunnah.

Pembaharuan yang dibawa oleh Syeikh Hassan tidaklah begitu ketara pada masa itu kerana masih lagi di peringkat awal iaitu secara pembersihan akidah atau menyemai pendidikan Tauhid mengesakan Allah sepertimana penyampaian atau seruan dakwah Islamiyah yang telah dijalankan oleh Nabi Muhammad s.a.w, iaitu menyeru manusia supaya terlebih dahulu mengesakan Allah, selepas itu barulah diikuti dengan ilmu-ilmu ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji, nikah-kahwin dan sebagainya.

Di antara ketegasan dan keyakinan Syeikh Hasan dalam usaha membersihkan akidah jelas kelihatan melalui penulisan beliau seperti berikut:
Pada fikiran saya, sebenar-benarnya segala kehinaan dan kecelaan kaum kita Muslimin terbitnya daripada kita sendiri yang kurang pengetahuan, kita jadikan guru memberi pelajaran kepada murid-murid dengan ilmu mati, yakni ilmu membunuh akalnya dan akal muridnya, seperti perkataan bermula dunia ini. Bangkai dan dunia ini jil atas mereka yang beriman kepada Allah dan sebagainya. Maksud guru itu memberi takut atas murid-muridnya itu supaya mudah terima dan ikut segala kehendak guru yang hendak mengisi perutnya, nauzibilah

Melihat kepada fakta atau isi kandungan penulisannya seperti di atas yang sering menyindir guru-guru agama dan alim ulama berfahaman mazhab, maka tidak hairanlah mengapa beliau diusir kemudiannya. Kadi Besar Perlis pada masa tersebut ialah Mohd. Noor Hj. Mohammad, manakala penolongnya ialah Haji Ismail. Mereka berdua marahkan Syeikh Hassan kerana mengajar agama secara baru yang mereka sifatkan sebagai ajaran salah. Perkara ini diadukan oleh mereka kepada Raja Syed Alwi sebagai ketua agama bagi negeri Perlis telah mengusir Syeikh Hassan dari Perlis.

Selepas diusir, Syeikh Hassan datang sekali lagi ke Perlis untuk kali keduanya iaitu pada tahun 1928. Kedatangan beliau pada kali ini ditemani oleh ramai kenalannya, yang kemudian menjadi muridnya iaitu Haji Abdullah, Arshad Leh, Ahmad Senawi, Wan Fatimah, Abas Mat, Ahmad Samsuri, Haji Abdul Ghani Datuk Sakti dan lain-lain sahabat perjuangannya. Beliau menetap di Kampung Paya dan mengajar di rumah Haji Abdullah, sebelum terbinanya Madrasah Alor Sena. Di rumah tersebut beliau mengembangkan pelajaran AI-Sunnah kepada murid-muridnya secara berperingkat-peringkat iaitu menyuruh mereka meninggalkan amalan bacaan usali sebelum takbiratul ikhram.

Setelah beberapa tahun mengajar di Paya, Syeikh Hassan pulang ke Pulau Pinang. Beliau telah meletakkan asas AI-Sunnah yang kukuh di Perlis melalui beberapa orang murid dan rakan-rakannya yang berada di Paya dan Kangar. Mereka ialah Haji Abdul Ghani Datuk Sakti, Haji Abdullah, Wan Ahmad Wan Daud dan Haji Mat Hakim. Berkat usaha gigih dan keyakinan kepada perjuangan mereka didapati bibit-bibit yang telah disemai Syeikh Hassan ini akhirnya berkembang menjadi satu perjuangan yang berjaya sehingga kini, iaitu menjadi amalan yang secucuk dengan amalan yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w demi mengharapkan balasan dan ganjaran syurga dari Allah S.W.T.

Rujukan: Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 19 - 2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan